Ceritera cinta Mr. Delicious, Kilafairy, Eida Muin


Kilafairy mengakui lebih selesa berkongsi cerita tentang kerjaya berbanding menjaja kisah terutama perihal jodoh kepada umum. Baginya kisah peribadi tidak perlu dicampur-adukkan dengan kerjaya.

Beralih ke arah si jelitawan yang juga merupakan anak kepada penyanyi tersohor, Rohana Jalil iaitu Kilafairy, pelakon itu mulanya kelihatan sedikit kekok.

Melihat kepada bahasa tubuh dan riak wajahnya, wanita berusia 25 tahun itu disangkakan kurang senang untuk bersua muka dengan media, sementelah agak jarang melakukan sesi fotografi.

Setelah membetulkan tempat duduknya, pemilik nama lengkap, Syakila Nisha Jangir Khan itu nyata mudah diajak berbual. Membawakan watak sebagai Zaraa, Kilafairy kelihatan teruja bercerita tentang karakternya.

"Zaraa merupakan kawan baik kepada Fina dan Zita. Pada masa sama Zaraa, Fina dan Zita merupakan teman rapat kepada Aiman. Meskipun Zaraa mempunyai teman lelaki tetapi Aiman seakan-akan menaruh perasaan kepadanya. Pada masa sama, Zaraa juga menyimpan perasaan yang sama," ujar Kilafairy.

Hadir ke Studio Utusan bagi mempromosikan drama rantaian 30 episod tersebut, Kilafairy turut berkongsi cerita mengenai single terbaharu bertajuk Put the Words In.

Bekerjasama dengan penyanyi dari Amerika Syarikat, Sean Kingston, lagu tersebut dihasilkan oleh DJ Aku Ash, manakala liriknya digubah Bryn B dan Radio3000.

Merakam lagu dan klip video di Malaysia, Kilafairy mengharapkan taruhannya kali ini tidak hanya diterima peminat tempatan bahkan mampu menembusi pasaran antarabangsa.

"Saya teruja kerana berpeluang bekerjasama dengan Sean, sekali gus mengembangkan bakat dalam nyanyian.

"Rakaman telah dilakukan sekitar April lalu dan kami tiada masalah untuk berpadu kerana Sean seorang yang mudah mesra dan gemar berkongsi ilmu," terangnya.

Kerjasama Kilafairy dan Sean Kingston secara tidak langsung menjadikan dia penyanyi tempatan kedua selepas Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang berduet dengan selebriti antarabangsa itu menerusi lagu Remember You.


KISAH percintaan tiga segi yang digarap secara melodrama bukan satu ‘menu’ asing untuk hidangan penonton kaca televisyen tempatan ketika ini.

Kebiasaannya penonton akan dijamu dengan kegigihan watak utama berusaha menambat hati kekasih idaman meskipun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran mahupun tentangan keluarga.

Plot penceritaan yang sama tersebut berulang-ulang saban waktu menjadikan hampir semua drama dapat ditebak kesudahannya biarpun baru beberapa episod menemui penonton.

Atas alasan tersebut, penerbit wanita popular, Datuk Rafiena Ezanee Ramli tampil dengan pendekatan sedikit berbeza. Dia mengetengahkan konsep penceritaan antara tiga orang sahabat yang menaruh perasaan terhadap seorang lelaki dalam drama rantaian terbaharu berjudul Mr. Delicious.

Selain perebutan cinta, pada masa sama lelaki yang telah mempunyai kekasih itu tetap menyimpan perasaan cemburu terhadap tiga wanita terbabit yang juga merupakan teman baiknya sendiri.

Bersiaran menerusi saluran HyppTV pada setiap hari Rabu dan Khamis pukul 9 malam, drama rantaian terbitan Dark Wave Pictures Sdn. Bhd. itu telah memulakan tayangannya sejak 16 Ogos lalu.

Menggandingkan selebriti popular tanah air seperti Kilafairy, Ieda Moin, Reen Rahim, Zaidi Omar dan Erwin Shah Dawson, ia turut diperkemaskan dengan kehadiran pelakon Indonesia, Guntur Triyoga sebagai tunjang utama.

Tidak hanya memberi fokus kepada kisah percintaan empat sekawan, drama rantaian Mr. Delicious turut menyuntik elemen persahabatan, kasih sayang dan sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain

Tolak tawaran


Meskipun gemar melakukan jenaka dengan terkenal dengan sifat humor, namun Ieda tidak menyimpan hasrat untuk terlibat dalam menyertai pertandingan realiti komedi mahupun membuat persembahan komedi solo.

Mengakui kelainan naskhah berkenaan, pemilik nama Siti Haida Abd. Moin atau mesra disapa sebagai Ieda Moin mengharapkan kepelbagaian emosi dalam drama terbabit berjaya menambat hati penonton.

Atas keyakinan tinggi bahawa karya arahan Adlin Hanim Abidin mempunyai tarikan tersendiri, Ieda tidak teragak-agak untuk melepaskan tawaran beraksi di layar perak dan empat buah telefilem semata-mata bagi memberi komitmen terhadap Mr. Delicious.

Jika dihitung, kesemua tawaran tersebut mampu mencecah lebih RM100,000.

Tidak mempamerkan sebarang reaksi kesal, Ieda memilih untuk berfikiran positif terhadap rezeki yang diterima selain masih mampu melepaskan ketawa kecil saat menceritakan hal tersebut kepada media.

