UMUM sedia maklum tentang berita perceraian pasangan popular Hollywood, Angelina Jolie dan Brad Pitt sejak tahun lalu. Perceraian tersebut memaksa Jolie melalui hidup yang sukar bersama enam orang anaknya.
Menerusi temu bual bersama majalah Vanity Fair, aktres filem Salt itu mengakui semangatnya kian pulih untuk meneruskan hidup sebagai ibu tunggal.
“Perceraian adalah satu tempoh yang sangat sukar untuk dilalui. Meskipun pernah menyewa selama sembilan bulan di sebuah rumah biasa, namun sekarang hidup kami kembali pulih perlahan-lahan dengan adanya rumah baharu.
“Di sini kami cuba membina semangat dan kehidupan baharu bersama. Biarpun anak-anak masih kecil tetapi saya berbangga kerana mereka sangat kuat,” ujarnya.
Selain bergelut dengan kisah peribadi, Jolie juga berdepan derita penyakit hipertensi dan kelumpuhan pada wajah yang menyebabkan rambutnya bertukar kelabu dan kulit menjadi kekeringan.
“Saya tidak pasti sama ada ia kesan daripada tekanan dilalui. Namun, saya semakin berkeyakinan selepas bangkit kerana inilah (semangat) yang wanita perlu lakukan,” tegasnya.