Ketika di awal kemunculannya di dalam arena muzik tempatan, Siti Nordiana atau nama sebenarnya, Siti Nordiana Alias cukup sinonim menerusi lagu-lagu berentak melankolik atau lebih tepat, lagu mendayu-dayu yang ‘tangkap leleh’.
Lebih 15 tahun bergelumang dalam seni, penyanyi yang bakal menginjak usia 33 tahun pada 22 November depan ini tetap setia memenuhi cita rasa pencinta muzik negara ini dengan menawarkan lagu-lagu berentak sedemikian.
Malah, impak yang tercipta sejak menjuarai Gegar Vaganza (GV) musim kedua lebih dua tahun lalu diteruskan dengan rasa syukur kerana sekali lagi, dia kembali berpeluang mendaki kembali tangga populariti.
Tidak putus-putus merakamkan ucapan terima kasih buat peminat setia yang sentiasa menghadiahkan kata semangat dan dorongan, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana sebolehnya tidak mahu mendabik dada atas rezeki dan kejayaan yang diraih ketika ini.
Sebaliknya, Nana hanya mahu memberikan yang terbaik buat para peminat setianya.
Bicara soal kerjaya & hidup
Lebih istimewa, single terkini daripada Nana, Terus Mencintai turut disenaraikan bersama 29 buah lagu lain yang layak bersaing di Separuh Akhir Muzik-Muzik yang akan memulakan saingan minggu ini.
Menyifatkan pemilihan lagu tersebut sebagai suatu pencapaian terbaik buat dirinya secara peribadi, anak jati Felda Sendayan, Negeri Sembilan ini bagaimanapun tidak mampu menyembunyikan rasa gemuruh.
Kata Nana, kali terakhir dia beraksi di pentas Anugerah Juara Lalu lebih 10 tahun lalu menerusi lagu Candak untuk kategori Irama Malaysia.
“Jujurnya memang saya rasa gementar. Gemuruh bila dapat tahu lagu hasilan saya itu berjaya mendapat tempat di peringkat separuh akhir.
Kata orang, lagi selangkah untuk melangkah ke Anugerah Juara Lagu. Memang rasa gembira sebab ini dikira hadiah buat peminat juga. Sekian lama mereka tunggu lagu mendayu-dayu dari saya, akhirnya Terus Mencintai mendapat pengiktirafan seperti ini. Tapi tulah rasa berdebar pula nak nyanyi. Sebab bila bertanding, aura dia lain macam,” seloroh Nana yang mengharapkan semuanya berjalan lancar apabila dia membuat persembahan kelak.
Sebagai persiapan, bintang yang terdahulu sinonim lagu Cinta Hanya Sandaran dan Terpaut Sayang Padamu ini bakal melakukan latihan intensif khususnya dari segi vokal.
“Sudah tentunya apabila bersaing ni, saya juga tidak terlepas untuk melakukan persiapan. Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar. Meski hanya sekali sahaja membuat persembahan, namun rasa gementar itu mesti ada. Perasaannya sama seperti saya bertanding di GV dulu semalam sembilan minggu. Yelah, bila bertanding macam-macam hal boleh jadi.
“Lagu lain yang turut bertanding pun tidak kurang hebatnya. Kehadiran penyanyi baru pun tak boleh dipandang sepi. Saya tidaklah meletakkan harapan besar, tetapi saya juga berazam mahu melakukan terbaik. Apa pun saya mendoakan yang terbaik dan harapnya peminat turut terus memberikan sokongan okay,” katanya pada majlis pelancaran produk kecantikan antarabangsa, Salima Skin Solutions di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hadir sama memeriahkan majlis, penyanyi remaja, Amira Othman dan Indah Ruhaila.
Sementara itu, Nana turut meluahkan rasa bangga dan terharu apabila terpilih menjadi sebahagian daripada saksi pelancaran produk tersebut yang diakui keberkesanannya. Lebih 15 tahun mengemudi jenama kecantikan di peringkat global, Salima Skin Solutions kini mencari peluang sama di Malaysia.
Harap yang terbaik untuk peserta GV4
Sambil rancak bercerita mengenai pemilihan lagunya itu di Muzik-Muzik, Nana juga tidak lokek untuk bercerita mengenai program realiti, GV4 yang kini sudah memulakan saingan. Ujar Nana, rata-rata peserta musim ini hebat belaka dan mempunyai keistimewaan masing-masing.
“Rasanya juri pasti sukar untuk pilih mana satu yang terbaik sebab semuanya best. Saya sendiri ada saksikan majlis pelancaran GV4 tempoh hari. Rasa bangga bila semuanya masih boleh menyanyi dengan baik. Lebih istimewa, ada juga rakan seangkatan yang turut mencabar diri untuk bersaing seperti Lan (Kristal), Syura dan Elyana.
“Saya harap mereka dapat lakukan yang terbaik dan yang paling utama, usah pedulikan apa yang diperkatakan orang. Fokus dan beri komitmen terbaik. Insya-ALLAH semuanya akan okay,” luah Nana yang akan kembali ke lokasi penggambaran drama terbaru arahan Michael Ang di samping Alif Satar.
Akui Nana, projek drama terbaru bersama bekas heronya menerusi drama Dia Semanis Honey sebenarnya sudah dirancang lama. Bagaimanapun, perancangan dianjakkan ke tarikh lain atas faktor masa dan cuaca.
“Drama tersebut akan menjalani penggambaran di Malaysia dan Korea insya-ALLAH. Rasa rindu juga untuk kembali ke set penggambaran setelah sekian lama,” kata Nana yang bakal mengerjakan umrah bersama ahli keluarganya awal Disember depan.
Bercerita lebih lanjut pemergiannya ke tanah suci, Nana nyata tidak sabar kerana perancangan itu dirancang sejak setahun lalu. Akui rasa terharu kerana semuanya dipermudahkan, Nana memberitahu dia berangkat ke sana selama 10 hari dan dijangka pulang ke Malaysia 15 Disember depan.