BIARPUN bakat baru silih berganti, kebolehan Zamarul Hisyam tidak pernah dipertikai peminat.
Karisma pelakon ini terus mencuri perhatian menerusi maklum balas terhadapat lakonannya.
Terharu dengan sokongan dan kepercayaan itu, Zamarul mengakui tidak pernah berhasrat meninggalkan dunia lakonan.
“Dulu pernah juga saya terfikir nak perlahankan lakonan untuk menumpukan perhatian kepada perkara lain yang menjadi keutamaan saya ketika itu," katanya yang mula dikenali menerusi Blok 404, melalui VCD lebih 16 tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya setiap kali terlintas begitu, ada sahaja tawaran dan peluang baru dan situasi itulah yang 'mengikatnya' untuk terus berlakon.
Biarpun sudah menginjak 46 tahun, Zamarul bertuah kerana masih lagi ditawar watak utama dengan kepelbagaian karakter berbanding pelakon seangkatannya yang terikat dengan watak terhad sebagai bapa sehala.
Tahun lalu, dia juga tampil dengan watak utama bergandingan bersama Izara Aishah menerusi drama 24 episod, Masam Manis yang mencatat rating tinggi sepanjang tempoh siarannya.
“Alhamdulillah, saya pun tak sangka masih diberi kepercayaan jadi hero, sedangkan kalau nak ikutkan sekarang ini terlalu ramai pelakon baru yang jadi perhatian," katanya.
Kata Zamarul, dia sebenarnya berpegang kepada prinsip akan memberikan yang terbaik tidak kira watak utama atau pun sebaliknya apabila sudah bersetuju untuk melakukan tugasan.
Biarpun sudah dikategorikan sebagai pelakon senior, Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-18 sentiasa melakukan homework serta tidak mengambil mudah dengan setiap tugasan yang diberikan,
Zamarul juga tidak kisah diberikan watak bapa atau lelaki matang tetapi ada syaratnya.
“Saya tak ada masalah, malah takkan tolak watak bapa atau apa pun watak asalkan ceritanya bagus dan bukan sekadar melengkapkan cerita.
“Namun untuk watak bapa, saya terima watak untuk anak kecil atau remaja sahaja agar ia nampak realistik dan tidak janggal di mata penonton, ” katanya yang kecewa dengan sikap kurang peka pihak yang terbabit dalam soal ini.
Kerja belakang tabir?
Selain filem Blok 404 yang baru selesai penggambarannya, bapa tiga anak lelaki ini juga bakal tampil dengan drama 60 episod, Dia, dan sebuah lagi drama panjang, 70 episod yang bakal bersiaran di saluran Astro tidak lama lagi.
Zamarul mengakui dia seboleh mungkin mengelak terlibat dengan drama episod panjang kerana tidak mahu terlalu lama berada di lokasi penggambaran, tetapi kali ini wataknya menarik.
Sebagai pelakon profesional, Zamarul juga tidak ada masalah dengan pelakon baru tetapi bimbang jika ketandusan idea untuk membangunkan watak baru.
Ditanya tidakkah dia terfikir untuk terlibat dengan kerja-kerja di belakang tabir, Zamarul pantas menggelengkan kepala.
“Setiap orang ada kelebihan masing-masing dan saya tidak fikir kelebihan saya di situ.
“Nak jadi penerbit bukanlah kerja yang mudah. Kalau tak ada ilmu dan pengalaman, semua akan jadi sukar dan saya tidak mahu bazirkan masa dengan hal seperti itu,” ujarnya berterus-terang.
Bakal timang anak keempat
Lari dari soal kerjaya, Zamarul yang juga suami kepada pelakon Diana Rafar ini mengakui cukup tenang dengan kehidupannya hari ini.
Bakal menimang cahaya mata kedua menerusi perkahwinannya dengan Diana selain dua anak dari perkahwinannya terdahulu, Zamarul berharap dia dapat menjadi suami dan bapa terbaik kepada isteri anak-anaknya.
Ujar pelakon ini lagi, kesibukan tidak pernah menjadi sebab dia mengabaikan keluarga dan melalui kehidupan sempurna.
“Menjalankan tanggungjawab sebagai bapa kepada anak-anak yang sedang meningkat remaja bukan perkara mudah. Saya perlu sentiasa mengawasi dan memahami mereka.
“Mungkin kerana itulah saya lebih suka berada di rumah dan meluangkan masa bersama anak dan isteri berbanding sibuk dengan pelbagai aktiviti di luar,” katanya yang turut mengusahakan perniagaan barangan Helifan bersama isteri.