Nubhan Ahmad kini bahagia bersama isterinya, Afifah Hidayah dan cahaya mata pertama mereka, Aafiya Kamilia setelah mendirikan rumah tangga pada 2015.
Tempoh dua tahun memperlahankan kerjaya dalam bidang nyanyian sudah cukup buat pemilik nama Ahmad Nubhan Ahamad atau lebih mesra dengan panggilan Nubhan membuat persediaan untuk kembali semula merancakkan industri.
Pada masa sama, penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu mengakui, sepanjang tempoh tersebut dia lebih memberi fokus terhadap pengurusan perniagaan produk kosmetik, Juwita Divine yang diusahakannya.
Kata suami kepada Afifah Hidayah Taufek itu, biarpun kerjaya sebagai penyanyi bukan lagi menjadi tumpuan utama seperti awal pembabitannya sekitar tahun 2008, namun dia tetap menyimpan hasrat untuk meneruskan minat dalam nyanyian.
Penyanyi berusia 31 tahun itu bahkan masih menunggu keputusan pihak syarikat rakaman Nova Music untuk menerbitkan album baharunya sejak setahun lalu.
Masih tidak mendapat sebarang pengesahan, bapa kepada seorang cahaya mata itu bagaimanapun membiarkan syarikat rakaman berkenaan membuat keputusan sama ada ingin melancarkan album tersebut atau tidak.
KOSMO!: Agak lama sebenarnya tidak melihat kemunculan Nubhan dalam industri hiburan tanah air. Adakah anda sudah melupakan kerjaya sebagai penyanyi?
NUBHAN: Saya masih ada dalam industri dan tidak mempunyai niat untuk berhenti. Sepanjang tempoh dua tahun merehatkan diri daripada dunia nyanyian, saya banyak memberi fokus terhadap pengurusan perniagaan produk kosmetik iaitu Juwita Divine. Tambahan, saya juga tidak mahu melakukan banyak perkara dalam satu masa.
Pengurusan perniagaan juga bukan satu hal yang mudah, lebih-lebih lagi saya masih baharu dalam bidang ini. Alhamdulillah keadaan perniagaan sekarang telah stabil dan sekiranya tidak mempunyai halangan, saya akan kembali membuat kemunculan semula.
Tidakkah anda berasa tempoh dua tahun itu terlalu lama untuk berehat selain ditambah pula dengan kemunculan ramai penyanyi baharu. Apakah perancangan anda untuk mengekalkan semula kedudukan sebagai penyanyi?
Persaingan itu pasti ada tidak mengira sama ada saya aktif dalam bidang seni atau tidak. Segalanya bergantung kepada rezeki masing-masing. Selain landskap industri yang kini telah berubah kerana ramai penyanyi boleh muncul menerusi pelbagai medium seperti aplikasi Smule dan YouTube. Jadi, saya tidak berasa tertekan dek persaingan kerana saban waktu ada sahaja penyanyi baharu akan muncul.
Adakah anda akan menghasilkan single atau album baharu sempena kemunculan semula nanti?
Buat masa sekarang saya tidak akan menghasilkan single baharu kerana menunggu pihak syarikat rakaman Nova Music melancarkan album baharu yang seharusnya dilakukan sejak setahun lalu. Saya menyerahkan keputusan tersebut kepada mereka sama ada album itu mahu dilancarkan atau tidak. Selain itu, perancangan lain untuk kemunculan semula ialah penyertaan dalam program realiti Akademi Fantasia (AF) Megastar. Diharapkan peminat akan terus memberi sokongan terhadap kerjaya seni saya pada masa akan datang.
Tidakkah anda berasa kecewa kerana hampir setahun album masih terperap dan tidak dilancarkan?
Sejujurnya, saya tidak menyimpan sebarang perasaan marah atau kecewa. Segalanya bergantung kepada rezeki Tuhan dan biarlah takdir menentukan. Tambahan, perkara tersebut diuruskan oleh pihak Nova Music kerana mereka bertindak sebagai penerbit dan biarlah mereka menyelesaikannya sendiri. Saya sendiri tidak meletakkan harapan tinggi sama ada album tersebut akan dilancarkan dalam tempoh masa terdekat atau tidak.
Adakah anda akan mengambil sebarang tindakan untuk mendesak pihak penerbit agar melancarkan album tersebut secepat mungkin?
Sama seperti apa yang dikatakan, saya tidak terlalu memberi fokus terhadap album tersebut kerana segala keputusan ditentukan oleh pihak penerbit. Biarlah mereka membuat penilaian sama ada ingin terus ‘peram’ album saya sampai bila.
Buat masa sekarang, saya masih belum menerima sebarang perancangan atau kata putus daripada syarikat rakaman, sama ada mahu melancarkan single terlebih dahulu atau terus dengan album penuh.
Selain kerjaya, bagaimana dengan kehidupan peribadi anda sekarang?
Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan baik-baik sahaja. Pengurusan perniagaan juga menunjukkan tanda positif termasuk kerjaya dalam bidang nyanyian. Saya juga bahagia membesarkan cahaya mata, Aafiya Kamilia yang kini berusia tiga bulan. Perasaan membesarkan cahaya mata sendiri juga berbeza berbanding kita melihat kanak-kanak lain. Kini, saya telah faham bagaimana rasa kepayahan kedua-dua orang tua membesarkan anak-anak dan kebahagiaan hidup berumah tangga.