Menyedari kepentingan membantu insan memerlukan, penerbit dan aktres, Datuk Rafiena Ezanee Ramli berbesar hati mengambil 26 anak angkat dari Madrasah Idsrisiah, Kuala Kangsar, Perak.
Anak yatim berumur di antara 13 hingga 17 tahun itu dilihat sebagai sandaran terbaik selebriti itu mengekspresikan kasih sayangnya terhadap anak-anak terbabit.
Lebih bermakna, mereka diraikan selama tiga hari dua malam menerusi program bina semangat di taman tema Lost World of Tambun, Ipoh, Perak, 15 September lalu yang turut disertai pelakon, Raja Ilya.
Lebih manis dan memberi makna, program seumpama itu boleh dikatakan sebagai simbolik kepada ulang tahun ke-10 syarikat penerbitannya, Darkwave Pictures Sdn. Bhd.
Ditemui Media Hiburan sejurus selesai program tersebut, penerbit drama prolifik ini memberitahu, sejak awal penubuhan Darkwave Pictures lagi, mereka sudah pun memasang niat untuk membantu meringankan beban golongan memerlukan, khasnya anak-anak yatim.
Mengakui sentiasa bernazar dan berniat mengagihkan pulangan yang diperoleh kepada mereka yang memerlukan, Rafiena turut mengambil berat pesanan bapanya, Ramli Othman.
Datuk Rafiena Ezanee Ramli turut berkongsi, bapanya seorang yang tegas mendidik anak-anak sehingga berjaya membuka mata bekas heroin drama Perempuan Dalam Pasungan ini.
Bagaimanapun, kata Rafiena, bapanya seorang yang penyayang kerana dia sendiri kerap melihat kanak-kanak lain menerima duit atau coklat dan daripada situ, dia mula belajar cara itu.
Cerita Rafiena lagi, adik-beradiknya tidak dilimpahi kemewahan sebaliknya diajar erti hidup dan nilai positif selain menghargai insan yang lebih memerlukan.
Bercerita mengenai pengambilan anak angkat itu, ia rentetan perkenalannya bersama seorang rakan ketika dia dianugerahkan Selempang Tokoh Srikandi Tun Puteh oleh Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi tidak lama dulu.
Justeru, kongsi Rafiena lagi, sebelum ini pihaknya tidaklah terlalu spesifik membantu mereka yang memerlukan.
Cuma kini katanya, hala tuju kian jelas apatah lagi sejak mengunjungi sendiri Madrasah Idrisiah sebelum berpeluang beramah mesra dengan anak-anak angkatnya itu.
“Hati saya sayu dan tersentuh. Bila difikirkan, mengapa tidak kami ambil mereka sebagai anak angkat Darkwave Pictures. Kakitangan juga menyambut baik niat ini dan kami sama-sama cuba bantu selagi mampu," katanya.
Dia bersyukur kerana projek bersama yang pertama kalinya dilakukan di luar Kuala Lumpur itu berjalan lancar dan mendapat sokongan semua pihak termasuk rakan media.
Ditanya mengapa lebih memberi fokus serta komitmen membantu anak-anak yatim berbanding golongan lain seperti ibu tunggal, penerbit ini menjelaskan, pihaknya memberi perhatian sama terhadap golongan tersebut menerusi beberapa program yang sudah dilakukan dengan kerjasama anak syarikatnya, House of Dre.
“Kita ada juga terlibat di dalam beberapa siri bersama ibu tunggal. Misalnya sesi motivasi yang dianjurkan bersama House of Dre. Malah, kami turut menjalankan 10 sesi kelas untuk membantu ibu tunggal yang berminat memulakan bisnes," katanya.
Rafiena sememangnya mengambil berat kehidupan mereka yang memerlukan.
Sebelum ini katanya, bantuan hanya membabitkan saudara-mara sahaja dan kini dia bersedia berkongsi rezeki bersama anak-anak yatim berkenaan.
“Lagipun, ada di antara penghuni Madrasah Idrisiah yang sudah tiada ibu atau bapa. Jadi, rasanya mereka perlu ada orang untuk bergantung harap. Lagipun, kita sedia tahu doa anak-anak yatim ini lebih mudah ‘sampai’ pada-Nya.
“Kalau niat kita betul, bukan hanya mahu pergunakan mereka, InsyaALLAH, Dia akan bantu, memudahkan segalanya,” terang Rafiena jujur.
Terdahulu, pihaknya sudah menerbitkan sebuah program deko berkonsepkan amal berjudul Jejak Seribu Kaki yang bersiaran menerusi TVi.
Projek terkini
Selain berkongsi kegembiraannya atas kejayaan kem bina semangat bersama anak-anak angkatnya itu, Rafiena turut berkongsi terujanya atas misi baru demi memantapkan perjalanan Darkwave Pictures sebagai antara syarikat penerbitan terbaik.
“Sekarang program kami yang sedang bersiaran ialah Experience: Curi Curi Cuti sebanyak 13 episod di Astro Ria. Rancangan tersebut memberi peluang buat peminat setia artis untuk bercuti bersama bintang kesayangan mereka.
“Selain itu, Mr.Delicious juga kini rancak bersiaran menerusi Hip TV dan terkini, kami akan menerbitkan sebuah lagi drama komedi 13 episod berjudul KL meroyan,” rancang Rafiena yang turut merakamkan kegembiraannya kerana drama Syurgaku Tak Sempurna telah pun mendapat rating viewship tertinggi di Hip TV iaitu sekitar empat juta.
“Pada masa sama, kami ada juga merancang menerbitkan sequel Syurgaku Tak Sempurna 2 tidak lama lagi. Doakan perancangan ini akan berjalan lancar,” akhiri Rafiena yang sebelum ini menerbitkan sebuah filem komedi romantik, Kimchi Untuk Awak lakonan Aiman Hakim Redza, Emma Maembong dan Janna Nick bersama Astro Shaw.