
Bintang peragawan dan peragawati terkenal, Ahya Rosli dan Tini kini membuka peluang kepada anak Melayu untuk tampil berjaya seperti mereka di pentas peragaan.
Berbekalkan ilmu dan pengalaman sedia ada, kedua-dua model terkenal ini bakal mencari Mr. & Ms. ONE SSM Melaka 2017 menerusi uji bakat yang bakal berlangsung di Mydin Mall, MITC Ayer Keroh, Melaka hujung minggu ini.
Ahya berkata, penglibatannya dalam program tersebut adalah untuk mencari pelapis model lelaki Melayu yang mampu membawa nama negara ke pentas peragaan antarabangsa kelak.
Tambahnya, dia yakin dengan kemampuan dan kredibiliti model lelaki Melayu yang sedia ada cuma mereka mencari lebih banyak pelapis yang selama ini tidak tahu arah tuju bagaimana untuk mencari model.
“Saya mengasaskan Model Valet (Modval) yang merupakan sebuah agensi model untuk mencari pelapis dalam industri peragaan. Kerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) membolehkan kami menjelajah mencari protege.
“Kita bermula dengan pendaftaran peserta dan sesi ujibakat pada hari pertama iaitu 7 Oktober. Pemenang akan diumumkan pada hari terakhir (keesokannya) setelah lapan peserta teratas yang bertanding dinilai oleh juri, saya dan Tini.
“Setiap peserta bukan sahaja perlu memiliki kebolehan dan kriteria seorang model, malah mereka juga perlu ada jiwa dan minat mendalam. Aset dan bakat jalan seiring,” katanya.
Dalam pada itu, sebagai salah seorang juri, Tini berkata, seorang model perlulah mempunyai disiplin dan komitmen yang tinggi untuk berjaya di pentas peragaan antarabangsa.
“Kita tidak mencari model yang mempunyai ketinggian semata-mata. Tetapi apa yang penting adalah karisma, karakter, kecantikan dan semangat untuk bergelar seorang model.
“Mereka (agensi luar negara) tidak akan memaksa kita untuk tampil tanpa seurat benang. Sebagai seorang Islam, saya juga ada had dalam memenuhi kehendak pelanggan untuk memperagakan sesebuah jenama.
“Kita sentiasa mencari model-model yang mempunyai sikap profesional dan disiplin. Kalau lambat, buat perangai percayalah, anda tidak akan lama dalam industri,” kata model terbaik Minggu Fesyen Kuala Lumpur dan Malaysia sebanyak empat kali ini.