Datuk Seri Vida tampil dengan memakai baju tidur pada majlis pelancaran muzik video I Am Me.
Populariti pengasas produk kecantikan dan kesihatan wanita bernama Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau lebih glamor disapa Dr. Vida, 46, hari ini sudah mengatasi nama-nama besar dalam industri hiburan tanah air.
Masakan tidak, pengasas syarikat Vida Beauty Sdn. Bhd., itu meraih kemasyhuran yang bukan calang-calang hasil keberaniannya tampil dengan imej yang ‘gila-gila’.
Keghairahannya mengenakan mahkota setiap kali muncul di khalayak sudah cukup menjadikan Dr. Vida berbeza daripada orang lain.
Itu belum lagi mengambil kira barangan kemas yang dipakainya bernilai jutaan ringgit membuatkan imej dan personaliti Dr. Vida sentiasa menjadi sebutan masyarakat.
Ketika pujian demi pujian diraihnya, Dr. Vida juga tidak ketinggalan dinista, dihamun dan dimaki oleh pihak-pihak yang mencemburuinya.
Namun, wanita itu tidak pernah peduli dengan bidasan-bidasan seumpama itu kerana apa yang paling utama buatnya ialah bekerja keras mempromosi produk keluaran syarikatnya.
Kemunculannya dalam program Gegar Vaganza memperaga Pamoga dan Qu Puteh dengan gelagatnya yang tersendiri berjaya melonjak jualan produk berkenaan.
Kini nama Dr. Vida adalah antara pengusaha kosmetik yang bergelar jutawan di Malaysia dan sebagai ahli perniagaan, beliau sentiasa mencari ruang untuk memperkembang lagi empayarnya.
Salah satu cara untuk kembang dan memperkukuh lagi statusnya sebagai usahawan adalah dengan menceburi bidang seni.
Sebagai permulaan beliau tampil dengan single I Am Me dan muzik video lagu tersebut selepas dua bulan dimuat naik telah mengumpul jumlah tontonan sebanyak sembilan juta.
Rupa-rupa menjadi penyanyi juga sebahagian daripada strategi Dr. Vida untuk melariskan perniagaannya.
“Sejak dua tahun lepas saya sudah ada impian untuk menjadi penyanyi. Saya ada lagu Qu Puteh Bintang Bersama Bintang, tapi waktu itu saya tak nyanyi sebab tak yakin, saya bagi orang lain nyanyi.
“Saya bagi lirik dan lagu pada Edry untuk penyanyi baharu nyanyi tapi tak jadi sebab untuk program itu saja.
“Untuk I Am Me, saya memberanikan diri untuk menjadi penyanyi tapi saya pilih jalan selamat kerana saya tak ada bakat dalam nyanyian, sebab suara saya memang tak sedap dan saya pun tak reti menyanyi.
“Bagi saya setiap kelemahan yang kita ada jangan jadikan diri tersekat di situ sahaja kerana kita perlu lakukan sesuatu untuk capai impian. Sebab itulah lirik lagu I Am Me ini santai kerana lirik itu memang menggambarkan diri saya,” katanya kepada Mega HITS.
Tegasnya, oleh kerana lagu itu bercerita tentang dirinya, jadi beliau perlu berusaha untuk mempopularkan lagu tersebut kerana baginya, lagu juga produk seperti mana produk kecantikannya yang lain.
“Sekarang ini saya pergi kepada dua jalan untuk mencapai sasaran, jalan udara dan jalan darat.
“Untuk capai sasaran, salah satunya bisnes macam mana nak tonjolkan diri saya kepada dunia. Kalau cakap soal produk saja, ia klise. Jadi saya kena fikir untuk goda orang ramai agar mereka kenal produk saya.
“Sebenarnya, tidak ada garis pemisah antara bisnes dan saya menjadi selebriti. Apa yang terjadi sekarang, bila saya menjadi selebriti, pengaruhnya lebih besar daripada usahawan.
“Seorang selebriti dapat mempengaruhi orang ramai daripada pelbagai peringkat umur. Ada ibu bapa yang mesej saya beritahu yang anak-anak mereka menonton lagu I Am Me di YouTube. Saya rasa teruja sangat dengan perkembangan tersebut,” ceritanya sambil tersenyum.
Biarpun Dr. Vida tampak ‘gila-gila’ dan ketawa tanpa batas, tapi beliau merupakan seorang individu yang berwawasan jauh kerana mahu membentuk diri menjadi idealis.
Menangis kerana kecaman
BIARPUN Dr. Vida sering mengukir senyuman, namun sebagai manusia biasa, beliau juga sering menitiskan air mata kerana terasa hati dengan kecaman daripada netizen.
Akui Dr. Vida, antara kecaman yang tidak dapat dilupakan dan benar-benar menyentuh nalurinya apabila ada yang kata, “money can’t buy class” (wang tidak boleh membeli kelas).
“Kecaman yang diterima memang buat saya sedih tapi siapalah saya nak kisahkan kata-kata orang sebab mulut tempayan memang tak boleh ditutup. Selalunya saya akan ambil masa sekurang-kurangnya tiga hari saja untuk bersedih, tapi bila ada yang kata saya ada wang tapi tak ada kelas, memang terasa sampai ke tulang hitam. Saya menangis bila dikata begitu tapi akhirnya saya ambil keputusan untuk tidak mengambil kisah dengan kecaman orang,” katanya tanpa berselindung.
