Sensasi Thanabalan


Thanabalan mengakui dirinya mungkin hanya menjadi seorang pekerja kilang jika bukan merupakan pemain bola sepak negara.

Dalam sekelip mata, nama N. Thanabalan penyerang skuad kebangsaan bawah 22 tahun (B-22) menjadi harum satu Malaysia. Semuanya gara-gara hasil jaringan cantik yang dilakukannya ketika membantu Malaysia menewaskan Indonesia, Myanmar dan Singapura pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) pada bulan lalu.

Secara tiba-tiba status Thanabalan, 22, setaraf bintang terkenal dan begitu sensasi. Pemain bola yang pada satu ketika dahulu menjalani kehidupan tenang kini berubah. Dia menjadi pujaan peminat. Satu budaya yang masih belum sebati dalam dirinya.

Biarpun masih kekok dengan semua layanan kelas bintang yang diterima, Thanabalan yang juga penyerang pasukan Felcra FC itu akur populariti yang diraih sedikit sebanyak menyekat privasinya.

“Memang banyak beza sebelum dan selepas KL2017. Sebelum ini orang tidak kenal saya, sekarang susah sedikit apabila keluar rumah. Ramai orang minta bergambar dan tiada privasi, namun saya menerimanya dengan baik,” kata Thanabalan memulakan bicara.

Masih segar dalam ingatannya perasaan gemuruh yang bersarang dalam hati ketika bermain PADKL2017. Menurut Thanabalan itu merupakan kali pertama dia bermain di padang sendiri dengan ribuan penyokong Malaysia memenuhi segenap ruangan stadium.

Jeritan penuh harapan setiap rakyat Malaysia yang hadir memberi sokongan kepada pasukan Malaysia sepanjang KL2017 merupakan kenangan paling indah yang tidak akan dilupakannya.

“Saya sudah biasa bermain dengan pasukan Malaysia, tetapi pada KL2017 suasananya amat berbeza. Itu merupakan pengalaman pertama saya bermain di negara sendiri dengan stadium penuh penyokong Malaysia. Saya akui takut dan gementar pada perlawanan pertama.

“Harapan semua orang cukup tinggi, saya bimbang penerimaan penonton jika pasukan Malaysia kalah. Namun, selepas perlawanan demi perlawanan saya sudah boleh membiasakan diri dan menganggap bermain bola di padang merupakan satu tanggungjawab sebagai salah seorang rakyat Malaysia,” tuturnya.

Sungguhpun begitu kejayaan yang dikecapi hari ini bukanlah hadir dalam sekelip mata. Terlalu banyak pengorbanan yang dilalui anak sulung daripada tiga adik-beradik sebelum dia diangkat menjadi seorang bintang bola sepak.

Keluarga

Thanabalan yang mula bermain bola sepak pada usia lapan tahun sekadar suka-suka di bawah tunjuk ajar bapanya, S. Nadarajah, memberitahu, dia serius dengan sukan tersebut pada usia 12 tahun apabila terpilih mewakili sekolah, daerah dan seterusnya Malaysia.

Bagai sudah diatur cantik, kerjaya bola sepak Thanabalan bertambah kukuh apabila dia ditawarkan untuk menyambung pelajaran di Sekolah Sukan Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor. Namun, harapan cerah keluarga Thanabalan berkecai apabila bapanya terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2013 yang menyebabkan lelaki itu lumpuh separuh badan.

Secara automatik selaku anak sulung dalam keluarga, Thanabalan yang ketika itu berusia 18 tahun mengambil alih tugas menyara keluarganya. Bola sepak yang dahulunya dianggap sekadar minat, kini bertukar kepada sumber pendapatan utama.

“Bola sepak merupakan jiwa dan hidup saya. Saya bukan orang senang, belajar pun tidak berapa pandai, jadi dengan bola sepak sahaja saya mampu mengubah nasib keluarga.

“Hal ini kerana selepas bapa kemalangan, saya mula bermain bola untuk wang demi menyara keluarga. Waktu itu saya tidak fikir langsung tentang menyambung pelajaran kerana meneruskan kelangsungan hidup adalah lebih penting buat keluarga saya.

“Andai kata saya tidak bermain bola, mungkin hari ini saya seorang pemandu lori atau pekerja kilang,” kongsi Thanabalan.

Kata Thanabalan, setinggi mana kejayaan yang dicapai keluarga selalu menjadi keutamaannya. Bagi anak kelahiran Negeri Sembilan itu, apa yang diterima hari ini adalah hasil doa dan berkat ibu bapa serta pengorbanannya menjadi kepala keluarga pada usia muda.

“Jika pentingkan diri dan mengabaikan keluarga, pasti saya tidak dapat kecapi kejayaan seperti hari ini. Keluarga merupakan tunggak kejayaan saya. Jadi buat anak muda di luar sana, setiap apa yang dilakukan ingatlah keluarga kerana tanpa mereka siapalah kita,” katanya memberi nasihat.

Kerjaya

Thanabalan mengakui kerjaya bola sepaknya semakin cerah termasuk ada laporan yang mendakwa dia dan lima lagi pemain muda pasukan (B-22) sedang diintai oleh kelab Liga 1 Thailand selepas aksi yang memberangsangkan pada KL2017. Meskipun sebelum ini tidak mempunyai sebarang impian untuk bermain di luar negara, namun perkembangan terbaharu itu menggubah fikirannya.

Selain bermain untuk mendapat pendapatan yang lebih tinggi, bagi Thanabalan itu merupakan salah satu cara untuk orang luar menggubah persepsi terhadap sukan bola sepak Malaysia.

“Saya mahu orang luar pandang tinggi terhadap pasukan bola sepak Malaysia. Setakat hari ini belum ada sebarang tawaran rasmi dan saya masih mempunyai kontrak dengan pasukan Negeri Sembilan sehingga tahun hadapan.

“Soal pasukan mana jadi pilihan, saya tidak kisah asalkan dapat bermain di padang. Tiada gunanya jika menerima gaji besar dan popular, tetapi tidak dapat bermain dan hanya duduk di bangku simpanan sahaja,” ujarnya.

Bercakap tentang perancangan masa hadapannya, Thanabalan yang merupakan peminat sukan permotoran itu memberitahu, dia mahu memiliki sebuah perniagaan dan menjadi seorang jurulatih pasukan bola sepak selepas bersara kelak.

Membesar dalam keluarga yang sederhana dan banyak tanggungan, Thanabalan amat berhati-hati dalam cara dia menguruskan kewangannya.

“Saya main bola bukan untuk glamor atau jadi selebriti. Saya main bola untuk sara keluarga dan berbakti kepada negara. Ia satu pekerjaan yang serius dan saya sentiasa berusaha untuk menjadi pemain bola yang lebih baik dalam setiap perlawanan,” kata Thanabalan mengakhiri bicara.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post