Neera Azizi luang masa pelajari sistem kokpit


Miss Kapten Cikgu Waiz

MEMILIH pasangan bercinta kadang kala jadi sukar jika ianya berkait antara bidang pekerjaan. Begitu juga dilema pelakon jelita, Neera Azizi yang perlu memilih kekasih hatinya.

Pilihannya sama ada cikgu kepada adiknya yang bergaji sederhana tetapi lengkap budi pekertinya atau juruterbang yang bergaji besar, tetapi terlalu mengongkong?

Segala jawapan bagi persoalan ini akan terjawab dalam drama Miss Kapten Cikgu Waiz.

Membariskan pelakon hebat seperti Erwin Dawson, Neera Azizi, Amir Nafis, Daniella Sya, Afieq Shazwan, Fadil Dhani, Lizza Abdullah, Nina Fazurina, Bella Dowanna, Zera Hariz dan Zalfa Zin, drama 13 episod ini diterbitkan Country & Universal Sdn Bhd di bawah arahan Yeop Hitler, sudah mula ditayangkan sejak 21 Julai lalu menerusi slot Lestary TV3.

Menurut pengarah drama ini, Miss Kapten Cikgu Waiz berlainan dengan drama lain dari segi bidang pekerjaan watak utama iaitu juruterbang.

"Kebiasaannya drama tempatan perkenalkan watak utama lelaki sebagai juruterbang, namun drama ini memperkenalkan seorang juruterbang wanita sebagai bidang pekerjaan watak utama.

"Tambahan pula, dalam kegemilangan watak utama itu, tersirat juga konflik keluarga yang membebankan benak fikirannya," katanya.

Tambah Yeop Hitler, demi menjadikan drama ini tampak lebih real, mereka turut mendalami ilmu penerbangan juruterbang daripada juruterbang sebenar.

"Neera sendiri meluangkan dua jam untuk pelajari peralatan di kokpit kapal terbang sebenar. Ini lah yang kami anggap sebagai cabaran kerana kami tiada asas ilmu penerbangan, tetapi dengan hasil kerjasama semua pihak kami dapat harungi cabaran dengan baik," ujarnya.

Yeop berkata, dia juga bersyukur kerana berjaya menamatkan penggambaran tepat pada masanya iaitu selama 28 hari.

"Justeru, sebagai pengarah Miss Kapten Cikgu Waiz, saya serta kru produksi telah lakukan tugas kami sebaiknya dan kami berharap agar para penonton dapat ikuti drama ini dari episod pertama sehingga tamat episod 13,” katanya.

Drama ini mengisahkan seorang juruterbang, Khalisha (Neera) yang tidak berkenan untuk bercinta kerana trauma dengan tindakan ayahnya, Pak Megat yang telah berkahwin baharu dengan seorang wanita yang bernama Sofea Gebu.

Khalisha juga membantu ibunya, Mak Eton untuk menyara adiknya, Kamarul yang bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini. Rezeki sentiasa memihak kepada keluarga Khalisha kerana Kamarul juga mewarisi kepintaran kakaknya di mana Kamarul merupakan pelajar cemerlang di sekolahnya.

Di sekolah Kamarul, Cikgu Waiz (Erwin Dawson) seorang guru yang tampan dan berwawasan, juga sering menjadi kegilaan guru-guru wanita di sekolah itu.

Takdir menemukan Cikgu Waiz dengan Khalisha ketika Cikgu Waiz baru pulang daripada berkursus di mana mereka bertembung di lapangan terbang dan secara tidak sengaja, Cikgu Waiz menumpahkan secawan kopi di baju uniform Khalisha.

Namun kerana paras rupa Khalisha dan Waiz yang menawan, mereka sudah pun mempunyai peminat tersendiri dan tidak akan berhenti sehingga Khalisha dan Waiz menjadi milik mereka.

Di lapangan terbang, Khalisha sentiasa diperhatikan oleh Kapten Ghaz, manakala di sekolah, Cikgu Waiz digilai oleh Melati. Selain itu, hati Cikgu Waiz juga sering diburu oleh rakan seperjuangannya ketika di universiti, Julia.

Dapatkah Khalisha bersatu jodoh dengan Cikgu Waiz? Dapatkah keluarga Khalisha mencapai keharmonian mereka semula? Saksikan kisah percintaan Khalisha dan Cikgu Waiz dalam drama Miss Kapten Cikgu Waiz setiap Rabu hingga Jumaat pada jam 9 malam.

Post a Comment

Previous Post Next Post