Semangat kental Ramli Sarip


Ramli Sarip terpaksa menggunakan duit sendiri bagi menganjurkan Konsert Gala Pelarian gara-gara penaja utama menarik diri.

Penyanyi rock legenda, Datuk Ramli Sarip tetap bersemangat dan berfikiran positif meskipun penaja utama Konsert Gala Pelarian yang akan berlangsung pada 25 Ogos ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur menarik diri.

Konsert amal yang sepatutnya berlangsung selama dua malam pada 25 dan 26 Ogos tersebut bagaimanapun terpaksa dijadikan satu malam sahaja disebabkan ketiadaan penaja dengan kos ditanggung oleh Ramli sendiri menerusi syarikatnya, Rasa Music.

Penyanyi yang popular dengan lagu Kamelia itu bagaimanapun menyifatkan apa yang berlaku sebagai dugaan daripada Tuhan.

Ia sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan konsert amal yang diadakan khusus bagi meringankan penderitaan etnik Rohingya.

Selain Ramli, 65, konsert yang dijadualkan bermula pukul 9 malam itu turut diserikan dengan persembahan Ella dan kumpulan Raihan.

KOSMO!: Bagaimanakah keadaan Datuk meneruskan konsert dengan ketiadaan pihak penaja?

RAMLI SARIP: Alhamdulillah. Biarpun pada mulanya kecewa dengan apa yang berlaku tetapi saya berlapang dada. Mungkin ini dugaan Allah. Jadi, saya kekal bersemangat, positif dan sentiasa tersenyum. Saya percaya setiap masalah ada jalan penyelesaian, begitu juga dengan konsert ini.

Ia sama sekali tidak akan menghalang saya daripada meneruskan konsert kerana niat asal adalah untuk membantu etnik Rohingya.

Apakah cabaran utama yang dihadapi apabila konsert yang sepatutnya berlangsung selama dua malam akhirnya menjadi satu malam persembahan sahaja?

Cabaran utamanya adalah terlalu banyak lagu yang perlu dipilih untuk mengisi satu malam konsert. Selain itu, tiada masalah besar kerana buat peminat yang telah membeli tiket untuk tarikh 26 Ogos akan diberi tempat dalam konsert yang berlangsung pada 25 Ogos.

Bezanya, peminat yang telah membeli meja untuk persembahan malam gala pada 25 Ogos akan dibawa masuk ke dewan pada pukul 8 malam untuk hidangan makan malam terlebih dahulu.

Sementara itu, peminat yang membeli tiket konsert 26 Ogos akan memasuki ke dewan sebelum konsert bermula pada pukul 9 malam.

Apakah kejutan yang dijanjikan buat penonton yang hadir?

Saya tidak boleh menceritakan secara terperinci. Namun, apa yang boleh dikongsi bersama peminat, buat pertama kalinya saya, Ella dan Raihan akan berduet dalam empat buah lagu.

Selebihnya biarlah menjadi kejutan pada hari konsert kerana saya akan pastikan ia menjadi sebuah persembahan yang istimewa dan penuh bermakna.

Bagaimanakah persiapan anda menjelang hari konsert?

Pada usia 65 tahun, saya bersyukur kerana diberi kesihatan yang baik dan masih mampu menghiburkan peminat. Cuma, saya akan pastikan cukup rehat dan tidur serta tidak boleh terlalu lasak.

Selain itu, saya tetap meneruskan amalan kesihatan sejak 30 tahun lalu seperti mengambil vitamin C, minyak ikan, minyak zaitun dan habbatus sauda.

Setakat ini bagaimanakah sambutan yang diterima?

Tiket yang berharga RM103 dan RM138 telah terjual sebanyak 50 peratus, manakala meja untuk makan malam hanya tinggal yang berharga RM8,000 sehingga RM2,000. Sementara itu, meja berharga RM15,000 telah habis ditempah.

Saya melihat sambutannya amat menggalakkan dan buat mereka yang masih ingin membeli tiket atau menempah meja, mereka boleh berbuat demikian dengan melayari laman web www.ilassotickets.com atau hubungi talian 03-2170 6333.

Lebih menarik, terdapat acara cabutan bertuah dan pemenangnya akan membawa pulang sebuah kereta Perodua Axia.

Post a Comment

Previous Post Next Post