Selepas beberapa hari mendiamkan diri, Fathia akhirnya mengaku dirinya wanita seksi dalam rakaman video yang bertebaran di laman sosial baru-baru ini.
Pijarnya suhu termometer hiburan tanah air sepanjang minggu ini pastinya menyoroti kewujudan dua video memaparkan seorang wanita dalam keadaan seksi yang didakwa mirip aktres popular, Fathia Latiff apabila tidak putus-putus bertebaran tanpa sempadan di kanvas media sosial.
Selepas beberapa hari mengambil pendekatan mengunci mulut sebaik video itu tersebar, Fathia atau nama sebenarnya Nur Fathia Abdul Latiff, 30, akhirnya mengaku dia sememangnya wanita seksi berkenaan pada Rabu lepas.
Akui Fathia, dia tidak sedar video itu dirakam pelakon baharu, Natasha Elyzza menerusi aplikasi Bigo Live ketika mereka bersama beberapa rakan wanita menyewa sebuah vila sebelum ini.
Bukan apa, Fathia pastinya memiliki sebab tersendiri mengapa dia mengambil masa yang agak lama untuk membuat pengakuan sedemikian.
Senang cerita, Fathia berada pada lokasi dan waktu yang salah. Jika tidak kerana video itu dirakam Natasha, mana mungkin segala-galanya terjadi.
Cuma yang tidak sedap hati, tindakan Natasha yang pada mulanya menafikan wanita itu Fathia ketika ditanya pihak media sebelum ini juga memburukkan lagi keadaan.
Sama ada dia sekadar mahu melindungi Fathia ataupun tidak, penafian Natasha pada waktu tersebut jelas mengelirukan.
Natasha Elyzza enggan mengeluarkan sebarang kenyataan kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.
Nah, jangan pandang sebelah mata terhadap kuasa yang dimiliki netizen di laman sosial. Kurang 24 jam selepas penafian Natasha, tiba-tiba timbul pula video susulan kedua di laman sosial.
Kali ini, rakaman video berkenaan lebih jelas dan terang serta memaparkan wanita berkenaan yang sekadar berkemban, selain mengaku dirinya ialah Fathia.
Sekelumit pun tidak diamuk perasaan marah waima berdendam gara-gara insiden itu, Fathia sebaliknya turut enggan menyalahkan Natasha terhadap apa yang telah berlaku.
“Jangan salahkan dia. Natasha tidak bersalah. Dia juga masih dalam proses belajar. Saya benar-benar memohon maaf kerana tidak berniat untuk menunjukkan contoh yang tidak baik kepada masyarakat,” tulis Fathia di laman Instagramnya,
@fatiyalatiff.
Akui Fathia, dia tidak pernah tahu kewujudan aplikasi Bigo Live sebelum ini, selain tidak menyedari video yang dirakam menerusi aplikasi tersebut boleh diakses secara langsung oleh netizen.
Dalam pada itu, Natasha semasa dihubungi juga enggan mengeluarkan sebarang kenyataan kerana dikhuatiri akan mengeruhkan lagi keadaan.
“Minta maaf, saya berdepan terlalu banyak masalah ketika ini, jadi saya tidak mahu komen apa-apa,” ujarnya ringkas kepada Sensasi Bintang.
Pada masa sama, Natasha turut enggan mengulas sama ada sudah mengadakan pertemuan serta memohon maaf kepada Fathia rentetan kejadian itu.
Apakan daya, nasi sudah menjadi bubur. Jadikan semua ini iktibar, Fathia dan Natasha.