Permainan emosi dalaman dengan air mata yang berjurai-jurai menjadi pilihan pelakon Siti Elizad Mohd Sharifuddin dalam mengemudi sesuatu watak.
Bagi pelakon yang pernah popular dengan drama bersiri Teman Lelaki Upahan itu, watak berat berperang dengan emosi adalah ‘makanan’ untuknya dalam membawa keluar semua rasa dalam jiwa.
Malah untuk mencapai aras yang dia mahu, Siti Elizad kerap kali berilusi hingga adakalanya terbawa-bawa dengan karakter yang diberi sehingga ke luar set penggambaran.
Apa pun gelaran yang diberi kepada cara Elizad, bagi dirinya cuma satu, sebagai pelakon dia perlu menjadi sebahagian daripada jalan cerita, mengenali watak dan seterusnya menghayati karakter sedalam mungkin.
“Sesetengah orang kata, cara ini dipanggil method. Apa pun yang digelar orang, kaedah itu memang perlu. Apabila saya menerima satu-satu nashkah, saya akan kaji semua aspek yang memungkinkan karakter itu menjadi begitu dan begini.
“Jadi apabila berada di hadapan kamera, saya sudah tidak takut lagi untuk meluahkan semua rasa dan permainan emosi akan berjalan dengan mudah.
“Sepanjang menjadi anak seni, saya menyedari watak berat yang membabitkan jiwa dan emosi serta air mata adalah kepakaran saya. Saya suka cerita berat yang memerlukan saya menangis-nangis. Itu jadi keterujaan untuk saya bekerja dan datang ke lokasi,” kata Elizad.
Suami sangka Elizad ‘psiko’
Berkongsi cerita, kata Siti Elizad, pernah suaminya, Shamsul Baharin Rahman menyangkakan dia mempunyai masalah psikologi apabila emosinya kerap kali bertukar ketika berada di rumah.
Ini berlaku apabila Siti Elizad terlalu terbawa-bawa dengan karakternya sehingga mengundang tanda tanya suami sama ada Siti Elizad sudah ‘bertukar’ kepada dirinya sendiri sebagai seorang isteri atau masih terikat dengan watak yang diberi.
“Suami saya ini orang yang pendiam. Dulu waktu awal-awal kahwin, dia tidak biasa dengan bidang lakonan. Jadi apabila saya diberi karakter seorang yang panas baran, kadangkala saya terbawa-bawa hingga ke rumah dan menjadi seorang yang baran.
“Dia sangka saya ini seorang yang ‘psiko’. Jadi apabila saya dalam mood begitu, dia akan bertanya sama ada saya sudah menjadi Elizad, isterinya atau masih lagi dengan watak yang saya lakonkan.
“Dia seorang yang sangat menyokong kerjaya saya dan menjadi pengkritik utama. Cuma satu nasihatnya ialah apabila balik ke rumah, tinggalkan karakter tersebut terutama yang membabitkan emosi dan kembali menjadi isterinya.
“Suami bimbang rezeki tak datang jika selalu terbawa-bawa dalam karakter yang begitu,” kata Elizad.
Apa pun sebagai seorang suami yang sentiasa cuba memahami, Shamsul Baharin kini menjadi teman latihan ketika Elizad mencanai idea di rumah. Ini termasuklah ketika dia membuat persembahan ketika menyertai rancangan realiti Gempak Superstar tidak lama dahulu.
“Suami akan melihat dulu bagaimana cara saya melakonkan watak. Dia akan menambah ilusi dan memberi idea daripada pandangan seorang lelaki yang matang. Ada masanya dia akan mengkritik kepada keperluan yang tepat untuk saya menunjukkan emosi.
“Ini membuatkan saya sentiasa dapat memperbaiki teknik lakonan hasil kritikan bernas daripada suami yang kadangkala juga membuatkan saya terfikir, rupanya ilusi suami lebih hebat daripada ilusi saya sendiri,” kata Elizad sambil disulami ketawa.
Apabila terlalu lama memegang karakter yang berat sehingga terbawa-bawa ke kehidupan harian, perlu bagi Elizad untuk menghilangkan perwatakan tersebut yang melekat dalam dirinya. Justeru, pelakon ini selalunya akan mengambil tawaran lakonan yang bersifat lebih santai.
“Biasanya saya akan membuat giliran untuk mengelakkan saya jadi terlalu penat dengan karakter yang berat. Misalnya jika ketika ini saya sedang berlakon drama berat, drama seterusnya pula mesti lebih ringan atau ada unsur komedi untuk saya lebih rileks.
“Orang tak tau membawakan watak berat sebenarnya membuatkan seluruh badan dan minda jadi penat. Sehingga adakalanya jadi sangat letih yang keterlaluan, sebab itu perlunya berehat seketika daripada situasi tersebut,” kata Elizad yang turut tercalon pada Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) apabila filem Harmonika lakonannya terpilih antara 53 karya yang dinilai oleh juri.