Penyanyi Azhar Osman akui berdebar untuk tampil solo buat pertama kali dalam AF Megastar 3 September ini.
Bekas ahli kumpulan duo Azhael itu berkata ia langkah baru baginya dan bakal menyahut cabaran tersebut.
"Meskipun saya tahu ia agak sukar untuk saya yang sebelum ini bergerak berdua untuk tampil solo dalam pertandingan sebesar ini tapi saya terima ia sebagai cabaran.
"Ia merupakan langkah dan pengalaman baru buat saya untuk menapak dalam industri seni sebagai penyanyi solo selepas ini.
"Saya akui amat berdebar kerana sebelum ini berdua dan kali ini solo.
"Perkara yang paling saya berdebar adalah apabila melakukan kesilapan di atas pentas.
"Yelah sebelum ini berdua, jadi kalau salah seorang silap dan lupa lirik seorang lagi akan back up, tapi kali ini semua tertumpu pada saya seorang.
"Selain itu saya juga berdebar apabila diberikan kritikan pedas daripada juri.
"Sebelum ini segala kritikan diterima bersama dan kami boleh menyokong antara satu sama lain tapi kali ini saya perlu terimanya seorang diri," katanya kepada Astro Gempak.
Azhar sebelum ini dikenali sebagai Azhael ketika menyertai kumpulan duo bersama Hael Husaini dalam Akademi Fantasia 2013.
Azhar bagaimanapun memberitahu dia sudah membuat beberapa persiapan sebelum bertanding pada hari sebenar kelak.
"Dari segi persediaan saya banyak berjumpa dan bertanya dengan bintang AF senior sebelum ini tentang bagaimana hendak kawal debaran apabila membuat persembahan solo dan sebagainya.
"Selain itu saya banyak tonton laman Youtube dan belajar bagaimana mengawal darah gemuruh," katanya lagi.
Selain Azhar, bintang Akademi Fantasia lain yang bakal berkongsi pentas dengannya ialah Zahid (AF2), Faizal (AF4), Shahir (AF8), Faizul (AF2013), Firman (AF2014) , Sufi (AF2015), Amir (AF2016), Rosma (AF1), Bob (AF2), Adam (AF2), Anding (AF2), Marsha Milan (AF3), Amylea (AF3), Nubhan (AF6), Ari Pilus (AF7), Adira (AF8), Amir Jahari (AF9), Idayu (AF3), Indah Ruhaila (AF2013), Ewal (AF2014), Syamel (AF2015) dan Ara (AF2016).
Selama lapan minggu program AF Megastar akan disiarkan secara langsung dari Royal Theatre, Shah Alam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123) bermula 3 September ini.