An Najwa pernah bermain sukan lompat jauh sebelum memberi fokus terhadap bola jaring sejak berusia 13 tahun.
Mengharungi latihan selama enam jam sehari dalam tempoh 18 bulan merupakan antara persediaan yang dilakukan oleh pemain bola jaring negara, An Najwa Azizan bersama pasukan Malaysia.
Duduk pada posisi GS (goal shooter), wanita berusia 20 tahun itu memikul tanggungjawab besar tidak hanya buat pasukan tetapi dalam masa sama, dia membawa harapan seluruh rakyat Malaysia yang menginginkan kemenangan.
Tangan Najwa disifatkan penuh magis oleh penggemar sukan bola jaring. Ada juga yang berseloroh, jangan sampai bola jatuh ke tangannya kerana kesempatan itu tidak akan disia-siakannya untuk memastikan bola itu membolos jaring lawan.
Memulakan perbualan dengan menyeringai sehingga menampakkan barisan gigi yang putih tersusun rapi, anak keempat kepada bekas pemain ragbi negara, Azizan Azmi itu cukup ramah.
Seorang yang mudah didekati selain gemar berjenaka, gadis yang mesra disapa sebagai Najwa itu tidak melihat tanggungjawabnya sebagai atlet negara menjadi satu beban. Sebaliknya, dia berasa bangga apabila menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia yang mampu mengharumkan nama negara ke peringkat antarabangsa.
Kemenangan menumpaskan pasukan Singapura 65-41 pada peringkat akhir temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) Ogos lalu menjadikan nama Najwa antara yang disebut dan mencuri perhatian.
“Memang kelihatan seperti satu beban secara mata kasar, tetapi ia adalah penghormatan buat saya kerana dapat menabur bakti buat tanah air sendiri dan berasa bangga menjadi rakyat Malaysia.
“Kesukaran dan kepayahan seperti tidak terasa sejurus melihat wajah ceria ahli pasukan dan seluruh rakyat Malaysia yang memenuhi stadium sambil melaungkan sorakan merupakan detik paling bermakna buat saya,” ujar penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan komunikasi.
Impian
Bergelar atlet tidak bermakna Najwa mengurung dirinya dalam zon sukan semata-mata. Hal itu menyaksikan Najwa memilih untuk menyambung pengajian peringkat ijazah dalam bidang komunikasi media.
Jawapan yang meluncur laju dari mulutnya mengenai keputusan itu ialah keluarga. Memenuhi keinginan ibunya, Norsila Jaafar yang mengharapkan untuk melihatnya menjadi selebriti televisyen merupakan sebab buat Najwa memilih untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan tersebut.
Kata Najwa, pengorbanan ibu yang selama ini tidak pernah lelah memberi sokongan selain bersabar tatkala dirinya tidak mampu meluangkan waktu bersama keluarga kerana jadual yang cukup padat menjadi sebab utama dia memilih haluan berbeza.
Sempat melontarkan pandangan ke arah ibunya yang melabuhkan punggung duduk di bangku sebelahnya, Najwa memberitahu, dia begitu mencintai orang tuanya.
“Saya mula tertarik dengan bola jaring sewaktu berusia 13 tahun apabila dipelawa oleh seorang guru. Tanpa sebarang pengalaman, saya dahulu yang aktif dalam sukan olah raga mula jatuh cinta dengan bola jaring.
“Namun, sebagai anak saya tetap mempunyai tanggungjawab buat keluarga serta menabur bakti buat mereka. Biarpun kerjaya sebagai selebriti televisyen merupakan keinginan ibu, tetapi impian saya ialah membahagiakan mereka.
“Selagi hayat dikandung badan, saya akan terus berusaha sedaya mungkin untuk berbakti kepada keluarga, negara dan bangsa. Semangat itu tidak akan luntur selagi kita berasa bangga menjadi diri sendiri dan rakyat Malaysia,” katanya penuh semangat dan nilai patriotisme.
Populariti
Dengan memiliki ketinggian hampir mencecah 180 sentimeter (cm), atlet muda itu kini meraih populariti persis seorang selebriti popular tanah air.
Kelincahan, ketangkasan, kecekapan dan fokusnya di dalam gelanggang juga menjadi punca utama nama Najwa bertebaran wangi sebaik KL2017 tamat.
Perhatian yang diterima tidak menjadikan penggemar setia minuman teh ais itu lupa diri sekali gus meletakkan diri pada peterana berbeza daripada personaliti sebenarnya.
Dia menyifatkan setiap apa yang diperkatakan oleh khalayak mencerminkan mereka mengambil berat akan dirinya dan tidak mempunyai masalah untuk menangani situasi tersebut.
“Bila masyarakat memberikan perhatian, itu bermaksud mereka sedar akan kehadiran dan menerima apa yang saya lakukan. Tidak mengira sama ada ia pandangan negatif atau positif, saya terima dengan hati terbuka.
“Kekal positif dalam setiap perkara adalah kunci buat saya berdepan dalam apa jua keadaan.
“Perhatian yang diberikan bukan bermaksud saya popular, tetapi ia melibatkan bagaimana cara kita terus kekal menjadi diri sendiri daripada terlalu memikirkan pandangan orang lain,” ujar Najwa panjang lebar sambil tersenyum.