LUMRAH bergelar selebriti, pastinya tidak dapat lari daripada sebarang gosip mahupun kontroversi. Bagi Salma, itulah ‘harga’ yang perlu dibayar selepas memilih untuk menjadi artis sejak 2011.
“Biasalah, bila jadi artis, semua orang nak tahu semua benda. Saya dah biasa. Saya hadapi semua itu sejak dari program Mentor lagi.
“Jadi, apa saja yang ditanya, saya akan menjawab dengan sebaik-baiknya,” katanya pada Media Hiburan.
Pun begitu, juara program 3 Juara ini lebih selesa mendiamkan diri sekiranya kontroversi tersebut bersifat keterlaluan.
“Saya tak nak ambil tahu apa cakap-cakap orang. Janji saya tahu keluarga saya macam mana.
“Sebenarnya, saya penat nak layan orang daripada terus bercakap. Jadi, langkah terbaik adalah diam. Lagipun, saya malas nak layan benda yang tak berfaedah,” katanya.
Malah, isteri kepada Azri AF9 ini juga menganggap ia sebagai ujian buatnya sekali gus reda dengan setiap dugaan yang menimpa. “Nama pun jadi artis, orang pun kenal dan macam-macam tanggapan orang pada saya. Jadi, saya hanya serahkannya pada ALLAH SWT," katanya.
Sebelum ini, Salma pernah terpalit dengan kontroversi apabila dikatakan menyembunyikan status diri ketika menyertai Mentor selain kes suaminya yang dituduh mendera anaknya, Putri Nur Huda, tahun lalu.
Pilih Wake The Baby
Setelah lama bergerak sendiri, Salma akhirnya memilih untuk bernaung di bawah syarikat rakaman milik Ajai, Wake The Baby Records, sejak beberapa bulan lalu.
Mengikat perjanjian selama tiga tahun, selebriti berusia 27 tahun ini menyifatkan ia sebagai peluang kedua dalam mencipta nama.
“Kemenangan di pentas 3 Juara bagaikan peluang kedua buat saya. Jadi rasanya perlu untuk saya bergerak bersama syarikat pengurusan.
“Pelbagai perkara dibincangkan antaranya adalah melahirkan album baru.
“Jika bukan album penuh, ia mungkin album mini yang mengandungi lima lagu berkonsepkan balada,” katanya.
Buat permulaan, Salma bersyukur apabila single Akhirnya Cinta, ciptaan Ajai menerima sambutan memberangsangkan daripada pendengar.
Tambahan pula, single itu juga menjadi pilihan untuk lagu runut bunyi bagi drama bersiri Ku Kirim Cinta lakonan Redza Rosli dan Ayda Jebat.
“Saya dah lama memasang impian untuk bekerjasama dengan Ajai.
“Alhamdulillah, rezeki menyertai pentas 3 Juara membuka laluan mudah untuk saya merealisasikan impian selama ini,” katanya.