Trofi unggul FFM29 hapus kategori bahasa


Khusairi (tengah kanan) bersama Ketua Pengarah Finas, Fauzi Ayob (tengah kiri) bersama sebahagian daripada karyawan seni yang hadir pada sidang akhbar FFM29 di Parkroyal Hotel, baru-baru ini.

BAGI mengelak daripada berdepan kontroversi mahupun pertikaian sesama karyawan industri, pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) mengambil pendekatan untuk tidak mengumumkan senarai akhir pencalonan Festival Filem Malaysia Ke-29 (FFM29).

Bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Sabtu ini, Ketua Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob, berkata, tindakan tersebut bukan sahaja demi mengurangkan percikan kisah kurang enak mengenai anugerah berprestij berkenaan bahkan sekali gus mewujudkan elemen kejutan kepada golongan karyawan dan peminat.

Selain itu, beliau turut mengumumkan untuk memansuhkan kategori Filem Terbaik Nasional dan Filem Terbaik Kebangsaan sebagaimana yang diaplikasikan pada FFM28 tahun lepas.

Mengambil pendekatan berbeza, pihak Finas juga berusaha sedaya untuk menterjemahkan tema anugerah iaitu Transformasi Citra Karya, sekali gus memilih hanya sebuah filem diangkat sebagai karya terbaik tempatan.

“Tahun ini Finas mengambil iktibar daripada kontroversi yang berlaku pada tahun lepas akibat pengasingan kategori filem terbaik tersebut.

“Jadi, semua filem layak bertanding untuk kategori filem terbaik sekali gus tidak timbul lagi kontroversi atau cerita negatif terutama melibatkan penggunaan bahasa,” jelas Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dalam satu sidang akhbar di ibu negara baru-baru.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Finas, Datuk Khusairi Abd. Talib.


Khusairi (tengah) bersama Mohd. Zulkifli (kiri) dan Fauzi memegang trofi FFM29 yang yang bakal dijulang oleh pemenang menjelang malam kemuncak FFM29, Sabtu nanti.

Dalam pada itu, Fauzi pula mengulas mengenai syarat penyertaan apabila Finas lebih memberi fokus kepada naskhah yang tidak pernah menyertai mana-mana festival filem dan mendapat sijil daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) pada atau sebelum 31 Julai lalu.

Penilaian pihak juri pula dilakukan secara dua peringkat iaitu bahagian pertama bermula 4 hingga 11 September manakala fasa akhir pula pada 12 hingga 19 September.

“Dengan pembaharuan syarat yang dikemukakan pada kali ini, ia dilihat membuka lebih banyak peluang kepada pihak penerbit untuk menyertai FFM29.

“Ini adalah mekanisme terbaik bagi menghargai setiap usaha karyawan di hadapan dan belakang tabir yang berjuang untuk mencapai kualiti kerja terbaik,” ujarnya.

Antara filem yang layak bertanding tahun ini adalah Bisik Pada Langit, Adiwiraku, Redha, Hanyut, Pekak, J Revolusi, Rock Bro, Abang Long Fadil 2, Interchange, My Mr. Right (Mandarin), Geethaiyin Raadhai (Tamil) dan Lurking Woods (Inggeris).

Malam anugerah FFM29 dihoskan oleh pelawak dan pelakon Zizan Razak yang digandingkan bersama tiga artis wanita iaitu Nabila Huda, Elizabeth Tan dan Thanuja.

Barisan selebriti yang bakat membuat persembahan antaranya kumpulan KRU, Aisyah Aziz, Mirwana, UNIC, Salamiah Hassan, Atilia, Shiha Zikir serta Akim & The Majistret.

Selain dianjurkan Finas, FFM29 turut disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia selain mendapat kerjasama daripada pertubuhan seni tempatan seperti Persatuan Penerbit Filem, Seniman, Karyawan, Profima, Gafim serta Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post