PENYANYI popular era 1980an, Ibnor Riza. 56. mengakui minatnya kepada bidang nyanyian mengatasi segala-galanya sehingga dia membuat keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur demi mencari peluang untuk mengembangkan bakatnya seninya.
Melalui jalan yang cukup berliku sebelum dikenali ramai, Ibnor yang berasal dari Batu Kikir, Negeri Sembilan ini meluahkan rasa syukurnya kerana dia tidak pernah berputus asa untuk mengejar impiannya sehingga akhirnya berjaya bergelar artis rakaman.
Mengimbas kembali detik itu, kata Ibnor, dia pernah tidur di bawah jambatan selama dua minggu sebaik sahaja tiba di Kuala Lumpur sekitar tahun 1978 kerana tiada tempat yang hendak di tuju selain pernah bekerja di kantin Kompleks Belia Bandaraya dengan gaji RM45 sebulan sebelum bergelar kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada tahun 1980.
“Bukan senang untuk bergelar artis rakaman ketika itu membuatkan saya terpaksa buat macam-macam kerja untuk menyara hidup sementara mencari peluang terbaik untuk mengembangkan bakat.
“Setelah berhijrah ke Kuala Lumpur, saya tidak mula giat mencari peluang untuk mengembangkan bakat dengan menyertai pelbagai pertandingan nyanyian terutamanya pertandingan yang menampilkan juri dari kalangan profesional dalam industri,” ujarnya.
Antara pertandingan nyanyian yang pernah disertai Ibnor termasuklah Top Malaysia (1983) di mana ketika itu penyanyi Ben Nathan turut serta, Bintang RTM (1984) yang menyaksikan dia layak ke peringkat suku akhir sebelum bergelar juara dalam Bakat Pentas DBKL.
“Alhamdulillah, akhirnya rezeki memihak kepada saya apabila ditawarkan menjadi artis rakaman CBS Record dia hari selepas dinobatkan sebagai juara pertandingan Bakat Pentas DBKL pada tahun 1986.
“Orang bertanggungjawab membuka peluang itu adalah komposer terkenal, Adnan Abu Hassan yang kemudiannya banyak membantu saya untuk menjadi penyanyi yang lebih baik selain team dari syarikat rakaman.
“Bayangkanlah bagaimana perasaan saya ketika itu setelah beberapa tahun mencuba nasib dan daripada tidur di bawah jambatan sehingga bergelar Pegawai Kebudayaan di DBKL, barulah impian bergelar penyanyi menjadi kenyataan,” katanya lagi.
Ibnor muncul dengan album debut, Meneka Dalam Kesamaran pada tahun 1987 dan lagu yang turut menjadi judul album ini juga telah menjadi hits sekaligus berjaya menaikkan nama Ibnor yang ketika itu baru bertapak.
“Saya hanya menjalankan tugas untuk menyanyikan lagu tersebut dengan sebaik mungkin, tidak sangka pula album pertama itu terus mendapat perhatian daripada peminat ketika itu sehingga nama saya mula dikenali ramai.
“Selain beberapa lagu yang menjadi hit, album itu juga telah berjaya mencatat jualan yang sangat tinggi sehingga membuka ruang saya untuk saya tampil dengan album kedua dan seterusnya selepas itu.
“Selain bakat yang ada, saya sangat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan tenaga kerja yang sangat profesional ketika itu seperti S. Atan, Fauzi Marzuki, Habsah Hassan, Lukman S dan ramai lagi sehingga menjadikan saya sebagaimana yang orang ramai dapat lihat hari ini,” luahnya.
Peminat hantar surat setiap hari
Selama lebih 30 dalam bidang seni, Ibnor telah merakamkan 15 buah album yang terdiri dari Meneka Dalam Kesamaran (1987), Berdiri Seorang Perindu (1988), Sudah Terluka Merindu Pula (1990), Mimpi Kita Berbeza (1992) dan lain-lain.
Berkongsi tentang cabaran yang dilalui sebagai penyanyi ketika itu, katanya Ibnor, cabaran utama penyanyi ketika itu kebanyakannya adalah untuk mengekalkan reputasi mereka di mata peminat.
“Dulu kalau bakat bagus dan lagu sedap, orang akan mudah ingat kita malah memberikan sokongan berterusan agar kita terus berjaya.
“Jadi sebagai penyanyi, cabaran kita adalah bagaimana nak terus hasilkan lagu-lagu yang baik agar kepercayaan yang peminat berikan itu kekal di situ.
“Menyedari situasi itulah membuatkan saya amat pentingkan pemilihan lagu terbaik untuk dimuatkan dalam album saya agar hasilnya nanti tidak mengecewakan peminat selain diri saya sendiri,” ujarnya.
Suatu yang menarik juga, mungkin ramai yang tidak tahu, Ibnor menjadi satu-satunya penyanyi yang pernah merakamkan lagu ciptaan penghibur terkenal, Sudirman Hj Arshad menerusi lagu Setiamu Tiada Lagi (1988).
“Saya tidak tahu kenapa arwah Sudirman memberikan lagu ciptaannya ini untuk saya nyanyikan sedangkan ramai lagi penyanyi lain yang bagus ketika itu.
“Dia datang berjumpa dengan saya dan menyatakan hasratnya agar saya sudi menyanyikan lagu tersebut dengan sepenuh jiwa saya.
“Pertemuan itu sangat mengejutkan saya kerana sudahlah itu kali pertama saya berjumpa dengannya, ada pula permintaan sebegitu yang saya rasa macam dalam mimpi pula,” katanya lagi.
Bercerita tentang kenangannya bersama peminat, Ibnor mengakui sering terkenangkan peristiwa di mana salah seorang peminat setianya telah meninggal dunia akibat penyakit leukemia tanpa sempat bertemu dengannya.
“Dia merupakan peminat yang sangat setia dan menjadi satu-satunya peminat yang hantar surat setiap hari kepada saya, malah turut bercerita tentang penyakitnya kepada saya, namun saya hanya membaca sepintas lalu kerana menganggap dia hanya mahu menarik perhatian saya.
“Sehinggalah suatu hari saya mengadakan persembahan di sekitar tempat dia menetap dan akhirnya dapat tahu tentang keadaannya yang tenat dan kemudiannya meninggal dunia dengan meninggalkan sepucuk surat buat saya,” kenang Ibnor yang kemudiannya belajar untuk lebih menghargai peminat selepas kejadian itu.