Kamal Adli, Emma Maembong masih berkasih


Kembali berbaik selepas kemelut yang melanda baru-baru ini, Kamal meminta agar peminat mendoakan hubungan mereka ke arah fasa yang lebih baik.

Minggu lalu merupakan minggu yang paling sukar untuk dilalui oleh seorang lelaki bernama Kamal Adli. Belum sempat menghadam kenyataan selepas kekasih hati, Emma Maembong memutuskan hubungan cinta untuk sementara waktu, Kamal sekali lagi dihenyak dengan beberapa tuduhan yang dilakukan oleh heroinnya dalam drama bersiri Duda Pujaan Dara, Zahirah MacWilson.

Menerusi akaun Instagram Zahirah, wanita itu memuat naik paparan skrin perbualannya dengan Kamal dan mendakwa kesal dengan tindakan pemenang Hero Remaja 2007/2008 itu yang menggunakan namanya untuk kepentingan peribadi.

Dalam muat naik yang kini telah dipadamkan, Zahirah juga meminta agar Kamal berhenti bersandiwara dan tidak terus memutarbelitkan cerita sehingga menjejaskan imej orang lain.

Bertemu dengan Kamal atau nama lengkapnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli selepas sebuah program pertandingan lawak baru-baru ini, pelakon berusia 31 tahun itu berkata, dia berasa sangat kecewa dengan tindakan Zahirah.

Katanya, perkara yang sepatutnya telah lama selesai kini menjadi semakin rumit apabila Zahira memuat naik hal yang tiada kaitan dengan dirinya.

Tambah Kamal, dia tidak pernah menyalahkan Zahirah atau menyebut nama wanita itu dalam sebarang temu bual bersama media, waima menggunakan nama sesiapa pun untuk kepentingan peribadi.

Sementara itu, Kamal turut menegaskan bahawa dia masih bergelar kekasih kepada Emma. Cuma, mereka kini dalam proses untuk memulihkan hubungan dan meminta agar peminat mendoakan yang terbaik buat mereka.

KOSMO!: Kamal, nama anda dikaitkan dengan pelbagai perkara kurang enak sejak minggu lalu. Boleh ceritakan apa sebenarnya yang berlaku antara anda, Emma Maembong dan Zahirah MacWilson.

KAMAL: Sebenarnya, masalah yang berlaku tidaklah sebesar mana. Tetapi, ia menjadi semakin mengarut kerana beberapa perkara. Saya sudah menyelesaikan masalah ini bersama Emma, Zahirah dan kekasihnya, Zul Ariffin. Kami berempat berjumpa sebanyak tiga kali bagi menjernihkan keadaan. Saya ingatkan, perkara ini telah selesai, tetapi Zahirah pula merumitkan keadaan.

Adakah benar dakwaan Zahirah yang mengatakan anda kuat menipu dan gemar menggunakan namanya untuk kepentingan sendiri seperti yang dimuat naik di Instagramnya?

Mengarut sama sekali. Sepanjang memberi kenyataan dengan pihak media, saya tidak pernah menyebut nama Zahirah, apatah lagi mengaitkan dia dalam situasi ini. Selepas memuat naik status yang mengandungi perkataan mencarut, dia memadamkan gambar tersebut dan menggantikan muat naik yang melihatkan dia lebih suci. Jelas sekali dia tidak matang.

Mengapakah anda merasakan isu ini sudah menjadi semakin mengarut?

Saya sedar tentang perkara tersebut apabila Emma memberitahu saya yang Zahirah memintanya untuk sama-sama menyerang saya bagi menampakkan saya bersalah. Emma sendiri yang memaklumkan tentang rancangan Zahirah tersebut.

Bagaimana pula isu anda menonton wayang bersama Zahirah. Adakah ia telah diperjelaskan kepada Zul?

Sepanjang tiga kali perjumpaan bersama, berkali-kali saya memohon maaf kepada Zul. Saya katakan kepadanya yang saya keluar menonton wayang bersama Zahirah bersama dua orang lagi teman. Kalau saya tahu keluar berempat itu salah, saya tidak akan buat. Zul pada mulanya agak dingin, tetapi saya harap dia faham kerana saya telah perjelaskan perkara ini setiap kali berjumpa dengannya.

Bagaimana pula dengan Emma? Apakah status hubungan anda sekarang? Tidakkah anda takut digelar sebagai lelaki yang tidak serius dalam perhubungan?

Saya dan Emma masih lagi pasangan kekasih. Tetapi, kami masih dalam proses memperbaiki hubungan. Saya faham perasaannya apabila ada orang cakap yang teman lelakinya terhegeh-hegeh dengan perempuan lain. Wanita mana yang tidak marah. Sebab itu, saya minta agar semua orang jangan salahkan Emma. Dia tidak bersalah dalam hal ini. Berkenaan dengan tanggapan khalayak mengenai keseriusan saya dalam berhubungan, saya berharap agar orang di luar sana sedar. Jika saya suka main-main, mungkin saya akan berganti teman wanita setiap tahun.

Difahamkan, Emma datang memberikan sokongan kepada anda pada malam ini?

Ya, dia ada menghubungi saya dan memberitahu mahu datang. Saya hargai usahanya itu.

Adakah selepas ini anda masih akan menerima sekiranya ada tawaran bekerjasama dengan Zahirah?

Tengok pada keadaan. Saya seorang pelakon dan sentiasa bersikap profesional.

Anda telah dinobatkan sebagai juara program pertandingan lawak yang anda sertai. Menerusi kemenangan tersebut, anda berjaya membawa pulang hadiah berupa wang berjumlah RM100,000. Adakah dengan kemenangan itu, anda dan Emma telah bersedia ke fasa seterusnya?

Saya memang telah bersedia untuk berkahwin. Keluarga juga bersetuju dengan hasrat kami. Tetapi masih ada perkara yang menyebabkan saya perlu menangguhkan hasrat tersebut ke satu tempoh yang belum pasti. Insya-Allah, jika ada jodoh, tidak ke mana.

Post a Comment

Previous Post Next Post