Semalam, genap dua bulan usia perkahwinan pelakon Ummi Nazeera dan suaminya, Dr. Mohd. Izzar Anwari Abdul Khani selepas selamat menyimpulkan ikatan suci secara rasmi pada 23 Julai lalu. Semestinya, bergelar isteri, rutin hidup yang dilalui aktres filem Bisik Pada Langit itu banyak berubah.
Jika dahulu, dia hanya perlu memikirkan perihal urusan dirinya sahaja, tetapi kini dia perlu meletakkan suaminya juga dalam senarai keutamaan di samping menguruskan hidupnya sendiri.
Bagi Ummi, dia sendiri mengakui masih lagi dalam fasa ‘pengantin baharu’ yang cuba menyesuaikan diri melayari bahtera bersama jejaka berusia 30 tahun itu yang kini sudah rasmi menjadi si pemilik hatinya.
Menurut Ummi, pengalaman baharu sebagai isteri yang dilaluinya kini tidak banyak bezanya dengan pengalaman individu-individu lain di luar sana. Cuma, barangkali, kisah rumah tangganya itu menerima perhatian yang lebih sedikit dek dirinya yang berstatus sebagai anak seni.
“Tiada beza sangat pun. Cuma, rasanya saya menjadi seorang yang lebih rajin selepas berkahwin. Maklumlah, saya kini bukan sahaja sebagai seorang wanita yang berkerjaya, tetapi pada masa sama, seorang isteri.
“Makanya, hal-hal berkaitan keperluan dirinya (suami) itu saya perlu selesaikan seperti isteri-isteri lain juga. Rasanya, itu sahaja pertambahan tanggungjawab yang perlu digalas selepas mendirikan rumah tangga.
“Saya akan cuba sedaya upaya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan baik dan menjaga hatinya. Dahulu selepas solat Subuh, mungkin boleh baring-baring dulu, sekarang ini lainlah sebab kena buat semua benda,” seloroh pelakon berusia 27 tahun itu ketika ditemui Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.
Pandai bawa diri
Menurut Ummi, dia mengakui saat berita dirinya mahu mendirikan rumah tangga, bukan sahaja dirinya menjadi tumpuan, bahkan suaminya juga turut menerima tempias sama. Bagaimanapun, pelakon yang popular menerusi drama Nur Kasih itu memberitahu, itu semua sudah lumrah dalam dunia seni.
Ummi sebolehnya mahu meminimumkan perihal suaminya kepada dunia luar yang boleh menjadi tumpuan media.
Sungguhpun begitu, menurut pelakon filem Penanggal itu, sebolehnya, dia mahu memberikan ruang dan masa untuk suaminya menyesuaikan diri secara perlahan-lahan dengan dunia seni yang sudah mula dirinya belajar untuk menghadamkannya hari demi hari.
“Kalau boleh sebenarnya, saya tidak mahu komen mengenai suami. Bukan apa, rasanya sudah terlampau banyak cerita mengenai kami, lebih-lebih lagi perihal perkahwinan tempoh hari.
“Sebolehnya, saya mahu beri ruang privasi kepadanya. Maklumlah, ini merupakan dunia baharu buatnya. Lagipun dunia saya berbeza dengan dunianya (bidang perubatan),” kongsi pemilik nama sebenar Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainulabadin itu.
Jelas Ummi lagi, bukan mahu niat mahu menyimpan kisah rumah tangga yang dianggap cukup peribadi bagi sesetengah individu, cuma katanya, sebolehnya, dia mahu meminimumkan perihal suaminya kepada dunia luar yang boleh menjadi tumpuan media.
“Suami saya seorang yang sangat memahami. Dia tidak ada merungut mengenainya (privasi), Cuma saya mahu minimumkan (cerita melibatkan dirinya).
“Saya tidak akan sorok cerita tetapi mahu dia dapat membiasakan diri dengan persekitaran baharu ini secara perlahan-lahan. Bukan apa, saya tidak mahu apabila di tempat kerja pun dia rasa tidak selesa pula ,” kongsinya.
Kata Ummi lagi, suaminya juga terbukti sudah mula menerima tempias popularitinya. Ini kerana ia terbukti apabila laman sosial Instagram suaminya juga kini sudah mencecah lebih 44,000 pengikut.
“Risau jugalah (seloroh). Tak mengapa, saya percayakan suami. Cuma, saya tak mahu dia menjadi rimas. Saya tahu, memang dia tidak boleh lari daripada kena tempias sebab saya adalah anak seni,” katanya.
Pada masa sama, kata Ummi, dia juga akan mengurangkan perkongsian bersifat peribadi mengenai hal rumah tangganya kepada dunia luar.
“Kami akan kurangkan meluahkan perasaan. Ini kerana, saya melihat perkara itu sebagai sesuatu yang peribadi antara suami dan isteri, melainkan mungkin pada hari-hari yang istimewa sahaja.
“Itu pun, rasanya dia tidak ada muat naik di Instagram sangat. Cuma hari-hari penting sahaja dia akan kongsikan,” katanya yang memberitahu pertama kali membawa suaminya ke acara hiburan sewaktu Majlis Pratonton filem Bisik Pada Langit baru-baru ini.
Suami Ummi kini merupakan antara pengkritik dalam lakonannya.
Suami puji
Kongsi Ummi lagi, dia bersyukur kerana suaminya merupakan seorang yang cukup memberi sokongan kepadanya untuk meneruskan kariernya dalam bidang lakonan.
Bahkan, katanya, suaminya kini juga mungkin merupakan antara pengkritik dalam lakonannya. Menurut pelakon drama Patahnya Sebelah Sayap itu, suaminya ada memuji lakonannya menerusi filem terbaharunya, Bisik Pada Langit.
“Saya bangga dan terharu apabila dia menghadiri majlis itu. Lagipun, saya nak dia ada di sebelah saya memberikan sokongan moral. Sudah pasti sebagai isteri, saya mahu dia ada di sisi.
“Sudah pasti saya akan terima kritikannya. Sebelum ini, hanya ibu dan abang yang memberikan komen, kini dia kena jujur pula dengan sayalah (dalam memberikan pandangan mengenai lakonan),” kongsinya yang bergandingan bersama Jalil Hamid dalam naskhah arahan Kabir Bathia itu.
Berkongsi pengalaman menonton filem lakonannya bersama suami tercinta, kata Ummi, dia merasakan suaminya juga turut berasa sebak dengan perjalanan cerita filem tersebut yang menemui penonton sejak Khamis lalu.
“Dia sukakan filem tersebut. Katanya, dia tidak kisah untuk menontonnya buat kali kedua. Sewaktu di dalam panggung wayang, saya ada terdengar bunyi hidung (suami) seperti orang teresak-esak, saya bertanya kepadanya, kenapa dengan hidungnya, tetapi jawabnya, dia bukan menangis tapi sedih,” seloroh Ummi.
Kata Ummi, filem tersebut menerima respons cukup positif dalam kalangan penonton yang menyifatkan ia sebuah karya yang mampu mengalirkan air mata.
“Ia merupakan sebuah karya mengenai kekeluargaan. Seorang bapa yang terlalu sayangkan anak perempuannya. Mungkin atas sebab itu ia jadi lebih dekat dengan diri kita,” kongsinya menutup bicara.