Ayda Jebat terharu komitmen Shaheizy Sam


Aktres berkaliber, Normah Damanhuri turut menyerikan filem Pinjamkan Hatiku.

Tidak sekelumit pun tangkai kesungguhannya gugur memikirkan penonton kini lebih gemar menonton karya-karya aksi komedi, sebaliknya Osman Ali yakin filem bergenre cinta berjudul Pinjamkan Hatiku sentuhannya akan menjadi magnet untuk penonton ke panggung.

“Memang sudah terbukti dengan filem Polis Evo serta Abang Long Fadzil 2, kedua-dua filem itu berjaya meraih kutipan yang tinggi di pawagam. Tetapi janganlah semua filem kena buat genre yang sama. Biarlah setiap pengarah itu variasi dalam menghasilkan setiap filem, maka industri seni itu akan lebih berwarna,” jelasnya saat ditebak mengenai selera penonton di kala ini.

Berpegang teguh pada karya cinta agung, Osman optimis, filem bergenre lain selain aksi komedi juga mampu meraih kutipan pecah panggung asalkan promosi yang dijalankan sekuat Polis Evo dan Abang Long Fadil 2.

“Saya boleh jamin ini merupakan filem cinta terbaik yang pernah audiens tonton. Filem ini menampilkan penceritaan yang amat berbeza daripada filem-filem cinta yang pernah kita tonton. Selain memaparkan elemen kisah percintaan dua zaman yang berbeza bermula dari zaman remaja dan kemudian era selepas perkahwinan, filem ini juga bukan diadaptasi daripada novel sebaliknya adalah karya asal saya sendiri,” jelas pengarah yang popular menerusi filem Ombak Rindu itu.

Selain jalan cerita dan sinematografi yang menakjubkan, filem yang diterbitkan oleh Aurawhite Global Sdn. Bhd. dengan kerjasama Nuansa Film Sdn. Bhd. itu turut menampilkan gandingan mantap tiga pelakon utamanya iaitu Shaheizy Sam, Ayda Jebat dan Farid Kamil.


Trailer Filem Pinjamkan Hatiku

Cabaran

Mengulas mengenai pemilihan pelakon, Osman memberitahu, ketika menulis skrip filem tersebut lagi dia sudah membayangkan watak untuk Ayda dan selepas itu barulah pemilihan Sam dan Farid dilakukan.

“Pemilihan pelakon dilakukan secara perbincangan yang panjang antara saya, penerbit Aura White dan juga pihak Nuansa. Bagaimanapun, pemilihan Ayda adalah yang paling dekat dan mudah untuk dilakukan kerana saya sendiri membayangkan dia semasa menulis skrip,” ujarnya.


Salah satu babak romantik di antara Naufal (Shaheizy Sam) dan Laila Safitri (Ayda) dalam Pinjamkan Hatiku.

Bukan itu sahaja, menurut Osman, dia pernah bekerjasama dengan Ayda menerusi telemovie Nawaitu Cinta dan itu memudahkan baginya jika dia yang membawakan watak utama, Laila Safitri dalam filem Pinjamkan Hatiku.

Untuk watak Sam dan Farid pula, kata Osman yang juga merupakan pengarah karya popular seperti Anak Halal dan Toll Gate Girl itu, dia mahu dua bintang filem yang berpengalaman digandingkan dengan Ayda.

“Ketiga-tiga pelakon memberikan kerjasama begitu bagus walaupun berdepan banyak cabaran ketika menjalani penggambaran. Pinjamkan Hatiku mengambil latar lokasi empat buah negeri iaitu Pahang, Perak, Kedah dan Perlis. Disebabkan itu penggambarannya agak memakan masa sehingga 45 hari,” ujarnya.

Tambah Osman, untuk mendapatkan sinematografi yang menakjubkan, dia, kru dan para pelakon terpaksa merentas hutan selama sejam untuk sampai ke Air Terjun Pelangi yang terletak di Sungai Lembing, Pahang.

Ayda bergelut

Sementara itu, bagi pelakon utamanya, Ayda, dia mengakui berdepan banyak cabaran ketika menjayakan watak Laila. Biarpun mengalami kecederaan, Ayda berasa puas hati dan berbaloi dengan pengorbanan yang dilakukannya demi filem tersebut.

“Saya bersama pelakon lain serta kru produksi terpaksa mendaki bukit sejauh sejam untuk mendapatkan rakaman pelangi di Air Terjun Pelangi, namun disebabkan pelangi tidak muncul kami terpaksa turun semula. Maka, keesokan paginya kami terpaksa mendaki semula seawal pukul 4 pagi dan akhirnya rakaman pelangi berjaya diperoleh.

“Bukan itu sahaja, saya juga mengalami kecederaan ringan ketika penggambaran, bahkan seorang kru audio meninggal dunia dalam satu kemalangan ketika dalam proses menyudahkan penggambaran filem berkenaan,” ujarnya ketika dihubungi Sensasi Bintang.


Sam dan Ayda serasi sebagai pasangan kekasih dalam filem ini.

Menurut Ayda lagi, watak Laila mencabarnya sebagai seorang pelakon. Malah, ia menuntut penyanyi yang popular dengan lagu Pencuri Hati itu bermain dengan emosi yang sarat.

“Ini juga merupakan pertama kali saya bawa watak yang berat di bawah arahan Osman Ali. Namun saya bersyukur kerana mendapat tunjuk ajar lakonan selama dua minggu bersama aktres tersohor, Fauziah Ahmad Daud. Saya juga berterima kasih pada Sam dan Farid kerana mereka banyak membantu saya menghidupkan watak Laila.

“Saya cukup kagum dengan komitmen yang Sam berikan. Dia bergelut dalam menghidupkan watak Naufal seorang pesakit kanser sehingga sanggup tidak menjamah nasi selama sebulan. Bayangkan dalam keadaan perut yang lapar tetapi dia masih mampu menjayakan watak Naufal dengan baik. Daripada situ saya belajar bukan mudah untuk menjadi seorang aktor filem,” katanya mengenai filem yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam bermula 30 November ini.

Lagu popular

Dalam perkembangan lain, Ayda bersyukur kerana lagu tema filem Pinjamkan Hatiku, nyanyiannya bersama Adi 6ixth Sense, meraih jumlah tontonan mencecah 400,000 walaupun baru dimuat naik di laman YouTube selama seminggu.

Filem Pinjamkan Hatiku mengisahkan tentang seorang penulis novel bernama Laila Safitri yang pulang ke kampung tempat dia dibesarkan oleh neneknya dengan hasrat untuk menyiapkan novel terbaharunya.

Ketika berada di sana, Laila mengambil peluang untuk bertemu dengan rakan-rakan sekolahnya. Tanpa disedari, kehadiran Naufal iaitu rakan sekolahnya dahulu yang suka menyakat Laila telah membuatkan hati gadis itu berbunga-bunga.

Timbul bibit-bibit cinta antara Naufal dan Laila sehingga membuatkan wanita itu lupa akan segala pahit dan kesakitan yang dialaminya. Gelak tawa dan riang bersama menjadi makanan harian mereka sehingga datangnya seorang pemuda bernama Doktor Hasnan yang merubah corak cerita cinta Laila dan Naufal.

Post a Comment

Previous Post Next Post