
Aktor Bront Palarae, 39, menzahirkan rasa syukurnya apabila penglibatan dalam filem terbitan Indonesia, Pengabdi Setan diterima baik oleh penduduk republik berkenaan.
Bukan itu sahaja, Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin turut digelar ‘hot daddy’ oleh warga tempatan yang telah menonton naskhah arahan Joko Anwar itu.
Dia ketika dihubungi memberitahu, respons positif tersebut amat menggembirakan dan menyenangkan hatinya.
“Saya hanya mampu bersyukur atas setiap pujian yang disuarakan mereka. Orang suka sentiasa lebih baik daripada orang yang menyampah dengan kita,” katanya ringkas.
Terdahulu, di laman sosial terutama dalam Twitter, penonton memuji penampilan Bront yang disifatkan seorang yang kacak, malah ada yang terganggu dengan kekacakannya.
Bahkan menerusi tanda pagar #pengabdibapak, terdapat segelintir daripada mereka menonton filem berkenaan berulang kali semata-mata untuk melihat sosok anak kelahiran Alor Star, Kedah itu.
Pengabdi Setan yang ditayangkan di Indonesia dan Malaysia adalah sebuah filem seram, mengisahkan watak Bapak lakonan Bront yang telah kematian isteri, namun kelibat wanita berkenaan kembali untuk melawat anak mereka.