Kumpulan Empayar By Ajai (dari kiri), Bard, Ajai, Nik, Alfa dan Rumie.
Kredibiliti penyanyi dan komposer terkenal, Ajai tidak perlu dipertikaikan lagi. Selama 30 tahun berkecimpung dalam industri seni, Ajai berjasa melahirkan ramai penyanyi popular tanah air.
Lagu-lagu ciptaannya juga kekal berkumandang di corong radio sehingga ke hari ini. Biarpun sudah berada pada tahap selesa, bekas anggota kumpulan Exists itu kini muncul dengan sebuah band yang digelar Empayar By Ajai demi mengukuhkan lagi profil seninya.
Band yang telah ditubuhkan sejak tahun lalu itu dianggotai oleh Nik sebagai pemain bass, Alfa (gitar), Bard (gitar) dan Rumie (dram), manakala Ajai selaku vokalis.
Menurut Ajai, penubuhan band tersebut bukanlah untuk mengikut trend semasa, sebaliknya demi kepuasan diri.
"Sebenarnya semua anggota band ini memang dikenali sebagai pemuzik dan penerbit terbaik dalam industri muzik tempatan. Kami bergabung bukan kerana mengikut trend atau mahu bersaing dengan band yang sedia ada.
"Sebaliknya kami muncul untuk menghasilkan sebuah karya terbaik dan dalam masa yang sama memuaskan hati sendiri. Selalunya kami bekerja buat lagu atau album untuk orang lain tetapi kini untuk band sendiri," kata Ajai membuka bicara.
Tambah Ajai, band Empayar By Ajai yang telah muncul dengan single Eksperimen Cinta bakal melancarkan sebuah album penuh selewat-lewatnya hujung Ogos ini.
Album yang mengusung genre intelligence progressive rock tersebut akan memuatkan sebanyak lima buah lagu.
Empayar By Ajai - Eksperimen Cinta
Berhabis wang
Demi mendapatkan kualiti terbaik, Ajai tidak ralat mengeluarkan wang sendiri sebanyak RM200,000 untuk pembikinan album sulung band berkenaan.
"Saya akui kos pembikinan album ini agak tinggi iaitu sebanyak RM200,000. Namun, saya tidak kisah berhabis wang demi kualiti terbaik sesebuah album.
"Bagi saya penting untuk mendapatkan kualiti, bunyi dan muzik yang berbeza daripada album penyanyi yang pernah diterbitkan sebelum ini," katanya.
Saat disoal tentang cabaran yang dihadapi sepanjang pembikinan album sulung berkenaan, setiap anggota band Empayar By Ajai hanya tertawa panjang.
Disebabkan mereka pakar dalam bidang masing-masing, pembikinan album mengambil masa agak panjang apabila setiap orang menjadi cerewet dan mementingkan setiap perkara, waima butiran kecil.
"Cabaran sebenarnya dari segi masa kerana selain komitmen terhadap band, kami mempunyai pekerjaan tetap dalam bidang muzik. Selain itu, masing-masing mempunyai minat muzik berbeza tetapi kami berjaya bergabung demi sebuah album," tutur Ajai.
Ajai sedar bahawa ahli band tersebut tidaklah popular jika dilihat dari segi rupa kerana masing-masing sudah berusia. Namun, bukan populariti yang dicari, sebaliknya mereka mahu memeriahkan industri muzik dengan muzik berkualiti.
Mereka yakin mampu menambat hati peminat muzik tempatan biarpun tanpa faktor visual dan populariti.
"Jika orang dengar lagu yang sedap, secara automatik mereka akan minat. Saya akui pasaran muzik sekarang dipenuhi dengan lagu balada, apa salahnya suntik kelainan dan memberi lebih pilihan kepada pendengar," ujar Ajai.
Ditebak sejauh mana mereka semua mahu membawa band Empayar By Ajai itu, komposer yang selalunya lantang bersuara itu tersenyum sambil menggelengkan kepala. Dia seperti tiada sebarang jawapan khusus untuk soalan tersebut.
"Mungkin sampai kami bosan. Saya sendiri tidak tahu kerana kami baru sahaja bermula. Apa yang saya harapkan peminat akan memberi sokongan kepada band ini," luah Ajai.