Aura Sheila Majid


Sheila Majid tidak mahu menjanjikan sesuatu yang ekstravaganza pada konsertnya, namun berharap kerja keras yang diusahakan pasukan pemuzik terhebat itu akan menghiburkan semua.

Hanya tinggal sekitar lima hari sahaja sebelum Stadium Negara, Kuala Lumpur merakam sebuah lagi sejarah besar dalam dunia hiburan tempatan. Momen hebat itu tentulah berkaitan dengan Sheila Majid The Concert Kuala Lumpur 2017 yang akan dijayakan oleh satu-satunya penyanyi legenda, Datuk Sheila Majid.

Penyanyi tersebut kini sudah boleh tersenyum lega. Lokasi yang mampu menampung sebanyak 4,000 khalayak itu bakal dihuni tanpa sisa. Tiket konsert Sheila sudah laris ‘manis’, habis dijual seminggu sebelum konsert berlangsung. Ia adalah satu situasi yang memberangsangkan.

Pada saat peminat sudah bersedia untuk larut dalam untaian hit penyanyi yang telah menyuburkan banyak jiwa peminatnya sejak tahun 1980-an, Sheila sendiri telah memperkemaskan dan mempersiapkan diri untuk memberi persembahan terbaik pada malam konsert berlangsung kelak. Lebih mengujakan, beliau akan kembali bersama sahabat-sahabatnya dalam konsert tersebut.

Ditemui pada sesi latihan yang dijalankan di sebuah studio di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini penyanyi berusia 52 tahun itu melahirkan rasa terujanya untuk melakukan persembahan.

“Saya sudah bersedia untuk membuat persembahan, tetapi tidak mahu terlalu yakin kerana tidak tahu apa bentuk cabaran atau kekangan yang boleh terjadi pada malam konsert kelak. Namun, saya telah mempersiapkan diri dengan memastikan kesihatan terjaga sekali gus mampu menghiburkan semua,” kata Sheila membuka bicara.

Ditanya bagaimana gambaran mengenai konsert tersebut, kata Sheila tiada yang ekstravaganza mengenai penampilannya, tetapi lebih difokuskan terhadap pasukan pemuzik yang menjadi tulang belakangnya.

“Saya tidak akan tampil dengan imej yang pelik-pelik, tetapi konsert ini lebih memberi penekanan terhadap susunan muzik yang banyak dibuat pembaharuan serta persembahan kami sendiri,” katanya.


Pengarah konsert, Mac Chew (kiri, duduk) bersama barisan pemuzik sewaktu sesi latihan konsert Sheila Majid di sebuah studio Petaling Jaya baru-baru ini.

Setia

Apa yang menarik, Sheila membawa semula pengarah konsertnya sebelum ini, Mac Chew untuk mengepalai Sheila Majid The Concert Kuala Lumpur 2017 bersama dua lagi pelaku seni tersohor negara, Jenny Chin dan suaminya, Datuk Acis untuk memastikan piawaian konsertnya kelak berada pada tahap terbaik.

Mengakui dirinya seorang yang setia, beliau juga percaya dengan kredibiliti barisan pemuzik pimpinan tiga pengarah muzik pilihannya ini. Biarpun perlu menggugurkan banyak lagu yang barangkali disukai peminat, namun barisan hit seperti Sinaran, Pengemis Muda dan Antara Anyer Dan Jakarta adalah katalog wajib yang akan dipersembahkan bersama single terkini daripada album baharunya, Boneka.

“Saya punya keinginan menyanyi lagu yang jarang dibawa dalam konsert tetapi tidak boleh syok sendiri kerana konsert ini dibuat untuk peminat, jadi adalah satu kewajipan untuk saya mendendangkan lagu-lagu kegemaran mereka,” ujar Sheila.

Sementara itu, Mac Chew menyedari beliau menggalas tanggungjawab besar untuk merealisasikan konsert tersebut. Justeru, beliau menyusun semula beberapa buah lagu yang disifatkan lebih mesra dalam atmosfera pendengar masa kini, tanpa menghilangkan keasliannya.

Sheila juga akan disokong oleh sekumpulan pemuzik terbaik iaitu seramai tujuh orang pemain band, 10 orang pemain alat muzik bertali (string) dan tujuh orang pemain alat muzik tiupan (horn) untuk menyempurnakan persembahannya pada malam tersebut.

“Selain menyediakan pasukan pemuzik terbaik, saya juga memberi perhatian terhadap susunan muzik lagu-lagu yang akan dipersembahkan. Saya memberi sentuhan baharu terhadap beberapa buah lagu dan memastikan lagu dengan susunan serta nota asli dapat diperdengarkan dengan baik,” kata Mac Chew yang sudah tiga dekad bersahabat baik dengan penyanyi itu.

Memegang prinsip bahawa sesebuah konsert tidak perlu terlalu banyak gimik, titik tumpuan seharusnya diberikan kepada penyanyi. Dalam hal ini, Mac Chew menyifatkan Sheila tidak memerlukan sokongan dengan membuat gimik berlebihan.

“Sheila Majid ialah Sheila Majid. Beliau tidak perlukan sokongan lain untuk menjadikan konsertnya luar biasa kerana beliau sendiri sudah mempunyai magis itu,” katanya ringkas.

Post a Comment

Previous Post Next Post