Marcell kagumi Noh Salleh


Jualan tiket yang memberangsangkanmembuatkan Marcell gemuruh kerana situasi tersebut menunjukkan harapan tinggi dan keterujaan peminat mahu menonton konsertnya secara langsung.

Sekitar 15 tahun lalu, sewaktu golongan penyanyi masih bergantung harap terhadap jualan cakera padat (CD) untuk memasarkan muzik terbitan masing-masing, Marcell Siahaan pernah berasa sedikit dukacita.

Hal ini kerana, album penyanyi kelahiran Bandung, Indonesia itu sering lewat tiba ke pasaran muzik Malaysia. Kelewatan itu menyebabkan pemuja kepada lelaki berusia 40 tahun itu ketinggalan untuk menikmati lagu-lagu baharunya.

Justeru, tidak hairan jika pemilik nama lengkap Marcell Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan itu merancang untuk mengadakan konsert ulang tahun ke-15 sebagai penyanyi di Kuala Lumpur bagi menebus kekurangan yang pernah dirasai peminat sepanjang tempoh berkarier sebagai anak seni.

“Sebelum wujudnya khidmat penstriman dan muat turun muzik, peminat di Malaysia sering ketinggalan untuk mendapatkan lagu baharu saya. Hanya selepas dua atau tiga bulan, baru lagu saya dimainkan di stesen radio tempatan.

“Jadi, bagi mengubat rasa kecewa yang mungkin masih berbekas sehingga kini, saya hadiahkan mereka sebuah konsert berskala besar pada 23 September nanti,” katanya pada sidang akhbar yang berlangsung di The Bee, Publika baru-baru ini.

Dijadualkan berlangsung di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, konsert yang diberi judul Once In A Lifetime tersebut bakal menyaksikan Marcell menyanyikan 40 buah lagu hits dengan iringan susunan muzik baharu.


Marcell berharap konsert ulang tahun ke-15 karier nyanyiannya yang diberi judul Once In A Lifetime pada 23 September nanti akan memberikan hiburan penuh makna kepada peminat.

Menurut Marcell, banyak kejutan yang bakal dipersembahkan menerusi konsert tersebut. Salah satunya adalah penglibatan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh sebagai artis jemputan.

“Saya memang meminati muzik kumpulan Hujan sejak dahulu lagi. Pada pendapat saya, Noh mempunyai vokal unik dan tersendiri.

“Jadi, persetujuan Noh untuk berkongsi pentas dengan saya bukan sahaja membenihkan rasa teruja, malah bakal memberi dimensi baharu terhadap persembahan kami kelak,” ujar Marcell sambil enggan mendedahkan jumlah lagu yang bakal dinyanyikan oleh Noh pada konsertnya nanti.

Beralih bicara ke arah penerbitan konsert, penyanyi lagu Hanya Memuji itu tidak meletakkan sebarang standard terhadap persembahannya. Baginya apa yang lebih penting, konsert tersebut sebagai salah satu cara untuk menghiburkan peminat dalam suasana yang lebih intim.

“Saya tidak mahu meletakkan standard dalam persembahan kerana konsert ini diterbitkan buat peminat yang mencintai muzik saya sejak dahulu lagi.

“Asalkan lagu-lagu pada malam itu nanti diterima, saya sudah berpuas hati,” katanya jujur.

Dalam pada itu, Marcell turut meluahkan perasaan teruja apabila tiket paling mahal bagi konsert Once In A Lifetime telah habis dijual.

“Biarpun gembira menerima perkhabaran tersebut, namun jualan tiket yang memberangsangkan sedikit menakutkan saya. Selain harapan peminat yang tinggi, jualan tersebut juga memberikan bayangan bahawa masih ramai yang sanggup berhabis demi menonton saya secara langsung.

“Bagaimanapun, saya berharap dapat memberikan yang terbaik buat peminat,” katanya yang kini sedang dalam proses menyiapkan album jazz pertamanya.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post