Aliff Aziz belajar daripada kesilapan


Aliff Aziz berjanji untuk menjadi suami dan bapa terbaik dalam keluarga kecilnya.

Ibarat kata pepatah, barang yang lepas usah dikenang. Barangkali itu pegangan hidup sekarang buat pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz yang semakin bahagia dengan kehidupan sebagai seorang suami kepada wanita bernama Bella Astillah dan bapa kepada cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean.

Minggu lalu telah berlangsung majlis akikah dan cukur jambul anak lelaki pelakon drama Meh Sandar Lagi itu di Hotel The Roof Garden, Bukit Jelutung, Shah Alam. Mengakui banyak perkara menjadi pengajaran selepas episod hitam melibatkan dirinya dengan pelakon baharu, Afifah Nasir meledak kira-kira sebulan lalu, Aliff, 26, kini melihat kehidupan dari sudut lebih positif.

“Alhamdulillah, sekarang semuanya dilhat dari sudut pandang lebih yang positif. Perlahan-lahan, orang sudah tidak bercakap tentang perkara itu lagi. Bagi saya sendiri, ada banyak lagi perkara penting dalam hidup untuk diperkatakan.

“Saya sudah lama meninggalkan episod itu. Dengan berlangsungnya majlis pada malam ini dan melihat Ayden semakin membesar, ia semakin menguatkan semangat saya untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan yang lebih baik berbanding sebelum ini,” ujarnya.

Tanggungjawab

Tidak mahu lagi menoleh ke belakang, Aliff meluahkan khilafnya dan kesedaran yang hadir tentang tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa.

“Menerusi setiap kejadian sebelum ini, saya telah terima padahnya dan belajar banyak perkara. Bagi saya, dua perkara yang boleh saya lakukan apabila perkara buruk berlaku iaitu sebagai ingatan atau belajar daripadanya.

“Saya belajar banyak benda atas apa yang berlaku sebelum ini. Alhamdulillah, isteri dan keluarga banyak memberikan sokongan kepada saya,” kata Aliff yang turut mengakui banyak menghabiskan masa bersama keluarga selepas insiden berkenaan.

Sebulan selepas kontroversi kecurangannya ditiup angin, Aliff tidak menafikan dia menerima sedikit impak namun tidak mahu terus memikirkan tentang hal tersebut.

“Saya akui, publisiti buruk tetap juga publisiti. Apa yang berlaku sebelum ini memberi kesan tidak molek terhadap kerjaya seni, tetapi saya tidak mahu berfikiran negatif.

“Saya juga tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak kerana perkara itu berlaku atas kesilapan sendiri. Sekarang adalah masa untuk saya kembali memperbetulkan keadaan dengan meluangkan lebih masa bersama keluarga.

“Saya dalam usaha untuk memperbaiki diri menjadi seorang suami dan bapa yang lebih baik. Saya sedar, sebelum menentukan masa depan anak, terlebih dahulu saya perlu merancang masa depan sendiri dengan sebaik mungkin,” jelas Aliff berhemah.

Menurut Aliff sebagai seorang bapa, dia ingin menunjukkan teladan dan melakukan sehabis baik dalam perihal membesarkan anak sulungnya.

“Mungkin ini kedengaran klise tapi saya ingin memberikan dia makanan dan pakaian yang terbaik. Kalau boleh, semua yang terbaik. Pada masa yang sama, saya perlu sentiasa memperbetulkan diri.

“Ada yang bertanya, bagaimana kalau Ayden menerima tawaran untuk terlibat dalam dunia hiburan. Bagi saya, masih terlalu awal untuk ke arah itu. Kehidupannya masih panjang. Apa sahaja rezeki yang memberikan kebaikan, saya dan isteri tidak akan menolak,” tutup Aliff.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post