UNIC mencipta kejutan, ungguli GGV


GEMBIRA - Kemenangan UNIC yang dianggotai (dari kiri) Bazli, Fakhrul dan Nakdi pada malam kemuncak GGV mencipta suasana gembira bercampur terharu apabila Bazli melaungkan nama anaknya Muhammad Syahid, 3, yang sedang berjuang melawan penyakit kanser sebagai tanda kesyukuran.

Tidak meletakkan sebarang harapan untuk bergelar pemenang bahkan bukan peserta kegemaran yang diramal bakal mendominasi kemuncak program Gema Gegar Vaganza (GGV), kumpulan UNIC ternyata terkejut saat diumumkan sebagai juara sulung program nyanyian kerohanian yang julung-julung kali diadakan tersebut.

Naib juara disandang oleh Hijjaz yang mendendangkan dua buah lagu berjudul Fatamorgana dan Alhamdulillah bersama Mirwana dalam pusingan battle, sekali gus pulang dengan hadiah wang tunai RM30,000 berserta trofi, manakala Mirwana menduduki tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM20,000.

Tempat keempat hingga keenam masing-masing diraih oleh Azmi, Hafiz Hamidun dan Saujana, sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM15,000, RM10,000 serta RM5,000.

Kejayaan UNIC yang kini dianggotai Fakhrul, Bazli dan Nakdi itu melenyapkan obor peserta kegemaran iaitu Hijjaz yang terpaksa berpuas hati sebagai naib juara. Dendangan bertenaga dan merdu lagu berjudul Ainul Mardhiah oleh UNIC juga benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton sehingga juri jemputan pada malam penentuan, Datuk Siti Nurhaliza mengalirkan air mata.

Tewaskan sifu


MANTAP - Dendangan mantap penuh penghayatan UNIC ketika mendendangkan lagu Ainul Mardhiah mendapat tepukan gemuruh penonton dan pujian melambung daripada pihak juri.

“Sebenarnya, kami memang tidak mengharap langsung untuk bergelar juara pada malam ini. Semua yang bertanding hebat-hebat belaka. Kalah atau menang bukan keutamaan kerana apa yang penting adalah ukhwah yang terjalin antara kami dalam pertandingan ini.

“Kami telah melakukan sehabis baik dan segalanya berjalan dengan cukup sempurna atas izin Allah. Semoga kejayaan ini lebih membuka mata masyarakat bahawa pejuang-pejuang nasyid sentiasa ada dan tidak pernah berhenti untuk meneruskan dakwah walaupun acap kali nasyid dipandang sepi,” ujar Fakhrul.

Untuk tugasan kedua, UNIC melunaskan tugasan lagu battle bersama kumpulan Saujana menerusi lagu Kalah Dalam Menang. Menerima komen yang rata-rata positif daripada pihak juri, tiga lelaki tersebut adalah kumpulan yang menghadirkan persembahan paling seimbang dalam kedua-dua lagu tugasan diberikan.

“Untuk tugasan lagu battle, kami semua diberikan lagu rap. Untuk memastikan tiada kesilapan dilakukan, pergi ke mana-mana sahaja pun kami akan berlatih menuturkan setiap perkataan lagu tersebut.

“Pada minggu semi final, kami ditegur oleh Farihin, ke mana hilangnya 70 peratus kemampuan UNIC di atas pentas. Jadi untuk final, kami tidak mahu perkara sama berulang. Kami berlatih bersungguh-sungguh agar tidak ada yang keciciran,” kata Bazli.

Membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 berserta trofi, UNIC turut ditebak dengan usikan berjaya menewaskan sifu sendiri iaitu Hijjaz. Sebelum menjawab, mereka hanya mampu tersenyum dan menggelengkan kepala tanda hormat terhadap kumpulan nasyid yang lebih senior itu.

“Tiada istilah kami berjaya mengalahkan sifu kerana apa yang lebih penting, semua yang menyertai GGV telah melunaskan dakwah untuk meluaskan syiar Islam dengan cara tersendiri.