Selain kecaman, antara lain yang boleh membuatkan Dr. Vida mengalir air mata adalah bercerita soal arwah anak-anaknya, Muhammad Eddie dan Muhammad Eddry.
Dr. Vida yang sempat berkongsi pengalaman tragis dengan ibu bapa mangsa tragedi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah berkata, sebagai ibu yang pernah kehilangan anak-anak, beliau dapat rasakan kesedihan mereka.
“Air mata saya mudah mengalir kalau bercerita pasal arwah anak-anak. Saya tahu perasaan ibu bapa yang kehilangan anak-anak. Pada 12 Oktober ini saya mahu ‘merawat’ anak-anak tahfiz berkenaan dengan membawa mereka menunaikan umrah.
“Saya selalu berdoa agar diberikan kemudahan untuk saya berada di hadapan Kaabah untuk berdoa tatkala orang kurang di sana. Alhamdulillah, selepas musim haji ini mungkin tak ramai orang di sana sewaktu kami pergi. Bolehlah saya berdoa di hadapan Kaabah tanpa henti,” katanya yang turut memberi sumbangan besar kepada ibu bapa mangsa kebakaran tahfiz.
APABILA Dr. Vida memberitahu muzik video arahan Ghaz Abu Bakar yang dilancarkan minggu lalu menelan kos kira-kira RM1 juta dan mungkin yang termahal untuk artis tempatan, ada yang kata usahawan itu seperti riak dan sengaja menunjuk-nunjuk kekayaannya.
Tambahan pula dalam klip video tersebut turut dipaparkan dia berada di dalam tub mandi yang penuhi wang dan barang kemas.
“Saya tak rasa apa yang saya buat dalam klip video itu sebagai riak kerana objektif utama saya adalah untuk pemasaran terutama di media sosial bagi menarik perhatian orang beli produk.
“Semua yang saya tunjuk itu bersebab dan semua itu berkaitan dengan diri saya.
“Mungkin orang nampak saya menunjuk tapi saya yakin dengan niat saya. Saya nak orang di luar sana tengok gaya hidup saya supaya mereka juga teruja untuk menikmati kehidupan seperti saya. Bila ada niat begitu, pasti mereka akan berusaha,” ujarnya.
Malah untuk muzik video tersebut juga, Dr. Vida terpaksa melabur lebih kerana mahu hasilnya setanding dengan penyanyi antarabangsa.
“Muzik video yang dilancarkan hari ini (5 Oktober 2017) adalah yang kedua kerana yang pertama dulu saya tak puas hati kerana ia tidak menggambarkan diri saya. Kos untuk menerbitkan muzik video ini jadi mahal kerana peralatan yang diguna seperti cincin rama-rama dan yang lain saya tempah khas.
“Saya mahu apa yang ditonjolkan dalam muzik video tersebut menjadi legenda dan pada masa akan datang, bila saya jual balik barang-barang tersebut, harganya meningkat daripada harga asal. Ini juga merupakan sebahagian daripada perniagaan,” katanya.
“Saya suka berkarya dan suka angkat diri menjadi idealis untuk syarikat dan perjalanan sebagai ahli perniagaan. Sebagai ahli perniagaan, saya tidak boleh statik dan perlu berbeza daripada orang lain dan selalu menjadi orang yang pertama.
“Masa saya buat Pamoga, tak ada orang lagi buat produk macam tu, saya pula tampil dengan botol kaca dengan rahsia delima. Bila saya buat orang ikut, sebab semuanya bermula dengan pengiklanan saya yang gila-gila.
“Begitu juga dengan lagu saya, orang akan tengok dua tiga kali dalam sebulan dua, lepas tu jemu. Lagu akan ada jangka hayat populariti setakat enam bulan, lepas itu akan sejuk.
“Macam lagu saya I Am Me, kalau saya tak buat apa-apa tanpa muzik video hanya muzik video lirik saja, ia ibarat air sungai yang mengalir lesu. Ia tidak akan merangsang. Walaupun saya ada sumber lain seperti program tajaan saya untuk merangsangkan lagu ini tapi pembawaan dan untuk mempopularkan lagu ini hanya saya saja yang boleh,” kongsi Dr. Vida tentang strategi pemasaran perniagaan dan lagu.
Oleh kerana lagunya telah popular dan memasuki Singapura, Brunei dan Indonesia, Dr. Vida cuba pula untuk membawa lagu tersebut ke Asia Barat.
“Saya ada perancangan nak ke Asia Barat kerana sekarang ini muzik video I Am Me disukai orang Arab dan pada waktu yang sama mereka kutuk juga. Saya harap ada rahmat Allah kerana bagi peluang besar kepada saya.
“Sesungguhnya saya dapat rasakan kejayaan lagu itu kerana orang ramai dapat terima. Awalnya mungkin orang tak suka dan kecam saya tapi bila didengar selalu lagu itu sudah masuk ke otak.
“Alhamdulillah, ini adalah satu kejayaan besar tapi baru bermula. Saya harus bekerja keras untuk memastikan lagu ini menjadi legenda di Malaysia kerana saya bukanlah sesiapa dalam industri ini.
“Dalam satu akaun tu ditonton oleh sembilan juta dan ada beberapa akaun lain kalau dicampur adalah 16 juta. Dalam masa dua bulan lebih saja. Kalau saya tak ambil apa-apa tindakan pun okey tapi saya mahu berbelanja untuk memastikan kejayaan lagu ini dan produk saya,” katanya.