Ismail Izzani elak bedah tonsil demi suara


Ismail Izzani kelihatan ceria ketika ditemui usai sidang akhbar separuh akhir Muzik-Muzik baru-baru ini.

Di Sebalik kegembiraan penyanyi muda, Ismail Izzani berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik pusingan ketiga pada 12 November ini, dia sebenarnya sedang dalam proses penyembuhan penyakit tonsil yang serius.

Menurut pemuda berusia 17 tahun itu, penyakit yang dialami sejak kecil tersebut semakin melarat sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital awal bulan ini apabila doktor mendapati tonsil berkenaan sudah berdarah.

Pelantun lagu Sabar itu mengakui doktor memberi cadangan agar pembedahan dibuat supaya masalah sama tidak akan berulang lagi, namun dia yang mesra disapa Mail menolak cadangan tersebut.

Kata Mail, jika dia bersetuju untuk melakukan pembedahan mengeluarkan tonsil, kerjaya nyanyiannya yang baru sahaja hendak berkembang terpaksa dihentikan seketika bagi memberi ruang terhadap proses penyembuhan.

Oleh sebab itu, dia memilih untuk membiarkan tonsilnya sembuh secara alami tanpa perlu melalui apa-apa pembedahan walaupun itu bermakna dia perlu lebih teliti dalam diet harian.

KOSMO!: Mengapakah anda enggan melakukan pembedahan jika itu boleh menamatkan kesakitan buat selamanya?

ISMAIL: Andai saya bersetuju melakukan pembedahan membuang tonsil, saya perlu berehat lama dan tidak boleh menyanyi selama lima bulan supaya luka pembedahan benar-benar sembuh.

Bagi saya, ia satu tempoh yang lama, tambahan pula karier saya sedang berada di landasan yang betul, jika berehat lama pasti sukar untuk buat kemunculan semula.

Selain itu, selepas pembedahan, suara saya tidak akan sama seperti sekarang, jadi demi suara saya sekarang dan juga kerjaya, biarlah ia sembuh sendiri.

Sejak bila anda mula mengalami sakit tonsil ini?

Sebenarnya, sejak kecil lagi saya sudah biasa dengan masalah tonsil ini dan memang sepatutnya saya lebih memberi perhatian kepada pemakanan saya. Cuma baru-baru ini saya leka sekejap, lupa minum air dengan cukup dan melanggar pantang makan makanan yang tidak dibenarkan, maka sakit ini menjadi serius dengan cepat. Tonsil saya berdarah kerana silap sendiri, bukan kerana ia tidak boleh dikawal.

Berbalik pada pencalonan Muzik-Muzik separuh akhir, apakah perasaan anda bila mengetahui lagu Sabar terpilih?

Saya langsung tidak meletakkan sebarang harapan kerana sedar saingan lagu-lagu lain hebat dan single saya baru sahaja dilancarkan tahun ini.

Bagi saya, walaupun baru sahaja layak ke peringkat separuh akhir, ia merupakan suatu pencapaian terbaik dalam kerjaya saya setakat ini. Saya akan cuba berikan yang terbaik pada malam persembahan itu nanti.

Apakah reaksi ibu anda, Datin Suliza Salam dengan pencalonan ini?

Ibu sebenarnya sudah mengetahui tentang kelayakan saya lebih awal, cuma tidak memberitahu saya kerana tidak mahu saya terlalu seronok. Apabila pihak TV3 menelefon saya dua minggu lalu, barulah dia mengatakan dia sudah lama tahu.

Sebagai ibu, pastinya dia bangga kerana saya berjaya membuktikan kepadanya bahawa saya benar-benar serius dalam bidang nyanyian. Ibu juga berpesan supaya tidak terlalu memikirkan soal layak ke Anugerah Juara Lagu atau tidak dan fokus dahulu kepada peringkat separuh akhir.

Memiliki ibu yang pernah berkecimpung dalam dunia hiburan, apakah yang sering dinasihatkan kepada anda?

Perkara paling penting yang ibu sering nasihatkan ialah kita perlu sentiasa bersedia dengan jatuh naik dalam industri kerana populariti tidak kekal lama. Selagi saya berpegang pada niat asal menyanyi kerana minat dan tidak main-main dalam kerjaya, itu yang akan membuatkan nama tidak akan tenggelam biarpun datang artis-artis baharu lain pada masa hadapan.

Apakah perkembangan terkini anda selain separuh akhir Muzik-Muzik?

Saya baru sahaja melancarkan single kedua saya bertajuk Demi Kita dua minggu lalu. Lagu ini berbeza dengan single Sabar kerana ia berkisahkan tentang cinta yang tidak kesampaian.

Saya berharap peminat boleh menerima Demi kita sama seperti dengan Sabar dan setakat ini muzik videonya sudah ditonton sebanyak 855,000 kali di laman YouTube.

Post a Comment

Previous Post Next Post