Marcell mahu mendedikasikan sebuah rakaman terindah dalam karier bersama peminat di Kuala Lumpur menjelang konsert yang diberi nama Marcell ‘Once In A Lifetime’ pada 23 September depan bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-40, penyanyi Indonesia, Marcell Siahaan menyifatkan tempoh hayat yang dilalui tersebut sebagai sebuah pencapaian yang seharusnya diraikan secara besar-besaran dan penuh kemeriahan.
Bertitik tolak daripada situ terzahirnya idea mengadakan konsert solo pertama di Malaysia yang diberi nama Marcell ‘Once In A Lifetime’. Penganjuran malam penuh istimewa sebagai mengabadikan rakaman terindah untuk diingati sepanjang hidupnya.
Memahatkan judul konsertnya sebagai ‘Once In A Lifetime’, pilihan Marcell bagaimana menimbulkan persoalan seolah-olah dia sudah tidak mahu berkarya dan berhenti menjadi penyanyi. Marcell bagaimanapun berkata, penggunaan kalimat tersebut sekadar sebuah metafora kerana banyak pepatah mengatakan hidup seorang lelaki bermula pada usia 40 tahun.
Lantas, sekali seumur hidup, dia seperti akan memulakan semula kehidupan pada usia baharu dan mahu menzahirkan perasaan yang berbunga dalam dada dengan semua peminat di Malaysia.
"Tidak mungkinlah saya akan berhenti menjadi anak seni kerana seluruh kehidupan saya memang diabadikan untuk dunia ini. Jangan risau, anda masih akan melihat Marcell membikin lagu dan album selepas konsert ini berakhir.
"Namun saya tidak nafikan, konsert Marcell ‘Once In A Lifetime’ memang sangat istimewa. Biarpun ia sempena hari lahir ke-40 dan ulang tahun ke-15 saya sebagai penyanyi tetapi saya yang mahu menghadiahkan sesuatu buat peminat terutama di Malaysia," katanya sewaktu sidang akhbar konsert tersebut di Sri Hartamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Konsert yang bakal mengambil tempat di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 23 September depan turut menimbulkan persoalan mengapa Marcell memilih Malaysia sebagai lokasi.
Pelantun lagu Semusim itu mempunyai alasan yang cukup kuat. Keputusan tersebut diambil memandangkan puncak kariernya terbina di Kuala Lumpur dan peminat di Indonesia juga memahami perkara berkenaan.
Bukan mahu menafikan negara asalnya, suami kepada Rima Melati Adams itu cuma mengikut kata hatinya yang sering merasakan ada pertalian istimewa dengan peminat Malaysia yang sukar diluahkan dengan kata-kata.
"Ramai juga media di Indonesia menanyakan keputusan untuk membikin konsert di Kuala Lumpur tetapi sejujurnya, Malaysia ialah sebuah lokasi strategik.
"Peminat dari Indonesia, Singapura dan Brunei boleh turun beramai-ramai memeriahkan konsert ini. Sebetulnya tiket penerbangan ke Bali jauh lebih mahal berbanding ke Malaysia, jadi saya tidak melihat sebarang masalah tentang lokasi," ceritanya sambil tertawa besar.
Pilihan
Menyelongkar hati budinya menjelang genap usia 40 tahun pada 21 September nanti, Marcell mengakui sudah semakin matang dan jauh lebih tenang berbanding ketika usia muda.
Dahulu, dia seorang yang sangat agresif dan lantang menyuarakan sesuatu yang tidak dipersetujui, kini bapa kepada tiga anak lelaki itu jauh lebih rasional dalam berkata-kata.
Tambahnya, usia membuatkan dirinya lebih banyak berfikir dan melihat kehidupan sebagai satu pilihan yang luas tanpa perlu berasa terbeban dengan keputusan orang lain.
"Apabila saya memilih untuk tidak terlalu menyakitkan kepala dengan cuba menerangkan justifikasi keputusan sendiri kepada orang, ia membuatkan hidup lebih aman.
"Sekarang, jika ada perkara yang tidak disenangi atau kurang bersetuju, saya memilih berhenti membenci dan mencari perkara lain yang menyenangkan hati. Hidup ternyata lebih senang apabila berbuat begitu," jelasnya lagi.
Sementara itu, Marcell kini dalam perancangan untuk mengeluarkan album ketujuhnya. Kali ini, dia memilih untuk memasukkan lagu-lagu terbaik dalam kerjayanya sebagai konsep album berkenaan