Misi Raihan tak pernah tamat


BIAR dilihat suram di tanah air, nama kumpulan nasyid Raihan bagaimanapun begitu gah di pentas antarabangsa. Bukan bersifat selektif, namun Raihan merasakan wajar untuk melebarkan sayap seni sambil berdakwah di luar negara sementelah pasaran tempatan telah pun dikuasai sebelum ini.

Pada masa sama, kumpulan nasyid yang dianggotai Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim, Amran Ibrahim dan Zulfadli Mustawa ini juga mencipta fenomena tersendiri apabila berjaya mencetus genre muzik baru Islam kontemporari sekali gus menjadi ikutan kepada penggiat nasyid di dunia.

Menurut Che Amran, misi Raihan tidak pernah habis meskipun kumpulan itu sudah lebih dua dekad dalam industri seni.

Katanya, mereka juga sedar ada orang dalam industri mengatakan Raihan belum spark lagi.

“Hakikatnya, kami sudah membuktikan penjualan album tertinggi dalam sejarah dan diundang membuat persembahan di luar negara.

“Sambutan dan apresiasi pihak luar terhadap Raihan juga berbeza sebab mereka tiada kumpulan nasyid seperti kami.

“Kami pula masih menjadi trademark pengeksport kepada genre baru di luar negara,” katanya kepada Media Hiburan.

Jelasnya, usaha Raihan untuk menyampaikan lagu sambil berdakwah disifatkan sebahagian saham akhirat dan yakin masing-masing ada peranan.

“Apa yang kami rasa, lagu Raihan sesuai untuk semua jenis zaman. Jadi orang akan sentiasa cari dan walaupun kami senyap tetapi ia sentiasa ‘hidup’.

“Mungkin tak ramai melihat sisi ini, tapi kami anggap setiap bait lirik dalam lagu nasyid boleh menjadi pahala atau dosa yang berterusan.

“Selagi ada izin daripada ALLAH, kami akan teruskan usaha berdakwah dengan cara ini,” katanya.

Sehingga hari ini, Raihan sudah menjelajah hampir seluruh Eropah terutama Perancis dan United Kingdom. Bahkan, persembahan mereka menjangkau ke Afrika, Rusia dan Sepanyol.

Kumpulan nasyid yang popular menerusi lagu Puji-Pujian ini juga sudah 10 kali diundang ke Amerika Syarikat (AS) untuk membuat persembahan, tetapi tidak dapat memenuhi kerana isu visa dan situasi semasa yang sering berlaku di sana.

Pada Disember ini, Raihan akan ke Dubai untuk jayakan persembahan program TV. Selain itu, mereka dalam persiapan ke Kanada untuk persembahan sempena Muslim Day, bulan depan.

Tidak hanya itu, Raihan sekali lagi diberi penghormatan membuat persembahan khas Pelayaran Islamik edisi ke-26 di atas kapal persiaran mewah ke Phuket, Krabi, Aceh dan beberapa lokasi menarik lain.

Kerap diundang mengadakan persembahan di luar negara, Abu Bakar mengakui ramai yang tersalah anggap dengan jemputan tersebut.

Katanya, ramai yang menyatakan Raihan ke luar negara kerana menerima jemputan daripada pelajar, wakil atau konsulat Malaysia di negara asing, hakikatnya, ia adalah daripada penganjur di negara itu sendiri.

“Malah, persembahan kami di negara asing turut diiringi persembahan secara langsung (live performance) oleh pemuzik.

“Mereka (penganjur negara asing) sanggup melabur untuk penginapan, makan minum, tiket penerbangan bukan saja untuk kami, malah untuk pemuzik termasuk pembantu peribadi, pengarah muzik yang kami perlukan.

“Sebagaimana penganjur tempatan sediakan untuk artis negara asing yang buat persembahan di sini, seperti itu juga Raihan dilayan penganjur luar negara,” katanya.

Impaknya, kumpulan nasyid ini tersenarai dalam 500 Muslim Paling Berpengaruh Di Dunia bagi tahun kesembilan berturut-turut.

Pengiktirafan itu dicapai hasil kajian yang dilakukan Universiti Georgetown, Washington, Amerika Syarikat dan dikeluarkan dalam The Muslim 500: The World’s Most Influential Muslims bagi seluruh umat Islam, merangkumi pelbagai bidang sepanjang 2016.

Genre nasyid masih diberi perhatian

Pada masa sama, Raihan bersyukur apabila nasyid masih lagi diberi perhatian.

Malah Raihan juga mengalu-alukan kewujudan program realiti kerohanian seperti Gema Gegar Vaganza (GGV).

“Program seperti inilah mampu membawa perubahan besar dalam industri nasyid.

“Industri nasyid juga perlu hadir dengan elemen baru yang lebih segar sekali gus menarik minat generasi Y hari ini.

“Kami juga seronok apabila nama-nama besar suatu ketika dulu seperti Hijjaz, Saujana, Mirwana, UNIC kembali disebut,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post