WALAUPUN telah dianugerahkan gelaran Datuk, Nassier tetap selesa dipanggil Abang kerana sudah biasa dengan panggilan tersebut.
USIA penglibatan penyanyi Datuk Nassier Wahab dalam industri seni suara sudah selama lebih tiga dekad. Baru-baru ini, penyanyi berusia 55 tahun itu telah menerima penganugerahan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
Istiadat penganugerahan tersebut berlangsung pada 15 Mei lalu di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang.
Mengakui tidak pernah terfikir untuk meraih sebarang anugerah besar seperti itu, Nassier bagaimanapun memanjatkan syukur dan menganggap ia hadiah terbesar sempena ulang tahun kelahirannya pada April lalu.
Bukan hanya itu, rezeki pelantun lagu Memori Cinta Luka itu juga semakin luas apabila dilantik menjadi duta kepada sebuah syarikat hartanah DBI Technology.
Ikuti penjelasan daripada Nassier mengenai perkara itu ketika ditemui dalam satu majlis baru-baru ini.
KOSMO!: Tahniah Datuk Nassier atas penganugerahan gelaran Datuk baru-baru ini. Boleh kongsikan serba sedikit mengenai perkara itu?
DATUK NASSIER WAHAB: Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana memberikan saya rezeki sebesar ini. Jika diikutkan, sepatutnya saya menerima penganugerahan ini sejak tahun lepas lagi tetapi atas beberapa sebab, ia terpaksa ditunda.
Pada waktu itu, saya tidak terlalu memikirkannya. Sehingga ia benar-benar berlaku pada tanggal 15 Mei lalu, barulah saya berkongsi berita berkenaan bersama peminat di laman sosial.
Jadi, bagaimanakah anda menyesuaikan diri dengan gelaran baharu itu?
Saya lebih suka kalau orang kekal memanggil saya dengan gelaran abang berbanding Datuk. Sebab gelaran ini tidak merubah siapa pun saya pada mata masyarakat.
Sebenarnya, saya pun masih kekok untuk membiasakan diri dengan gelaran ini. Namun, ia perlu mengikut keadaan atau situasi juga kalau mahu panggil gelaran Datuk. Saya ada juga mendapatkan nasihat daripada rakan artis seperti penyanyi Datuk Nash untuk menyesuaikan diri dengan gelaran ini.
Baiklah. Beralih kepada perkembangan karier. Sejak tamat program Gegar Vaganza musim kedua pada 2015, anda tidak muncul dengan sebarang material terbaharu. Apa yang sedang anda rancang sebenarnya?
Saya memang ada merakamkan tiga buah single baharu di Jakarta, Indonesia pada tahun lalu bersama komposer Richar Kyoto. Namun, memikirkan keadaan kami sebagai artis lama yang sukar bersaing dengan lambakan lagu serta artis baharu, ia membantutkan niat saya untuk mempromosikan kesemua lagu tersebut.
Sebab itu saya ambil keputusan untuk simpan sahaja lagu tersebut sebagai kenangan. Saya bukannya kecewa dengan situasi industri hiburan negara pada masa sekarang, tetapi mengaku ia jauh berbeza daripada zaman dahulu.
Lagi pula, kebanyakan artis lama seperti saya bergerak sendiri tanpa syarikat pengurusan. Jadi, agak sukar untuk kami mempromosikan lagu sendiri dengan cara pergi ke stesen radio. Lagipun, pada umur sebegini kami tidak lagi sesuai untuk berbuat demikian.
Cukuplah kalau rezeki saya sentiasa ada untuk membuat persembahan pada setiap minggu. Itu sudah memadai.
Adakah anda selesa untuk meneruskan karier dengan hanya menerima tawaran persembahan tanpa ada produk terbaharu?
Susah untuk saya jawab, tetapi buat masa sekarang memang tiada perancangan untuk ke arah itu (menghasilkan single baharu). Namun, seperti yang saya katakan, sukar untuk saya melakukannya seorang diri tanpa ada pertolongan daripada mana-mana pihak memandangkan saya bergerak sendiri.
Pernah saya membayar individu yang mahir dalam bidang perhubungan awam untuk membantu promosi lagu namun tidak berjaya. Lebih mengecewakan, saya terpaksa berhabis wang ringgit sehingga puluhan ribu ringgit.
Baiklah. Beralih kepada pelantikan anda sebagai duta kepada sebuah syarikat hartanah. Boleh kongsikan tentang perkara itu dengan lebih lanjut?
Alhamdulillah, ini juga satu lagi rezeki yang saya tidak terfikir. Sebenarnya, saya memang berkawan baik dengan Datuk Boy Iman yang juga merupakan pemilik syarikat tersebut.
Selain menjadi duta, pihak syarikat turut bermurah hati memberi sebuah kediaman berharga RM150,000 di Kapar, Klang. Sebagai duta, saya turut membantu dalam kerja mempromosi pakej perumahan mampu milik kepada masyarakat.