Sejarah keluarga ada menghidap kanser menjadikan Awal Ashaari seorang yang cukup prihatin dan menitikberatkan pemeriksaan kesihatan. Baginya, mencegah lebih baik daripada merawat.
Memiliki sejarah ahli keluarga yang menghidap penyakit kanser membuatkan pengacara dan pelakon, Awal Ashaari prihatin dalam soal penjagaan kesihatan.
Lebih mencemaskan Awal apabila kanser sering dikaitkan dengan genetik. Dalam fikirannya sering berlegar persoalan, adakah kemungkinan penyakit sama akan dihidapi keluarga terdekat atau terkena pada batang hidung sendiri.
Bapa kepada seorang cahaya mata itu turut mengakui soal kepentingan pemeriksaan saringan kesihatan secara berkala dapat membantu mengenal pasti masalah kesihatan yang dialami lebih awal.
Bagai kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat merupakan prinsip yang diamalkannya terutama sejak mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan pengacara, Scha Alyahya pada 4 Mei 2012 lalu.
Kata Awal, keprihatinan isteri terhadap penjagaan kesihatan juga secara tidak langsung menimbulkan kesedaran agar lebih menitikberatkan kesihatan yang dianggap aset paling berharga dalam kehidupan.
Hadir bersama Scha pada program Bengkel Kesedaran Kanser Payudara di ibu pejabat Utusan Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini, Awal secara tidak langsung didedahkan tentang fakta bahawa golongan lelaki turut berisiko menghidap barah payudara.
Perkara tersebut lantas menjadikan dirinya lebih berjaga- jaga agar dijauhkan daripada tergolong dalam senarai penghidap penyakit kronik tersebut.
KOSMO!: Apakah yang mendorong Awal untuk terlibat dalam Kempen Kesedaran Payudara sedang ia seperti khusus untuk golongan wanita?
AWAL: Acara ini merupakan anjuran Yakult Malaysia dengan kerjasama Utusan Malaysia. Bertindak sebagai duta produk, saya bertanggungjawab memberi pendedahan tentang kepentingan penjagaan kesihatan.
Buat mereka yang tidak menyedari, Oktober merupakan bulan kesedaran tentang penyakit kanser. Bukan bermaksud acara seperti ini hanya dilakukan pada Oktober sahaja tetapi ia salah satu pendekatan menyemarakkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya pemeriksaan saringan kesihatan bagi mengenal pasti sama ada menghidapi kanser payudara atau tidak. Selain wanita, lelaki turut terdedah kepada penyakit tersebut.
Apabila mengetahui lelaki turut berpotensi menghidap kanser payudara, bagaimanakah reaksi anda?
Ia suatu pengetahuan baharu buat saya. Selalunya penyakit tersebut kerap menyerang golongan wanita berbanding lelaki. Oleh sebab itu, ramai berpendapat kanser payudara akan dihidapi oleh satu jantina sahaja. Kempen ini juga membantu saya untuk mengetahui teknik melakukan pemeriksaan sendiri dengan menggunakan bantuan cermin. Dalam kempen, khalayak diberi pendedahan mengenai perubahan pada payudara terutama sekiranya terdapat benjolan yang meragukan.
Secara peribadi adakah terdapat ahli keluarga anda yang menghidap kanser?
Tidak dinafikan kanser adalah penyakit yang paling ditakutkan. Lebih menakutkan apabila ia melibatkan genetik dalam keluarga. Antara salah seorang ahli keluarga yang menghidapi penyakit tersebut ialah arwah nenek sebelah ibu yang mengalami barah payudara, manakala ayah pula berdepan kanser kolon.
Alhamdulillah, ayah tidak perlu menjalani rawatan kemoterapi kerana berjaya menjalani pembedahan sekitar 10 tahun lalu.
Dalam pada itu, tiada seorang pun ahli keluarga sebelah ibu yang menghidap penyakit kanser selepas nenek. Namun, saya agak prihatin dalam soal penjagaan kesihatan.
Syukur, isteri juga seorang yang amat menitikberatkan perkara tersebut. Ini menjadikan kami saling menyokong antara satu sama lain dalam menjalani kehidupan secara sihat.
Selain melakukan ujian saringan kesihatan, apakah yang dilakukan bagi melindungi anda sekeluarga daripada menghidap kanser?
Amalan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti riadah dan penjagaan makanan. Mungkin kelihatan mudah tetapi pemakanan menjadi salah satu penyumbang pelbagai masalah kesihatan termasuk kanser.
Jadi, pengambilan diet seimbang penting untuk memastikan kesihatan tubuh badan. Saya dan isteri juga telah melakukan pemeriksaan genetik pada tahun lalu dan syukur segalanya berada dalam keadaan baik.
Selain itu, saya juga berasa bertuah apabila berkahwin dengan wanita yang bukan sahaja pelakon tetapi juga ‘doktor’ di rumah. Scha akan menggunakan alat ukur glukos dalam darah hampir setiap hari di rumah. Tidak mengira sama ada saya sedang berehat atau bekerja, dia pasti akan melakukannya secara tiba-tiba.
Bagaimanakah reaksi isteri apabila mengetahui terdapat ahli keluarga anda menghidap kanser?
Dia agak prihatin dan sentiasa menasihati agar pentingnya mengamalkan gaya hidup sihat dan melakukan pemeriksaan kesihatan berkala.
Selain itu, boleh kongsikan aktiviti seni terkini anda?
Saya masih meneruskan kerjaya sebagai pengacara rancangan Melodi dan kini telah masuk tahun keenam bersama program berkenaan. Saya juga akan mengendalikan program bertajuk CEO Desa terbitan TV3. Selebihnya, saya banyak terlibat dengan aktiviti sebagai duta produk.
Sekian lama rasanya tidak melihat kemunculan anda di kaca televisyen mahupun layar perak. Tidakkah anda teringin untuk kembali berlakon?
Saya lebih gemar terlibat dalam bidang pengacaraan berbanding lakonan. Biarlah isteri dan individu yang boleh berlakon meneruskan kerjaya mereka.
Tambahan, menunggu terlalu lama di set penggambaran antara salah satu faktor bidang lakonan bukan pilihan utama. Tawaran itu ada tetapi saya memilih untuk meneruskan kerjaya sebagai pengacara sahaja.