Hariani Hassan Bakri Sudah lama pendam hasrat


Enam belas tahun dalam industri memberikan pelbagai pengalaman buat penyanyi kelahiran Singapura, Hariani Hassan Bakri.

Selepas sekian lama berharap, dia akhirnya memberanikan diri mencuba nasib di Malaysia dengan memperkenalkan single Sulung berjudul Bagaimana Lagi.

“Saya bermula dengan program pencarian bakat, Anugerah pada 2001 dan mendapat tempat ketiga.

“Sejak itu memang ada perancangan masuk ke pasaran Malaysia tetapi belum ada rezeki,” katanya.

Ditanya mengapa mengambil masa terlalu lama untuk muncul dengan single pertama, Hariani berkata dia menanti material terbaik.

“Sebagai penyanyi, kita tentunya mahukan karya yang bagus. Sepanjang tempoh itu, saya mencari material serta komposer terbaik. Tidak ketinggalan saya berusaha mengumpul dana,” katanya.

Kejayaan beberapa rakan artis Kota Singa yang mencipta nama di sini membuatkan penyanyi berusia 33 tahun itu berharap kehadirannya juga dapat diterima ramai.

“Bagaimana Lagi sangat bermakna buat saya.

“Saya yakin ia mampu mencuri perhatian pendengar,” katanya.

Mengulas lanjut single solonya, ia adalah karya ciptaan Sharin Paul.

“Saya bersyukur dapat bekerjasama dengan komposer berkaliber.

“Ada beberapa komposer dari Singapura yang memberikan lagu tetapi saya memilih karya ciptaan Sharin kerana ia dekat di hati,” katanya.

Hariani juga berhasrat berkolaborasi dengan penyanyi popular yang menjadi idolanya.

“Saya peminat Datuk Jamal Abdillah dan teringin berduet dengannya.

“Artis muda pula, saya meminati Hael Husaini. Lagu dendangannya, Jampi popular di Singapura,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post