Biarpun lebih tiga tahun membina kerjaya seni di Malaysia, pelakon kelahiran Singapura, Erwin Dawson mengakui masih belum mendapat pendedahan secukupnya untuk memperkenalkan bakatnya di sini.
Tidak semberono mengambil tawaran, Erwin sentiasa memastikan dirinya mengerjakan sesuatu yang berbaloi untuk menyerlahkan kemampuan lakonannya biar pun ia tidak bersifat komersial sebagaimana yang sering dikejarkan kebanyakan pelakon masa kini.
“Saya bukan menolak komersial, cuma jika perlu memilih salah satunya, semestinya saya mendahulukan kualiti meski pun saya sedar ketika ini elemen komersial sangat berperanan dalam menaikkan kerjaya seseorang.
“Kalau boleh saya mahu dikenali sebagai pelakon berkualiti, tetapi pada masa sama juga mempunyai ciri komersial sebagaimana yang buktikan Shaheizy Sam.
“Jadi, saya perlu memilih tawaran yang bersesuaian agar bakat saya dapat dinilai dengan baik dan bukan semata-mata mengumpulkan jumlah drama atau filem lakonan saya sebagai ukuran,” katanya yang mula dikenali menerusi drama Bencinta ini.
Terbaru, Erwin bakal muncul dengan filem arahan Kabir Bhatia, Bisik Pada Langit yang akan menemui penonton di pawagam mulai 21 September ini di mana dia beraksi bersama pelakon-pelakon hebat seperti Jalil Hamid, Beto Kusyairy dan Umi Nazeera.
“Kalau tengok pada barisan para pelakonnya, macam tidak percaya saya berada dalam frame yang sama dengan mereka untuk menimba pengalaman berlakon.
“Saya sedar naskhah ini bukanlah bersifat komersial di panggung, namun saya bersungguh menghadiri sesi uji bakat untuk mendapatkan salah satu karakter dalam filem ini kerana mahu menjadi sebahagian daripada naskhah yang hebat ini.
“Memang sebagai pelakon baru, saya faham tidak boleh terlalu memilih tawaran, namun saya cuba untuk berada di tengah-tengah semampu yang boleh,” katanya.
Tidak hanya aktif dalam bidang lakonan, Erwin kini berjinak-jinak dengan nyanyian apabila tampil menerusi duo A-OK menerusi single Terbaik yang menyaksikan kolaborasinya dengan Diana Danielle.
“Semuanya berlaku secara kebetulan dan tidak dirancang apabila Diana menunjukkan minat dengan lagu yang kami perdengarkan kepadanya.
“Saya tidak pernah mengimpikan untuk menjadi penyanyi yang terlalu hebat kerana tahu tahap vokal saya di mana, namun saya sudah cukup gembira jika dapat menyanyi untuk hiburkan orang,” ujarnya jujur.
Anggap kontroversi sebagai hikmah
Biarpun pernah satu ketika dirinya terpalit kontroversi sehingga mencetuskan persepsi kurang baik orang ramai terhadap dirinya, Erwin sentiasa positif dan menganggap apa pernah berlaku ketika awal kemunculannya dalam industri seni Malaysia itu sebagai sesuatu mempunyai hikmahnya yang tersendiri.
“Ketika itu saya tidak pernah terfikir apa yang saya katakan itu bakal mencetuskan kontroversi, namun ia berlaku di luar jangkauan saya.
“Biarpun sedikit kecewa dengan apa yang berlaku itu, saya cuba melihatnya dengan cara yang positif di mana menerusi kontroversi itulah orang mula mencari siapa saya dan secara tidak langsung memberi ruang kepada saya untuk memperkenalkan diri.
“Saya tidak mengatakan kontroversi itu sesuatu yang baik, namun saya hanya mahu melihat setiap perkara dengan berlaku itu datang dengan hikmahnya yang tersendiri membuatkan saya lebih cenderung untuk bersikap positif,” katanya lagi.
Bagaimanapun Erwin yang juga pelakon utama filem Dubai My Love ini mengakui sering dianggap sebagai poyo dan berlagak bagus apabila dia cuba untuk bersikap jujur dalam memberikan pendapatnya terhadap sesuatu.
“Saya sebenarnya tidak suka bersikap hipokrit dan berlaku tidak jujur dalam apa yang saya lakukan atau tuturkan kerana bagi saya ia adalah lebih baik kita bercakap benar walaupun kadang-kala orang sukar untuk menerimanya.
“Sebab itulah orang nampak saya macam poyo dan memberi persepsi yang kurang baik kepada saya, namun saya tidak melihat itu sebagai sesuatu yang masalah yang saya harus ambil pusing kerana mana mungkin kita dapat memuaskan hati semua.
“Saya suka fikir positif dan sentiasa percaya mereka menganggap saya begitu kerana tidak benar-benar mengenali saya secara dekat,” tegas Erwin.
Apa pun, Erwin meluahkan rasa syukur kerana kehadirannya di Malaysia diterima baik oleh peminat di sini membuatkan dia semakin bersemangat untuk mencari peluang yang lebih baik bagi mengembangkan bakatnya seninya.
“Alhamdulillah saya memang gembira dengan penerimaan orang di sini kerana mereka ada cara yang tersendiri untuk menghargai bakat seni seseorang.
“Peminat di Singapura juga menghargai, tetapi masing-masing mempunyai pendekatan yang berbeza apatah lagi industri seni di sana tidaklah sebesar di sini.
“Buat masa ini, kerjaya seni saya memang sepenuh masa di Malaysia, namun sesekali apabila ada tawaran yang bersesuaian dari Singapura, saya akan mempertimbangkannya,” katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama terbitan produksi Singapura, Kisah Tok Kadi.
Meskipun kini telah menetap di Malaysia, kata Erwin, dia sering berulang-alik ke Singapura untuk melawat kedua ibu bapanya di sana..
“Di Kuala Lumpur saya hanya seorang diri dan hidup berdikari dalam semua perkara dari awal datang ke sini dulu sehinggalah sekarang.
“Jadi setiap bulan saya akan pastikan dapat pulang menjenguk ibu bapa di sana dalam dua tiga hari untuk mengubat rindu dan jika tidak berkesempatan berbuat demikian, mereka pula yang akan datang melawat saya di sini,” katanya.