Nadiya Nisaa belajar kawal emosi


Peristiwa sedih bayi dalam kandungan meninggal dunia Julai tahun lalu masih segar di ingatan pelakon Nadiya Nisaa.

Malah, Nadiya, 32, mengakui dia beremosi apabila ditanya mengenai perkara itu namun cuba mengawal perasaannya.

“Sebagai ibu saya sentiasa teringat perkara ini. Yelah, siapa boleh lupakan kejadian sebegini sekelip mata. Apatah lagi saya mengandungkannya sembilan bulan sebelum disahkan meninggal dunia dalam perut.

“Apabila orang sekeliling bertanya saya cepat beremosi. Secara zahir saya tidak menunjukkan reaksi itu tetapi selepas jawab baru tersedar yang saya sebenarnya belum ‘move on’.

“Disebabkan itu sampai sekarang saya masih belajar cara untuk mengawal emosi. Setiap kali teringat perkara ini saya akan fikir hikmah di sebaliknya,” kata Nadiya.

Menurut Nadiya, perasaan sama turut membelenggu dirinya apabila rakan dan keluarga bertanya atau membuka cerita itu.

“Setiap kali berdepan situasi ini, saya akan bercerita kepada suami. Ternyata dia juga rasa apa yang saya rasa.

“Saya bersyukur kerana suami sentiasa memberikan sokongan. Sejak mula tahu berita sedih itu sehingga sekarang, dialah yang paling memahami perasaan saya.

“Pada masa sama, peristiwa itu membuatkan kami sedar setiap yang berlaku adalah ketentuan Allah. Kami diuji dengan dugaan ini kerana Allah ingin gantikan dengan sesuatu yang lebih bermakna selepas ini,” katanya.

Pelakon filem Redha itu berkata, kehilangan besar itu sama sekali tidak membuatkan dia dan suami trauma untuk menambah zuriat.

Apatah lagi ketika Nadiya hamil anak kedua, anak sulung mereka, Omar berusia lima tahun.

“Saya dan suami reda dengan apa yang berlaku. Mungkin Allah tarik nikmat itu dan berikan perkara lain pula. Cuma dalam soal anak, saya dan suami tidak merancang. Kami berserah kepada Allah.

“Memandangkan usia saya sudah 32 tahun, kalau boleh tak mahu terlalu lambat hamil. Apatah lagi bekerja dalam bidang ini memerlukan perancangan sebaik-baiknya,” katanya.

Pelakon ‘Award Winning’?

Nadiya yang kembali aktif berlakon selepas habis berpantang hujung tahun lalu lega apabila dua filem lakonannya, Redha dan Interchange dipertandingkan dalam Festival Filem Malaysia ke-29 yang bakal berlangsung pada 23 September ini.

Berdasarkan kualiti pembikinan dan mutu lakonannya untuk kedua-dua filem itu, nama Nadiya disebut-sebut sebagai calon kategori Pelakon Wanita Terbaik.

“Kedua-dua filem ini memberikan tekanan berbeza. Filem Interchange memaparkan sisi berbeza penampilan saya dan Redha pula lebih kepada skil lakonan.

“Meskipun ramai memaklumkan kurang faham jalan cerita Interchange, saya bersyukur apabila filem ini mendapat pencalonan.

“Jika nama dicalonkan, saya bersyukur dan rasa dihargai. Bagi saya itu sudah memadai,” katanya.

Nadiya menafikan dia hanya membintangi naskhah berkualiti dan berpotensi menang anugerah.

“Apabila terima tawaran berlakon, saya tak pernah fikir mengenai anugerah. Saya hanya terima karya yang dirasakan okey dan mampu menyerlahkan lakonan.

“Apa saja watak diberikan, saya buat sehabis baik. Penonton adalah juri kerana mereka yang akan beri maklum balas. Daripada situ, saya boleh tahu prestasi persembahan saya,” katanya.

Nadiya berkata, penganjuran FFM wajar diteruskan setiap tahun kerana ia dinanti semua penggiat filem.

“Ini antara acara paling ditunggu pelakon dan karyawan filem. Saya teruja setiap kali menghadiri majlis yang mengangkat hasil kerja penggiat seni ini,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post