Hafidz Roshdi Rezeki berlakon tak pernah putus


PELAKON Hafidz Roshdi mengakui kesibukannya di lokasi penggambaran dengan jadual padat setiap hari membuatkan dia jarang dapat memenuhi undangan sesi fotografi atau menghadiri majlis hiburan.

Justeru, ramai menyangka dia mahu memperlahankan aktiviti seninya seperti hasratnya sebelum ini.

Hafidz sebelum ini pernah memberitahu umum mahu menumpukan perhatian dalam perniagaan tetapi terpaksa menukar rancangan dan meneruskan kerja seninya kerana menerima banyak tawaran berlakon.

Dia juga kurang aktif di media sosial dan tidak mengemaskini perkembangan terbaru kepada peminat.

Kata Hafidz, selain menunggu drama lakonannya, Papa Nak Menantu (TV3), Raisha (TV3), Seharum Mawar (RTM) dan beberapa telefilem sempena puasa dan raya, dia juga bakal memulakan penggambaran drama terbaru, Kelip Kelip Kota London tidak lama lagi.

“Alhamdulillah rezeki dalam lakonan tak pernah putus, banyak peluang baru yang saya dapat dengan kerjasama produksi dan rakan lakon berbeza," katanya.

Pelakon yang mula dikenali menerusi drama Tundukkan Playboy itu sebelum ini menganggap lakonan sebagai hobinya sahaja tetapi bertukar seronok dan serius.

Ketika awal penglibatannya, Hafidz sering dikaitkan dengan masalah disiplin dan dikatakan sukar memberi kerjasama dengan media sehingga ramai yang melabelkannya sebagai artis bermasalah.

Mengulas tentang itu, pelakon itu mengakui ketika itu dia belum faham dan tidak mampu mengurus diri namun mula belajar daripada kesilapan lalu dan menganggap perkara itu sebagai pengalaman berguna untuk memperbaiki diri.

“Alhamdulillah sekarang semuanya dah selesai dan segala masalah yang pernah berlaku dulu tak berulang lagi.

“Semua tu dah berlalu. Saya pun lebih serius dan bertanggungjawab dengan kerja yang diamanahkan. Saya nak jadi lebih baik lepas ni,” akuinya yang kini banyak dibantu isteri untuk menguruskan jadual kerja.

Keluarga memahami

Meskipun sibuk dengan jadual kerja yang panjang di lokasi penggambaran, Hafidz tidak melepaskan tanggungjawab menguruskan perniagaan yang sedang diusahakan bersama keluarga menerusi syarikat HR Sdn Bhd.

Pelakon itu juga memberitahu, pada mulanya keluarganya mahu dia menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan, tetapi kini lebih memahami kehendaknya dan memberi kebebasan.

“Saya menguruskan perniagaan ini bersama bapa saudara dan adik beradik yang lain, jadi jika saya sibuk, mereka akan membantu dan memantau perjalanan perniagaan tanpa sebarang masalah.

"Insya-ALLAH jika tiada aral melintang, kami akan membuat pelancaran bulan puasa nanti dan berharap masanya sesuai untuk memperkenalkan produk kami nanti,” katanya yang mengusahakan perniagaan makanan dan kesihatan," jelasnya lagi.


Hafidz dan isteri.

Mahu lebih profesional dalam kerjaya, Hafidz memberikan tempoh tiga tahun untuknya membina nama dan menimba pengalaman dalam bidang seni sebelum merancang menumpukan sepenuh perhatian dalam bidang perniagaan.

“Kalau ikutkan, saya nak sasar tempoh tiga tahun lagi aktif dalam bidang seni. Lepas itu mahu beri perhatian sepenuhnya dalam bidang perniagaan sebagaimana yang dimahukan keluarga.

“Tapi, tu semua hanya rancangan ketika ini. Mungkin juga akan berubah mengikut keadaan semasa sebab susah saya nak jangka apa yang akan saya lalui selepas ini,” katanya jujur.

Tunggu kejutan

Dalam perkembangan lain, Hafidz yang cukup dikenali dengan sikap pemalunya mengakui semakin teruja untuk bergelar bapa apabila kandungan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri kini sudah menjangkau usia lima bulan dan dijangka melahirkan sekitar September nanti.

“Jujurnya saya memang tidak sabar menantikan kelahiran bayi ini.

"Dalam masa sama saya sangat berdebar dan tidak tahu macam mana keadaan saya apabila bergelar bapa nanti," katanya.

Keterujaan itu terbukti apabila Hafidz dan isteri sudah mula membuat persiapan untuk bayi mereka dengan membeli keperluan asasnya.

“Kami tak mahu berlebih-lebih malah saya juga tak ambil tahu jantina bayi kerana mahu menjadi kejutan buat kami nanti,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post