Robert Mendoza menyimpan hasrat untuk menjadi pemain biola profesional, sekali gus terkenal di peringkat antarabangsa.
Kemahiran menggesek biola sejak berusia lapan tahun menjadikan lelaki kelahiran Sepanyol, Robert Mendoza nekad mengembangkan bakat hingga ke peringkat antarabangsa.
Bermula dengan memuat naik video dengan dendangan dan alunan muzik yang disampaikan semula di YouTube sejak dua tahun lalu, Robert telah menarik perhatian organisasi Universal Music United Kingdom, sekali gus menjadi salah seorang artis naungan mereka.
Salah sebuah lagu yang menjadi tumpuan ialah Faded nyanyian Alan Walker. Video tersebut mendapat lebih 14 juta tontonan selain mendapat reaksi positif daripada peminat.
Katanya, menyampaikan semula muzik daripada lagu-lagu popular dan mempunyai pengikut yang ramai secara tidak langsung dapat membantu dirinya untuk lebih mudah dikenali.
“Penting untuk pendengar mengetahui sesebuah lagu yang hendak disampaikan ia akan memudahkan saya dikenali.
“Pada masa sama, saya turut menggemari lagu berkenaan,” katanya.
Robert yang kini dalam proses menghasilkan lagu sendiri dan didendangkan secara instrumental itu memiliki hampir 60 buah koleksi lagu. Memandangkan jumlah tersebut agak banyak, Robert akan memastikan dia membuat pilihan yang tepat untuk dimuatkan dalam album debut miliknya.
Dia sebenarnya berasa lebih selesa mempersembahkan lagu hasil ciptaan sendiri tanpa perlu mengadakan kerjasama dengan penyanyi lain.
“Disebabkan saya masih baharu, jadi lebih baik saya melakukan semuanya secara sendiri. Buat masa sekarang, saya juga tidak mempunyai sebarang perancangan untuk bekerjasama dengan mana-mana artis,” ujarnya yang mengagumi selebriti dari negara kelahirannya iaitu Manuel Carrasco dan Pablo Alboran.
Mengharapkan agar karya sentuhannya akan mendapat sambutan positif daripada peminat seluruh dunia, Robert turut tidak menolak sekiranya ditawarkan untuk menjadi pelakon.
Baginya, dunia lakonan memberi peluang buatnya untuk meneroka cabang seni baharu selain menimba pengalaman berbeza sebagai anak seni.
“Saya mungkin akan mencuba sekiranya mendapat tawaran berlakon dengan skrip dan watak bersesuaian. Pada saya, tidak salah mencuba,” tuturnya dalam pertemuan bersama Kosmo! di Studio Utusan baru-baru ini.
Biarpun menyimpan keinginan untuk menceburi kerjaya lakonan, Robert bagaimanapun berhasrat untuk menumpahkan sepenuh perhatian terhadap dunia muzik agar impiannya memiliki sebuah akademi seni pada masa hadapan tercapai.