Tasha Shilla sesudah episod luka


Tasha Shilla memilih untuk berehat selama dua tahun daripada dunia lakonan selepas putus cinta dengan kekasihnya.

Sebut sahaja nama Tasha Shilla terus terbayang deretan kontroversi yang pernah menghimpit pelakon berkulit sawo matang itu. Tidak keterlaluan jika dikatakan siri kontroversinya lebih menyerlah berbanding kerjaya seninya meskipun dia seorang pelakon yang berbakat.

Tasha yang dilihat lali dengan kontroversi tidak berkesudahan akhirnya tewas apabila cinta selama tiga tahun yang dibina kecundang di tengah jalan. Disebabkan putus cinta, Tasha atau nama sebenarnya, Natasha Sheila Abd. Razak, memilih untuk merehatkan diri daripada dunia seni.

Bukan merajuk tetapi kata Tasha yang ditemui pada sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini dia perlu masa untuk stabilkan emosi selepas hatinya dilukai.

“Jujurnya ketika putus cinta emosi saya sangat terganggu. Sebab itu saya mengambil keputusan untuk berehat sebentar daripada lakonan untuk stabilkan emosi. Tawaran lakonan sentiasa ada cuma saya yang menolak kerana ketika itu belum bersedia untuk bekerja.

“Saya tidak mahu menjadi orang yang tamak memperjudikan kerjaya dan menyusahkan orang lain kerana sedar dalam tempoh itu memang tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya terhadap lakonan.

“Kerja saya sebagai pelakon membawa karakter orang lain, tetapi emosi sendiri tidak stabil. Bagi saya ia satu keputusan yang tepat dan tidak pernah menyesal kerana yakin rezeki sentiasa ada,” tutur Tasha.

Mengakui kecewa kerana putus cinta, pelakon filem Ratu The Movie itu bagaimanapun tetap bersyukur dengan perjalanan yang diaturkan Allah untuknya. Tasha percaya setiap apa yang berlaku mempunyai hikmah dan kemanisan di sebaliknya.

Kini, Tasha yang berstatus solo tekad untuk kembali dan menebus semula gemilang dunia lakonan yang ditinggalkan selama dua tahun.

“Saya banyak belajar dengan apa yang berlaku dan kekal positif. Selepas ini saya akan lebih berhati-hati dalam bercinta. Soal hati saya tolak ke tepi dulu. Sebelum ini selama tujuh tahun saya bekerja tanpa henti. Selepas berehat selama dua tahun baru saya sedar dunia lakonan merupakan jiwa dan terapi yang membuatkan saya sentiasa gembira,” kongsi Tasha.

Seksi subjektif

Berbicara tentang imej seksi yang cukup sinonim dengan dirinya, Tasha tidak melatah atau menunjukkan sebarang tanda amarah kerana itulah fakta yang dihadam oleh peminatnya selama ini. Bagaimanapun, imej yang Tasha cuba tonjolkan dalam fotografi bersama Kosmo! agak berbeza dengan dirinya.

Hampir kesemua pakaian yang dibawa untuk sesi fotografi bersifat sopan dan tertutup. Tiada satu pun pakaian yang terdedah atau terbelah di sana sini. Menjawab mengenai persoalan tersebut, Tasha mengakui sebelum ini darah muda menguasai dirinya dan tanpa sedar melakukan kekhilafan yang memakan diri sendiri.

“Dahulu saya masih muda sentiasa ingin bergaya dengan selesa tanpa memikirkan impaknya. Sekarang pada usia 30 tahun dengan fikiran lebih matang, rasanya saya lebih selesa dengan gaya sopan dan sesuai dengan usia.

“Perubahan itu dibuat bukan kerana peminat, tetapi untuk kebaikan diri sendiri. Saya masih Tasha Shilla dan akan kekal menjadi diri saya sampai bila-bila. Apapun seksi itu bersifat subjektif, kadangkala saya pakai kebaya orang masih kata seksi,” katanya.

Bercakap tentang kontroversi yang sentiasa mengekori setiap langkahnya dalam bidang seni Tasha memberitahu, ia merupakan asam garam yang harus dilalui anak seni. Suka ataupun tidak, dia harus menghadapinya dengan tenang.

“Sebagai artis tidak kira pelakon atau penyanyi, kita tidak dapat lari daripada kontroversi. Bukan saya yang cipta kontroversi dan ia datang tanpa dipinta. Cuma apa yang boleh dilakukan selepas ini adalah lebih berhati-hati dengan setiap langkah serta tutur kata.

“Berdasarkan pengalaman yang ada, saya akan cuba kekal positif dan bersikap matang andai ditimpa kontroversi sekali lagi,” luahnya dalam senyuman.

Projek baharu

Selepas dua tahun menyepi tanpa sebarang projek lakonan, Tasha kembali dengan drama bersiri 30 episod, Sedingin Cinta Antasya yang telah disiarkan HyppTV saluran 116 bermula 21 Ogos lalu setiap Isnin dan Selasa.

Memegang watak utama sebagai Antasya bersama aktor Syazwan Zulkifly, Tasha menjelaskan drama tersebut mempunyai garapan dan jalan cerita yang cukup menarik sehingga membuka hatinya untuk kembali beraksi di depan kaca televisyen.

“Saya memegang watak gadis kampung yang menjaga seorang bapa tidak waras. Dia seorang wanita tabah dan perkenalan dengan seorang lelaki telah mengubah hidupnya. Selepas berkahwin, Antasya melalui banyak dugaan yang saya rasa menarik dan dilalui oleh kebanyakan wanita di luar sana.

“Secara keseluruhan penggambaran hampir tiga bulan dilalui tanpa sebarang masalah kerana kesemua pelakon dan tenaga produksi sudah seperti keluarga. Saya juga tidak mempunyai kesukaran mencipta keserasian dengan Syazwan kerana telah lama mengenalinya dan sebelum ini kami pernah bekerjasama untuk drama Gemilang,” ujar Tasha.

Selain Tasha dan Syazwan, drama yang menjalani penggambaran di Kuala Lumpur dan di Cherating, Kuantan, Pahang itu turut dibintangi oleh Nas-T, Erry Putra, Nizam Zaidi dan Talha Harith.

Dalam pada itu, Tasha tidak dapat menyembunyikan perasaan terujanya dapat kembali ke pentas lakonan seperti dahulu. Meskipun sedar terpaksa bersaing dengan ramai pelakon baharu, Tasha yakin dengan rezekinya kerana dia amat mementingkan kualiti lakonan.

“Sudah tentu saya teruja kerana sudah lama tidak keluarkan emosi di depan kamera. Sebelum berlakon drama Sedingin Cinta Antasya, saya terlibat dalam telefilem, Cucu Atuk, Biar Biola Berbicara dan Diari Cinta Kita. Cuma disebabkan ia telefilem peminat mungkin tidak perasaan kewujudan saya.

“Diharap selepas ini peminat dapat terus memberi sokongan kepada saya. Sebagai manusia saya belajar daripada kesilapan dan cuba memperbaiki diri untuk menjadi lebih baik setiap hari,” tegas Tasha menutup bicara.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post