Anak jadi tumpuan utama Syamsul Yusof


SETIAP pasangan yang berumah tangga pasti menyimpan hasrat untuk memiliki cahaya mata sebagai pelengkap keluarga yang baru dibina.

Perasaan sama turut dirasai pelakon dan pengarah Syamsul Yusof sebagai bukti kesediaannya menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan suami kepada pelakon, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin.

Selepas diijabkabulkan pada Mac 2014, hampir tiga tahun pasangan romantis itu menanti kehadiran zuriat penyeri rumah tangga mereka.

Syukur, penantian dalam penuh kesabaran tersebut menerbitkan cahaya gembira apabila mereka dikurniakan seorang bayi lelaki pada tanggal 19 April lalu.

Bayi comel yang diberi nama Syaikhul Islam kini menjadi tumpuan utama Syamsul sehingga menjadikan dirinya tidak sabar untuk menghabiskan masa bersama keluarga.

Mengakui rutin kehidupannya berubah sejak bergelar bapa, pelakon berusia 32 tahun itu tidak pernah lekang mengukir senyuman saat bercerita tentang putera sulungnya.

“Sepanjang tempoh saya bercinta dengan isteri, kami tidak pernah membuat panggilan video. Perkara itu bagaimanapun berbeza setelah ada anak.

“Apabila menjadi bapa perkara utama yang kerap bermain dalam fikiran ialah anak dan selalu berasa tidak sabar untuk segera pulang ke rumah,” kata pelakon filem Khurafat itu ceria.

Meskipun kepadatan jadual kerja menghalang peluangnya untuk sama-sama belajar mengasuh dan sentiasa di sisi bayinya, Syamsul mengharapkan kehadiran Ramadan yang bakal tiba hujung minggu nanti akan memberinya banyak masa untuk diluangkan bersama anak dan isteri yang sedang berpantang di rumah.

“Buat masa sekarang saya masih belum berkesempatan membantu isteri menjaga anak kerana sibuk dengan kerja. Insya-Allah, menjelang Ramadan nanti, saya akan cuba mempelajari ilmu kebapaan yang sebenar,” katanya seraya melepaskan ketawa kecil.

Ramadan

Kehadiran Syaikhul Islam juga secara tidak langsung menjadikan sambutan Ramadan dan Syawal Syamsul sekeluarga menjadi lebih bermakna.

Syamsul yang sedang sibuk menyempurnakan penggambaran akhir filem Munafik 2 mengharapkan Ramadan kali ini dapat memberinya lebih keberkatan selain ruang untuknya bersama keluarga.

Biarpun dia tidak terlibat dengan sebarang penggambaran sepanjang bulan puasa, rutin harian Syamsul tetap terisi dengan kerja-kerja suntingan yang selesa dilakukan sendiri.

“Setiap kali Ramadan saya memang tidak terlibat dengan sebarang penggambaran kerana ingin memberi tumpuan kepada aktiviti ibadah dan suntingan filem.

“Ramadan dan raya tahun ini pastinya akan menjadi lebih indah buat saya dan isteri kerana adanya Syaikhul Islam,” tutur Syamsul.

Dalam pada tidak sabar menantikan kehadiran bulan puasa, Syamsul juga berasa teruja untuk menyaksikan reaksi penonton terhadap filem romantik pertama lakonan berjudul Makrifat Cinta.

Pasaran Bollywood

Filem arahan Kamal G yang dijadualkan menemui penonton selepas sambutan Aidilfitri depan tersebut turut dibintangi oleh Nora Danish, Nabila Huda dan Puteri Balqis.

Ditemui semasa sesi fotografi khas promosi filem berkenaan, Syamsul turut ditemani Kamal G.

Bercerita mengenai filem yang sedang dalam proses pasca produksi berkenaan, Kamal G berkata sehingga kini sebanyak 70 peratus kerja-kerja suntingan filem telah berjaya disiapkan.

“Sebagai penggiat seni saya berusaha menghasilkan karya yang berkualiti demi memajukan industri filem tanah air agar seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

“Saya juga melakukan pembaharuan dari segi suntingan bagi memberi lebih kualiti terhadap visual yang akan ditayangkan,” terang Kamal G.

Penghasilan imej janaan komputer (CGI) juga menjadi fokus utama dalam proses penyuntingan filem berkenaan terutama melibatkan babak aksi dan pergaduhan.

Meskipun tidak menampilkan genre aksi secara keseluruhan, Kamal G turut menyuntik elemen komersial seperti cinta dan nilai kekeluargaan bagi menjadikan filem tersebut lebih santai untuk ditonton.

Dalam perancangan, filem Makrifat Cinta juga akan dibuat alih suara untuk sasaran penonton di India.

“Biarpun masih dalam peringkat suntingan, sebahagian daripada filem yang telah siap telah dipertontonkan kepada wakil pengedar di India sebagai rangka perancangan bagi memasarkan naskhah ini ke sana.

“Setakat ini, kami mendapat maklum balas positif dan mereka tidak sabar untuk melihat filem ini secara keseluruhan,” jelasnya.

Syamsul yang membawakan watak sebagai Mahathir dalam filem itu juga tidak sabar menantikan lakonannya merentas lautan sehingga ke India.

“Saya berterima kasih kepada Kamal G yang gigih berusaha memastikan filem ini berjaya tidak hanya untuk pasaran tempatan tetapi ke peringkat antarabangsa,” balas Syamsul sambil memerhatikan Kamal G yang duduk bersebelahan dengannya.

Selain pelakon tanah air, filem tersebut juga menggunakan tenaga pakar dari India seperti, Praveen KL bagi menghasilkan poster berteknologi tinggi yang pernah diaplikasi menerusi filem Don lakonan Shah Rukh Khan pada tahun 2006. Runut bunyi bagi filem tersebut juga dihasilkan oleh komposer terkenal yang pernah menghasilkan skor muzik filem-filem seperti Dil Se, Taal, Lagaan dan Slumdog Millionaire iaitu A. R Rahman bertajuk Maula Wa Sallim. Lagu berkenaan akan dinyanyikan oleh anak A. R Rahman iaitu A.R Ameen.

Nyanyian

Selain kemunculannya dalam filem Makrifat Cinta dan Munafik 2, Syamsul juga bakal bergandingan dengan penyanyi popular, Alif Satar untuk sebuah single baharu.

Berbeza dengan untaian lagu yang pernah dipersembahkan sebelum ini, Syamsul mahu melakukan kelainan menerusi single yang diberi judul Comey Lotey tersebut.

Mengulas lanjut, kata Syamsul, dia masih mengekalkan lagu berkonsepkan ketuhanan menerusi lirik yang ditulis meskipun judulnya memberikan refleksi berbeza.

“Saya inginkan sesuatu yang santai buat peminat kerana menerusi lagu Kalah Dalam Menang dan Bukan Propaganda sebelum ini, lagu saya kedengaran serius.

“Justeru, saya mengambil pendekatan untuk menghidangkan hiburan santai agar sesuai didengar oleh golongan kanak-kanak,” ujar Syamsul yang mahu melancarkan lagu tersebut selepas sambutan Aidilfitri depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post