Aliff Aziz Tunggu esok


Pelakon dan penyanyi kontroversi, Aliff Aziz, bakal tampil menjelaskan segala isu berkaitan insiden dirinya ditahan polis atas dakwaan mengasari isteri, Bella Astillah.

Artis berusia 26 tahun kelahiran Singapura itu akan berbuat demikian dalam sidang media yang dijangka diadakan di sini, esok.

Sejak dibebaskan dengan jaminan polis, semalam, Aliff belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian terbabit.

"Saya rasa, saya perlu untuk menjelaskan hal sebenar. Jadi, semuanya akan saya nyatakan, esok," katanya ketika menghubungi BH Online, sebentar tadi.

Jumaat lalu, industri hiburan kecoh dengan berita penahanan Aliff yang didakwa mengasari Bella, yang masih dalam pantang selepas 20 hari melahirkan anak sulung mereka, Mohamad Ayden Adrean.

Pelakon itu ditahan selepas Bella, 23, membuat laporan polis mendakwa dirinya dipukul oleh Aliff di sebuah pusat karaoke di Taman Shamelin, Cheras, di sini pada Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Bella bersama ibunya datang mencari Aliff dan menemuinya bersama seorang wanita.

Bella kemudian dikatakan memarahi suaminya dan merakam beberapa keping gambar Aliff sekali gus menyebabkan pelakon itu mula bertindak kasar dan merampas telefon terbabit.

Akibat pergelutan itu, Bella mendakwa mengalami luka pada bahagian muka dan lutut setelah ditolak menggunakan tangan dan siku oleh Aliff.

Post a Comment

Previous Post Next Post