Suasana lobi utama Tournament Player’s Club (TPC), Bukit Kiara, Kuala Lumpur yang selalunya menjadi tumpuan utama buat pemuja setia sukan golf berubah wajah bagi meraikan kedatangan raja sehari.
Padanan warna putih dengan bunga-bungaan berona krim, merah muda dan pic menjadi pilihan sebagai dekorasi pelamin jelas menjadi simbolik permulaan kehidupan baharu pasangan merpati dua sejoli yang penuh keindahan.
Semuanya tampak manis dan bercahaya. Keindahan yang sama turut dikongsi 200 tetamu yang hadir menyaksikan detik bersejarah buat aktres jelita, Siti Saleha dan belahan jiwanya Ahmad Lutfi Azhar yang disatukan pada 28 Julai lalu.
Biarpun tidak mempamerkan wajah gementar, namun setiap langkah jejaka berusia 30 tahun itu mencuri tumpuan setiap hadirin saat dia menuju ke pentas kecil bagi menyempurnakan acara akad nikah. Dia menanti dengan tenang biarpun barangkali ada gemuruh tersimpan di dasar hati.
Akhirnya detik yang dinantikan tiba, sekitar pukul 3.30 petang, sosok tubuh pelakon drama rantaian 7 Hari Mencintaiku itu muncul.
Sekitar pukul 3.40 petang, pasangan itu sah menjadi suami isteri dengan sekali lafaz apabila dinikahkan oleh bapa Saleha, Mohd. Baharum Abdul Rahman dan disaksikan oleh Imam Masjid Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail, Mohd. Fadlullah Md. Noor.
Emosi bahagia jelas terpancar pada wajah wanita berusia 27 tahun itu bagaimanapun ada mutiara jernih menurun pipinya.
“Syukur akhirnya semua dipermudahkan. Doakan agar kami terus bersama di dunia dan akhirat. Terima kasih kepada semua yang sudi hadir dan memeriahkan majlis kami pada hari ini,” tuturnya dalam nada gembira ketika ditemui selepas selesai acara akad nikah.
DEBARAN. Lutfi terlebih dahulu berlatih untuk melafazkan ijab dan kabul sebanyak beberapa kali bersama Imam Masjid Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail, Mohd. Fadlullah Md. Noor, sebelum sah dinikahkan dengan sekali lafaz.
Terima seadanya
Bagi Saleha, perkahwinan bersama Lutfi tidak hanya menukar statusnya kepada isteri tetapi dia juga harus menerima kehadiran keluarga baharu dalam fasa kehidupannya kini.
Saling berpandangan dan tidak melepaskan genggaman tangan masing-masing, pasangan berkenaan sempat meluangkan seketika detik emas pada petang yang berbahagia itu.
Berkongsi ceritera belakang tabir sebelum majlis perkahwinan, satu perkara yang bukan kebiasaan dilakukan oleh bakal pengantin apabila Lutfi memberitahu, dia masih menjalankan rutin ke pejabat yang terletak di Putrajaya seperti biasa pada hari pernikahannya.
“Sebelum majlis akad nikah bermula, saya pergi ke pejabat seperti biasa kerana ada beberapa urusan yang perlu diselesaikan. Jadi, dalam perjalanan dari pejabat ke rumah, saya kerap berlatih agar lafaz akad nikah dapat dilakukan dengan sempurna.
“Perasaan gementar itu pastinya ada tetapi perkara paling saya suka ialah melihat reaksi seluruh ahli keluarga yang gembira sebaik sahaja acara akad nikah selesai,” kata Lutfi yang merupakan seorang penjawat awam.
Menyedari kecintaan suaminya terhadap kerjaya, Saleha tidak berasa canggung mahupun terkejut dengan tindakan Lutfi yang masih mempunyai waktu untuk ke pejabat sebelum menghadiri majlis perkahwinan sendiri.
Meskipun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai bidang kerjaya suaminya, Saleha bagaimanapun mengakui kesibukan jadual kerja menuntut jiwanya itu berkelana ke negara orang.
“Saya mengetahui tentang tindakannya ke pejabat tetapi itu merupakan tanggungjawabnya. Setiap perkara perlu ada toleransi dan saya menerima seadanya,” kata Saleha sambil melontarkan pandangan ke arah Lutfi yang duduk bersebelahannya.
BULAN MADU. Saleha dan Lutfi memilih Pulau Mauritius yang terletak di timur Afrika sebagai lokasi bulan madu. Disebabkan kepadatan jadual kerja, mereka memilih untuk berangkat pada penghujung tahun nanti.
Toleransi
Melanjutkan cerita, setiap selebriti yang berumah tangga pasti tidak dapat lari daripada menjawab soalan tentang perjalanan kerjaya selepas berkahwin.
Melepaskan ketawa kecil, Saleha selesa pertanyaan itu dijawab sendiri oleh suaminya yang terlebih dahulu membuka mulut.
Bagi Lutfi, dia tidak berkahwin dengan pemilik anugerah Pelakon Filem Wanita Popular 2013 dan 2014 itu hanya untuk ‘melupuskan’ kerjaya isterinya dalam bidang lakonan.
“Saya tidak pernah terdetik untuk menghalangnya daripada melakukan perkara yang digemari. Saya tetap memberi sokongan kepada Saleha agar meneruskan kerjaya sebagai pelakon.
“Saya juga sedar bahawa sebahagian daripada Saleha merupakan milik peminat dan media. Disebabkan itu saya mengambil keputusan untuk menerima kehadiran media pada hari ini (Jumaat lalu).
“Kerjaya Saleha menuntut dirinya saling bekerjasama dengan media dan peminat. Tambahan, saya ingin lihat dia gembira dan tidak salah sekiranya saling bertolak ansur,” terang Lutfi panjang lebar.
Biarpun Lutfi tidak meletakkan sebarang batasan dalam soal pemilihan watak kerana beranggapan ia sebahagian daripada bidang tugas dan memenuhi keinginan peminat.
Namun, sebagai isteri Saleha tetap akan memilih karakter yang sesuai meskipun telah mendapat lampu hijau daripada suami.
“Sekarang saya perlu bijak dalam soal pemilihan watak kerana telah memegang status sebagai isteri. Biarpun Lutfi memberikan persetujuan tetapi saya tetap akan lebih selektif,” ujar Saleha penuh kelembutan.
Sebelum mengakhiri bicara, Saleha sempat berkongsi sikap dan keperibadian Lutfi yang gemar berjenaka selain bijak menghiburkannya merupakan antara pesona sehingga hatinya bersetuju dengan lamaran anak tunggal kepada pasangan Azhar Harun dan Halijah Ibrahim itu untuk sama-sama melangkahi gerbang perkahwinan.
Jawapan Saleha itu disambut dengan ketawa kecil oleh Lutfi sambil memandang tepat ke dalam mata suri hatinya. Kata Lutfi: “Selepas menonton segala drama rantaian dan filem lakonannya(Saleha), kisah kami akan bermula sekarang.”