Hatrik Dayang Nurfaizah, rezeki Syamel


Vokal - Dayang dan Syamel mempunyai ‘senjata ampuh’ sebagai penyanyi iaitu vokal yang mantap.

Bagi insan seni bergelar penyanyi, bertanding pada pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) merupakan antara impian utama kerana di pentas itu, semua penyanyi terbaik negara akan berkumpul dan mempamerkan kehebatan masing-masing.

Sejak 31 tahun lalu, AJL menjadi anugerah yang paling dinanti-nanti peminat setia industri seni suara tanah air untuk menyaksikan penyanyi kesayangan mempamerkan kehebatan suara serta vokal masing-masing.

Bagi segelintir pula, mereka bukan sekadar mahu menyaksikan visual penyanyi yang bertanding, tetapi mahu menikmati dan memberi kredit kepada karya-karya hebat yang dihasilkan oleh barisan komposer dan penulis lirik tempatan.

Kini, masa yang ditunggu hampir tiba apabila sebanyak 30 buah lagu telah diumumkan bakal berentap di separuh akhir Muzik-Muzik bagi berebut peluang keemasan beraksi di peringkat akhir AJL ke-32 pada satu sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara nama yang paling mencuri perhatian dalam kesemua calon bertanding ialah juara bertahan tahun lalu, Dayang Nurfaizah dan bintang rancangan realiti, Syamel.

Masing-masing datang dari dua dunia serta generasi berbeza, namun memiliki bakat nyanyian yang tidak dapat dinafikan kehebatannya.

Meskipun pada hubungan profesional mereka ialah senior dan junior, namun Dayang serta Syamel saling mengagumi. Mereka juga menjadikan persaingan sebagai medium mencabar diri masing-masing untuk memberikan yang terbaik dalam persembahan.

Kagum

Bagi Dayang yang bergelar juara AJL 31 menerusi lagu Lelaki Teragung tahun lalu, pangkat penyanyi senior bukanlah satu lesen besar untuk mendabik dada dan memandang rendah kemampuan peserta junior.

Menurut pemilik nama Dayang Nurfaizah Awang Dowty itu, dia sebenarnya mengagumi bakat-bakat baharu masa kini yang dilihat berani bereksperimentasi serta memiliki tahap keyakinan diri yang tinggi.

Kata wanita berusia 36 tahun itu, dia sejujurnya sudah mula berasa berdebar walaupun pertandingan baru sahaja berada pada peringkat separuh akhir.

“Saya gembira melihat ramai bakat baharu bertanding di pentas Muzik-Muzik dan AJL kerana itu menandakan industri kita tidak ketandusan penyanyi yang hebat.

“Kehadiran mereka sebenarnya membuatkan penyanyi senior seperti saya berasa lebih bersemangat untuk bertanding dan sedikit sebanyak cuba meresap semangat mereka dalam alunan muzik saya,” katanya yang tercalon tahun ini menerusi lagu Separuh Mati Aku Bercinta ciptaan sepenuhnya oleh Ajai.

Tambah Dayang lagi, meskipun kehangatan pertandingan sudah mula terasa tetapi dia enggan membiarkan perkara itu mengganggu fokusnya dan mahu membuat persiapan tanpa sebarang tekanan.

Sempat diusik adakah dia meletak sasaran untuk mencipta hatrik dinobatkan Vokal Terbaik AJL sebanyak empat kali berturut-turut bagi edisi kali ini, Dayang dengan rendah hati meminta agar peminat tidak meletakkan harapan terlalu tinggi.

“Saya ada mendapat komen-komen dan ucapan daripada peminat untuk mempertahankan kategori itu, tetapi saya tiada jawapan pada permintaan mereka kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku.

“Lagipun saya belum tentu layak ke peringkat akhir. Jadi biar saya lalui dahulu bahagian separuh akhir dan tentang hal vokal terbaik itu kita fikirkan kemudian,” luahnya tenang.

Rezeki

Sementara itu, bagi juara program realiti Duo Star, Syamel atau nama sebenarnya, Syameel Aqmal Mohd. Fodzly penyertaan kali pertama dalam separuh akhir Muzik-Muzik menjadi lebih manis apabila dia tercalon untuk dua buah lagu iaitu Lebih Sempurna dan Aku Cinta duet bersama Ernie Zakri.

Kata Syamel, dia sudah cukup bersyukur kerana pada usia dalam bidang nyanyian baru mencecah dua tahun, dia telah diberi penghormatan untuk bertanding di pentas berprestij seperti ini.

Walaupun sudah terbiasa dengan suasana pertandingan, namun pentas AJL pastinya berbeza kerana andai dia terpilih ke peringkat akhir, hanya ada satu peluang sahaja untuk membuktikan kebolehan dan tiada ruang untuk sebarang kesilapan.

Hal ini juga dianggap seperti pembakar semangat buat pemuda berusia 24 tahun itu setelah dia menarik diri daripada peringkat sama tahun lalu selepas berlaku kontroversi berkenaan hak cipta singlenya, Hidup Dalam Mati.

“Saya tidak kecewa menarik diri tahun lalu kerana menganggap ia bukan rezeki dan menanam azam untuk mencuba lagi pada tahun ini.

“Alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya malah mendapat bonus apabila bukan sahaja satu malah dua lagu saya yang tercalon untuk separuh akhir Muzik-Muzik,” katanya yang kini berada di China untuk menyertai acara ABU TV Song Festival 2017 di Chengdu, China bersama 13 wakil dari negara Kesatuan Penyiaran Asia-Pasifik (ABU) yang lain.

Bercerita lanjut tentang persediaan menghadapi peringkat separuh akhir, Syamel mahu memberi fokus kepada instrumen vokal terutama bagi lagu Lebih Sempurna ciptaan sepenuhnya oleh dia sendiri.

Menurut Syamel, Lebih Sempurna ialah sebuah lagu balada yang memerlukan penghayatan lebih mendalam berbanding Aku Cinta yang berirama Waltz dan dinyanyikan secara berpasangan.

“Saya beruntung kerana guru vokal ialah pasangan duet saya sendiri iaitu Ernie. Jadi saya mempunyai banyak masa untuk berlatih dan membuat persiapan.

“Layak atau tidak ke peringkat akhir AJL, saya tidak mahu fikirkan sekarang. Apa yang penting, saya mahu memberikan yang terbaik untuk dua persembahan pada separuh akhir pada 2 dan 5 November ini,” katanya menyimpul perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post