Selepas berkahwin dan melahirkan anak, kelibat penyanyi Nikki Palikat dikatakan semakin hilang dari dunia hiburan tanah air.
Justeru, ramai menganggap penyanyi yang mula dikenali selepas menyertai pertandingan realiti TV Malaysian Idol ini sudah meninggalkan dunia seni untuk memberi tumpuan kepada rumah tangga yang dibina bersama komposer terkenal, Audi Mok.
Bagaimanapun ramai yang terkejut melihat kemunculannya dalam telenovela, Dendam Aurora yang kini sedang hangat disiarkan, selain terlibat dalam Persembahan Tribute Untuk Sudirman: One Thousand Million Smiles yang berlangsung di KLPAC minggu lalu.
“Memang ramai yang menyangka saya sudah mengundur diri dari dunia seni selepas berkahwin sebab lama tak muncul di kaca TV atau persembahan terbuka.
“Ketika terlibat dengan Konsert Tribute Sudirman minggu lalu, ramai yang datang jumpa dan bertanya soalan sama, ke mana saya menghilang selama ini.
“Sebenarnya, saya tidak hilang ke mana-mana, masih aktif, cuma kini saya lebih banyak berlakon terutama untuk teater selain beberapa drama TV,” jelasnya.
Menurut Nikki atau nama sebenarnya Nicolette Louisa Palikat, selepas melahirkan anak lelakinya, Liam Mok, 7, dia mengambil keputusan berehat seketika kerana mahu menguruskan anak kecilnya itu.
Selepas dua tahun, Nikki kembali mengorak langkah dan mencari peluang baru untuk mengembangkan bakatnya temasuk dalam bidang lakonan.
“Anak saya menyusu badan, jadi saya belum bersedia untuk meninggalkannya yang masih kecil untuk keluar bekerja.
“Tapi dua tahun saja dan selepas itu saya kembali bekerja seperti biasa, cuma mungkin dalam tempoh rehat saya itu banyak perubahan yang berlaku dalam industri.
“Saya pula kena bermula semula untuk mendapatkan kepercayaan peminat dan pihak terlibat untuk kembali bekerjasama,” katanya pernah popular menerusi lagu Maharani ini.
Berkongsi penglibatannya dalam bidang lakonan, kata Nikki, ia bukan disebabkan kurangnya tawaran dalam bidang nyanyian membuatkan dia terpaksa beralih arah, sebaliknya kerana minat dan keinginannya mencuba sesuatu yang baru.
“Minat saya dalam bidang lakonan sebenarnya seiring dengan nyanyian, cuma sebelum ini ketika di bawah pengurusan mereka mahu saya memberi tumpuan kepada nyanyian kerana mungkin melihat kelebihan saya di situ. Tapi saya banyak terima tawaran berlakon terutamanya untuk lakonan pentas.
“Bila dah mula buat, saya jadi seronok dengan dunia lakonan dan akhirnya dilihat lebih aktif dalam lakonan berbanding dengan bidang nyanyian yang saya hanya lakukan untuk persembahan-persembahan tertentu sahaja,” katanya.
Tulis lagu sendiri untuk single baru
Meskipun semakin rancak dengan tawaran lakonan, Nikki mengakui akan membahagikan masanya untuk memberi tumpuan kepada bidang nyanyian.
Selain terus aktif mengadakan persembahan di pentas kecil dan tertutup, penyanyi yang terkenal dengan vokal hebat ini merancang untuk tampil dengan single dan seterusnya album terbaru pada tahun depan.
“Saya cukup terharu bila peminat meluahkan rasa rindu mereka untuk tengok saya lebih banyak membuat persembahan di pentas terbuka dan tampil dengan lagu baru setiap kali jumpa dengan saya.
“Atas sebab itu jugalah saya cuba sebaiknya untuk mempercepatkan proses penghasilan single baru yang mungkin bakal hadir awal tahun depan.
“Ramai yang tanya apa yang susah sangat nak buat single baru kerana suami saya adalah seorang komposer dan penerbit, tapi untuk kali ini saya mahu jadikan ia istimewa dengan menampilkan lagu ciptaan saya sendiri dan mungkin disebabkan itu ia mengambil sedikit masa,” kata Nikki lagi.