“Kami pernah bernaung bawah Hijjaz Records dan akan sentiasa menjadi anak didik Hijjaz. Banyak pengalaman yang telah kami timba daripada Hijjaz dan kami seronok dapat bersama-sama dalam pertandingan ini,” tutur Fakhrul lagi.

Dalam pada itu, Hijjaz yang dianggotai Munif, Isman, Faizal dan Ariffin mengakui kesilapan ketika mendendangkan lagu Allhamdulillah bersama Mirwana.

Kata Munif, selama hayat ini mereka tidak pernah menyampaikan lagu rap di atas pentas.

Rezeki


BERGABUNG - Hijjaz dan Mirwana bergabung menyanyikan lagu yang pernah dipopularkan kumpulan Too Phat berjudul Alhamdulilah yang menjemput standing ovation (tepukan berdiri) dalam kalangan penonton.

“Kami memang tidak pernah menyampaikan lagu rap di atas pentas. Saya memang sudah hafal sepenuhnya bahagian rap ketika latihan, namun ketika persembahan ia jadi lain kerana macam-macam faktor.

“Jadi, mungkin disebabkan saya tersalah lirik dan hilang fokus membuatkan juri menolak banyak markah di situ. Tetapi tidak mengapa, kami tidak berasa ralat atau kecewa kerana apa yang penting orang kembali membuka mata terhadap muzik nasyid,” ujar Munif mewakili tiga rakan lain yang turut memenangi Anugerah Persembahan Pilihan Penonton.

Melanjutkan bicara, Munif akur, disebabkan GGV masyarakat mula menghargai dan memberi perhatian kepada penyanyi nasyid.

Katanya: “Saya terkejut, selepas menunaikan solat di masjid, ada anak-anak kecil yang menegur, padahal sebelum ini perkara sebegitu tidak pernah berlaku.

“Undangan persembahan pentas juga semakin bertambah tetapi menariknya, pihak yang mengundang membuat persembahan mahu kami menyanyikan lagu-lagu yang pernah dinyanyikan dalam konsert GGV.”

Tanda aras


TERBAIK - Menerusi lagu berjudul Damai Yang Hilang, Azmi melayakkan dirinya memenangi Anugerah Gema Terindah, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM15,000.

Sepanjang disiarkan, program GGV mencatat jumlah tontonan menggalakkan iaitu boleh mencapai sehingga enam juta penonton dalam satu-satu episod.

Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, catatan tersebut merupakan satu perkembangan yang cukup baik bagi sesebuah program berkonsepkan islamik.

“Kejayaan program ini melebihi daripada apa yang kami sasarkan. Siapa sangka penonton akan setia duduk di depan televisyen setiap minggu untuk menyaksikan penyanyi nasyid kegemaran mereka beraksi.

“Untuk musim pertama, peserta yang terlibat telah meletakkan satu tanda aras yang tinggi. Untuk musim kedua nanti, peserta akan menghadapi cabaran yang besar bagi mengekalkan momentum yang bagus ini,” ujar Raqim.

Bercerita tentang konsep, GGV tidak terkecuali daripada menerima kritikan khalayak. Antara yang sensitif, tempat duduk penonton yang bercampur sesama jantina dan pemilihan lagu tidak menggambarkan nuansa nasyid hangat diperdebatkan. Sorakan gemuruh penonton yang hadir menyaksikan program secara langsung juga antara yang diperkatakan.

Menjawab kritikan segelintir peminat yang menggesa program tersebut lebih menyerlahkan tuntutan syariah memandangkan ia sebuah program berbentuk islamik, Raqim berkata, pihak Astro telah cuba mewujudkan atmosfera yang menepati keselesaan ramai.

“Pihak kami telah mencuba sedaya upaya untuk menghadirkan program ini dalam atmosfera islamik yang sebaik mungkin. Mungkin ada segelintir pihak yang masih tidak berpuas hati tetapi harus diakui banyak kesan positif yang muncul daripada GGV, khususnya terhadap golongan muda.

“Justeru, kami tidak boleh memuaskan hati semua pihak. Konsep GGV adalah berdakwah secara santai melalui untaian lagu nasyid dan nampaknya ia menerima sambutan yang baik daripada orang ramai,” jelas Raqim.

Post a Comment

Previous Post Next Post