Terurus - Mengakui sedang menikmati perubahan hidup sebagai seorang ibu kepada dua cahaya mata, Lisa menyifatkan kini rutinnya lebih terurus kerana banyak dihabiskan bersama keluarga berbanding kerja.
Selepas melahirkan puteri sulungnya, Yahaira Leanne, banyak perubahan yang berlaku dalam hidup aktres popular, Lisa Surihani. Kehidupan sebagai seorang ibu telah memberi banyak definisi baharu untuk dinikmati Lisa pada usia 31 tahun, apatah lagi selepas kelahiran anak keduanya enam bulan lalu.
Biarpun dia terlebih dahulu melalui fasa di puncak populariti dengan deretan naskhah popular seperti Lagenda Budak Setan, Ombak Rindu dan Istanbul Aku Datang, kehadiran dua cahaya mata iaitu Yahaira Leanne, dua tahun sebulan dan Yusof Leonne, enam bulan yang disifatkan sebagai anugerah terindah dalam hidupnya, Lisa memperlahankan enjin karier demi menikmati fasa bahagia bergelar ibu.
Bertemu pada majlis pelancaran Rocketfuel Entertainment baru-baru ini, Lisa atau nama lengkapnya, Lisa Surihani Mohamed berkongsi perkembangan terkini yang banyak dipenuhi dengan urusan keluarga, selain peranannya selaku duta bagi beberapa buah kempen.
Menjadi selebriti yang disifatkan mempunyai pengaruh dalam banyak hal dan saling bergantung dengan masyarakat iaitu peminat, Lisa mengambil pendekatan menggunakan gelaran tersebut sebagai platform menyebar kesedaran umum.
Suara
Menyedari terlalu banyak kes yang berlaku terhadap golongan wanita dan kanak-kanak akibat daripada penyalahgunaan media sosial, Lisa terpanggil menyertai beberapa kempen kesedaran seperti Cyber Safe dan R.AGE.
Bagi Lisa, penglibatan dalam program khidmat sosial sebegitu niat murni dari aspek kebaikan termasuk mesej yang cuba dikongsikan dengan masyarakat.
Lisa juga telah dilantik sebagai duta baharu Malaysia untuk Tabung Kecemasan Kanak-kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) pada bulan Februari lalu.
“Saya lakukan kerja-kerja sosial kerana kepercayaan yang hadir dalam diri. Ia bukan disebabkan desakan daripada pihak yang menghulurkan tawaran kerana saya berstatus selebriti dan terima begitu sahaja. Tidak. Ia jauh lebih daripada itu.
“Saya seorang yang percaya dan peka dengan perkara-perkara yang berlaku di sekeliling terutama kepada golongan mudah ditindas iaitu kanak-kanak dan wanita. Lebih-lebih lagi dengan pendedahan terhadap media sosial yang tiada jurang antara manusia dan internet membuatkan situasi ini semakin meruncing saban hari.
“Dalam kempen yang saya sertai ini, ia banyak menyebarkan mesej kepada wanita dan kanak-kanak selain mengajar mereka tentang social grooming (latihan sosial),” ujarnya yang mula bergiat aktif selaku duta kempen khidmat sosial selepas melahirkan anak sulungnya, Yahaira.
Segalanya yang dilalui juga berkait rapat dengan status Lisa sendiri yang kini mempunyai dua cahaya mata untuk dijaga dari segenap penjuru termasuklah pendedahan terhadap dunia siber.
Bagi aktres filem Suamiku Encik Perfect 10 itu, peranan yang dimainkan juga secara tidak langsung memberi nilai tambah tentang ilmu keibubapaan. Berdasarkan ilmu itu juga, Lisa mengadaptasi bagaimana cara ibu bapa yang defensif terhadap keterbukaan dunia anak-anak.
“Saya kini memasuki fasa berdepan anak-anak sedang membesar dan mereka mula terdedah dengan penggunaan media sosial. Jadi, ia salah satu cabaran juga buat saya untuk belajar mengawal dan mendidik anak.
“Ia sama seperti cara ibu bapa pada zaman dahulu yang sangat melarang anak-anak daripada bercakap dengan orang tidak dikenali. Jadi, ia bukan tentang ilmu yang dicedok untuk diri sendiri dan anak-anak tetapi perkara ini sangat berguna kepada masyarakat di luar sana,” ujarnya yang mengakui peranannya sebagai duta kempen kesedaran boleh dijadikan suara untuk menyebarkan mesej kebaikan kepada golongan ibu bapa.
Keluarga
Beralih bicara tentang kehidupannya kini yang dilihat sedikit suram dari segi lakonan, Lisa ada alasan tersendiri untuk ditegakkan.
Bagi isteri kepada pengarah Yusry Abd. Halim itu, hidupnya kini sangat bahagia kerana dilimpahi cinta daripada suami dan dua cahaya mata yang membesar sihat.
“Alhamdulillah, anak-anak adalah anugerah terbesar dalam hidup. Saya sangat bahagia dan gembira dengan kehidupan sekarang. Apabila waktu bekerja, saya tetap laksanakan dengan sepenuh hati.
“Namun, kebanyakan masa banyak dihabiskan bersama keluarga kerana sesibuk mana pun, naluri seorang ibu sangat kuat dalam diri saya apabila memastikan keluarga adalah nombor satu,” jelasnya.
Meskipun banyak masa ditumpukan buat keluarga, namun situasi tersebut bukan faktor utama ‘kehilangan’ Lisa di kaca televisyen mahupun di layar perak.
Cuma sikap selektif yang diamalkan penglibatan atau kesediaan untuk turun ke lokasi penggambaran membuatkan cahaya populariti yang pernah menyimbah hidupnya dahulu tidak sehebat langkah Lisa dalam industri ketika ini.
“Kalau difikirkan, memang saya amat rindukan zaman dahulu apabila wajah saya banyak menghiasi layar perak. Kehidupan sangat sibuk dengan jadual penggambaran dan sebagainya. Namun, masa telah mengubah segalanya dan saya perlu menikmati perubahan ini dengan sebaik-baiknya.
“Saya ada keluarga dan anak-anak untuk diutamakan. Jadi, buat masa sekarang belum ada projek terbaharu walaupun tawaran sentiasa ada.
“Cuma saya perlu bersikap selektif untuk menerima sebarang tawaran termasuklah kandungan naskhah, produksi dan karakter,” tutup Lisa menggulung perbualan sambil menguntum senyum mesra.