Ustaz Fathi Naim menggunakan hasil kutipan penjualan album zikir bagi mengutip dana kebajikan untuk pelajar-pelajar Ma’had Tahfiz Darul Wafa di Setia Alam, Selangor.
Jika ditanya tujuan utama penyanyi ketuhanan itu melangkah masuk ke industri seni, ringkas jawapannya iaitu untuk berdakwah sambil beramal.
Yakin dengan prinsip yang dipegang, dalam masa tiga tahun sahaja Ustaz Fathi Naim sudah berjaya melancarkan tiga buah album zikir.
Bertemu pada sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini, Fathi yang juga merupakan seorang pendakwah bebas rancak bercerita tentang permulaan perjalanan seninya.
“Segalanya bermula sejak dua tahun lalu ketika saya diundang untuk menyampaikan kuliah subuh di sebuah masjid di Subang Bestari, Selangor. Seperti biasa, saya pasti akan menyelitkan alunan zikir dalam kuliah.
“Selepas kuliah tamat, saya dihampiri oleh seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Isman daripada kumpulan Hijjaz. Isman menyatakan tertarik dengan suara saya dan mengajak untuk merakamkan sebuah album zikir,” katanya membuka bicara.
Tambah lelaki berusia 25 tahun itu, pelawaan daripada Isman disambut dengan tangan terbuka biarpun jauh di sudut hatinya wujud perasaan tidak begitu yakin terhadap kebolehan diri.
Setelah diyakinkan oleh Isman, Fathi bagaimanapun bersetuju untuk menerbitkan album pertama berjudul Doa dan Zikir dan album kedua berjudul Al-Azkar. Menariknya, kedua-dua album tersebut telah mengutip sehingga 20,000 unit jualan.
Album ketiganya yang berjudul Al-Wafa pula berjaya mencatat jualan sehingga 3,000 unit dalam masa sebulan selepas dilancarkan.
“Cara penjualan album ini berbeza daripada yang lain. Saya menggunakan konsep menderma sambil beramal, jadi ia lebih banyak dijual ketika saya menghadiri jemputan mengadakan ceramah agama.
“Bukan tidak mahu memasarkan album ini di kedai muzik, namun saya lihat penjualannya lebih perlahan,” katanya.
Amal
Terus rancak berbicara, pelajar kelulusan Universiti Yamaniah, Sana’a, Yemen itu memberitahu, semua hasil jualan album tersebut akan disalurkan kepada sebuah pusat tahfiz miliknya.
Fathi yang merupakan Pengarah Ma’had Tahfiz Darul Wafa di Setia Alam, Selangor itu menggunakan hasil jualan album tersebut sebagai dana kebajikan untuk pelajar-pelajarnya.
“Memang tujuan utama saya ketika menerima tawaran merakamkan album ini adalah untuk mencari dana demi pusat tahfiz ini.
“Alhamdulillah, niat saya dipermudahkan. Saya juga selalu mendapat maklum balas positif daripada pembeli kerana mereka dapat mendengar hiburan yang berfaedah daripada album ini,” terangnya tersenyum.
Ditanya keyakinan dirinya untuk terus bersaing menghasilkan album zikir dalam industri muzik sebagai pendatang baharu, dengan penuh optimis dia menjawab:
“Matlamat saya terjun ke industri ini bukanlah untuk menjadi artis semata-mata. Sebenarnya, apabila menerbitkan album ini saya mahu masuk ke dalam platform dakwah yang lebih luas. Saya mahu ruang dakwah secara zikir dan tazkirah pendek yang diselitkan dalam album ini sampai kepada orang ramai,” katanya seraya mengakhiri bicara.