Ruhainies berasa bahagia apabila kedua-dua ibu bapanya dapat menunaikan haji pada tahun ini.
BAGAIKAN sudah menjadi lumrah, membalas jasa dan membahagiakan ibu bapa merupakan tanggungjawab yang secara semula jadi hadir dalam diri setiap individu bergelar anak. Justeru, tiada apa yang lebih menggembirakan hati seorang anak itu selain melihat sinar bahagia yang terpancar daripada wajah kedua-dua orang tuanya.
Barangkali, begitulah perasaan Ruhainies apabila berjaya melunaskan impiannya untuk menghantar dua insan yang paling disayangi ke kota Mekah bagi menunaikan fardu haji pada bulan depan.
Ketika ditemui pada majlis sambutan hari jadinya yang ke-25 di Disenar Space, Kuala Lumpur baru-baru ini, pelakon drama Jejak Karmila itu berkata, dia telah memasang impian tersebut sejak masih di bangku sekolah lagi.
Sebagai seorang anak yang sangat rapat dengan ahli keluarga, Ruhainies atau nama lengkapnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berkata, sudah menjadi kemestian untuk dia melihat ibu dan bapanya bahagia dan merasai hasil titik peluhnya selepas mempunyai karier.
Dalam pada itu, Ruhainies turut dalam perancangan untuk membelikan sebuah rumah yang lebih selesa buat kedua-dua ibu bapanya.
KOSMO!: Selamat hari jadi Ruhainies. Apakah harapan dan impian anda sempena usia yang kini menginjak ke angka 25 tahun?
RUHAINIES: Terima kasih. Sejak dahulu lagi, saya telah memasang impian untuk menghantar kedua-dua orang tua ke Mekah untuk menunaikan haji. Alhamdulillah, selepas hampir dua tahun dalam industri, saya berjaya mengumpul wang dan merealisasikan impian tersebut. Ibu bapa saya akan terbang ke Mekah pada bulan hadapan.
Apakah perasaan anda apabila berjaya menghantar kedua ibu dan bapa ke Mekah pada usia muda?
Sudah pasti saya berasa puas dan gembira. Sebagai seorang yang begitu rapat dengan ahli keluarga, saya berasa sangat bertanggungjawab untuk berbakti kepada mereka. Sejak kecil mereka telah bersusah payah membesarkan saya dan adik-beradik yang lain. Jadi, apa salahnya saya membalas kembali jasa mereka apabila mampu.
MAJLIS sambutan hari lahir Ruhainies berlangsung dalam suasana meriah baru-baru ini.
Selain menghantar ibu dan bapa ke Mekah, apakah impian lain yang belum terlaksana?
Saya sedang menyimpan hasrat untuk membelikan sebuah rumah yang lebih selesa untuk keluarga. Bagaimanapun, saya masih mencari lokasi yang bersesuaian.
Sejak kebelakangan ini, anda dilihat rapat dengan pelakon baharu Asyraf Aley. Kelibat kalian juga sering dilihat sewaktu menghadiri majlis-majlis hiburan. Adakah kalian sedang menjalinkan hubungan istimewa bersama?
Sejujurnya, kami hanya berkawan. Saya dan Asyraf menjadi sahabat selepas digandingkan bersama sebagai pasangan pelakon dalam drama Jejak Karmila. Tambahan pula, saya sukar untuk berkawan baik dengan mana-mana individu. Jadi, apabila telah terbiasa dengannya sepanjang sesi penggambaran, kami menjadi rapat.
Pada usia sebegini, adakah anda telah bersedia untuk mencari pasangan hidup?
Buat masa ini, saya belum mempunyai calon. Namun, saya tidak menolak jika dikurniakan jodoh dalam masa terdekat. Doakanlah yang terbaik buat saya.