"Saya tidak pernah merasakan ia sebagai satu kerugian mahupun kekesalan kerana segala yang berlaku adalah ketentuan Tuhan dan rezeki masing-masing.

"Disebabkan penggambaran drama rantaian Mr. Delicious yang memakan masa selama tiga bulan, saya harus memberi tumpuan untuk melakukan satu kerja dalam satu masa," kata Ieda yang membawa watak sebagai Zita.

Tambah Ieda, pengalaman terdahulu banyak mengajarnya agar tidak terlalu mementingkan diri dan menerima banyak tawaran dalam satu-satu masa.

Bagi Ieda, sikap mementingkan diri hanya akan memakan diri sekiranya dia tidak mampu melunaskan tanggungjawab dengan sempurna dek mengejar masa.

"Saya pernah ambil semua yang datang pada satu masa, akhirnya saya jadi serba tidak kena kerana kepadatan jadual dan tidak cukup rehat selain terpaksa berkejar-kejar untuk ke lokasi berlainan," terang Ieda dalam nada bersungguh-sungguh.

Selesa di Malaysia



Disebabkan tidak fasih bertutur dalam bahasa Melayu, Guntur kerap menjadi mangsa buli dan usikan pelakon lain dan kru produksi Mr. Delicious.

Sejurus menamatkan perbualan bersama Ieda, pelakon tampan Indonesia, Guntur Triyoga pula melabuhkan punggung di kerusi berhampiran wanita berusia 37 tahun itu.

Tidak hanya memerhatikan, Guntur sempat mengusik pelakon drama rantaian Selamat Pengantin Madu itu sehingga menyebabkan Ieda melatah sebelum satu tamparan kecil hampir hinggap ke pipinya.

Sempat ditepis oleh Guntur, telatah kedua-dua pelakon itu mencetuskan suasana gamat apabila rata-rata yang ada pada sesi fotografi turut tertawa melihat mereka.

"Saya sudah biasa ditampar oleh Ieda terutama ketika berada di lokasi Mr.Delicious selain ia telah menjadi rutin kami sepanjang tiga bulan penggambaran," tutur Guntur memulakan bicara.

Memegang watak sebagai Aiman, jejaka berusia 29 tahun itu mengakui selesa menjalani penggambaran di Malaysia berbanding di negara kelahirannya.

Bukan bermaksud dia kini telah menjadi seperti kacang lupakan kulit tetapi corak kerja yang berbeza membuatkan Guntur tidak berdepan sebarang masalah sepanjang menjalani penggambaran drama Mr. Delicious.

"Berbanding di Indonesia, khususnya dalam pembikinan sinetron, kami perlu menyelesaikan segala sesi penggambaran sehingga tiada waktu rehat kerana mengejar waktu siaran di kaca televisyen.

"Pelakon juga berdepan risiko untuk digugurkan daripada sesebuah naskhah sekiranya penonton tidak menggemari karakter lakonan.

"Ia jelas berbeza berbanding di Malaysia kerana setelah menandatangani perjanjian, pelakon hanya perlu memberi komitmen sepenuhnya sehingga penggambaran selesai," jelas Guntur mengenai perbezaan corak industri hiburan antara Malaysia dan tanah airnya, Indonesia.

Optimis


Reen Rahim pernah menangis sebanyak dua kali sewaktu di set penggambaran drama rantaian Mr. Delicious kerana berasa kecawa disebabkan gagal membawakan watak dengan baik.

Melanjutkan cerita kepada bekas peserta program realiti Pilih Kasih musim ketiga, Reen Rahim, dia memegang watak sebagai Fina yang merupakan teman baik kepada Zita (Ieda) dan Zaraa (Kilafairy).

Memberi sepenuh tumpuan kepada pembikinan drama rantaian tersebut, Reen mengharapkan peminat menggemari karya berkenaan.

"Drama ini bukan sekadar untuk pasaran komersial tetapi mempunyai mesej yang dapat dijadikan pengajaran dalam kehidupan. Tambahan, plotnya juga berbeza berbanding karya lain. Itu menariknya Mr. Delicious," ujar Reen.

Wanita berusia 29 tahun itu turut melakukan perkara sama dengan menolak beberapa tawaran lain demi menumpahkan sepenuh perhatian terhadap naskhah tersebut.

Tempoh lima tahun bergelar anak seni telah mendidik Reen untuk lebih masak dengan cara menzahirkan karakter seperti digambarkan oleh pengarah.

Namun, Reen tidak menafikan ada berdepan kesukaran saat menjayakan wataknya sebagai wanita matang dalam lingkungan usia 30-an.

"Adakalanya saya seperti menjadi diri sendiri yang berperwatakan ceria dan santai sehingga terlupa untuk menjadi Fina. Biarpun ia bukan satu kesilapan yang ketara tetapi pada saya perkara seperti itu tidak harus berlaku.

"Ketika kesilapan itu berlaku, pelakon lain akan menegur dan memberitahu saya untuk kembali semula ke karakter asal," kata pemilik nama lengkap, Noreen Ashikin Abd. Rahim itu ceria.

Meskipun tidak mendapat teguran daripada pengarahnya, namun Reen berasa dia perlu lebih bertanggungjawab dan realistik bagi menjaga mutu lakonan pada masa akan datang.

Post a Comment

Previous Post Next Post