Shahir Zawawi Doakan jodoh saya dengan Erra Fazira


Shahir Zawawi tidak dapat menolak ajakan media untuk ditemu bual sewaktu hadir menyaksikan Gema Gegar Vaganza, Ahad lalu.

Tempoh tiga tahun lenyap daripada radar industri hiburan tanah air, ingatan umum terhadap bekas juara Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8), Shahir tidak pernah luput.

Itu semua gara-gara hubungannya bersama aktres jelita, Erra Fazira yang selalu menjadi bahan sensasi.

Lama menghilang, kemunculan Shahir pada konsert akhir Gema Gegar Vaganza (GGV) kelmarin bagaikan mahu menjawab banyak persoalan.

Biarpun sekadar hadir sebagai penonton, kehadiran lelaki berusia 28 itu terus mengundang perhatian. Tiada perkara lain yang menjadi topik perbualan antara pelantun lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu dengan pihak media melainkan tentang ‘misteri kehilangannya’ selama ini dan kisah cintanya dengan wanita yang cukup terkenal dengan jolokan primadona filem Melayu itu.

Kata Shahir atau nama sebenarnya, Ahmad Shahir Zawawi, hubungan bersama Erra masih akrab, namun tidak mahu memperincikan ‘tali’ yang masih belum pasti.

Dia juga menyerahkan segalanya kepada ketentuan Ilahi andai dipertemukan jodoh dengan aktres tersebut.

Pada waktu sama, Shahir turut merancang untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian selepas terpaksa berehat sebelum ini kerana sibuk menguruskan perniagaan di kampungnya di Kampar, Perak.

KOSMO!: Boleh Shahir jelaskan status hubungan cinta dengan Erra ketika ini?

Shahir: Saya dan Erra masih berkawan rapat. Sebenarnya, saya segan untuk terlalu bercerita tentang hal peribadi. Banyak hati yang perlu dijaga. Apa yang boleh saya katakan saya serahkan semuanya kepada takdir kerana manusia hanya boleh merancang tetapi Tuhan yang menentukan.

Sebelum ini, Erra yang banyak menjawab pertanyaan media tentang keseriusan hubungan cinta kalian berdua. Tidakkah anda kasihan terhadap Erra yang terpaksa berdepan segala persoalan seorang diri?

Ya, saya sedar hal itu. Sebagai seorang lelaki saya ingin menggalas tanggungjawab itu, namun disebabkan kekangan masa dan jarak, saya lebih selesa mendiamkan diri bagi mengelakkan salah faham.

Sebelum ini, saya fokus dengan perniagaan di kampung kelahiran saya di Kampar, Perak. Lagipun Erra masih aktif dalam industri, jadi sudah tentu tumpuan lebih ke arah dirinya.

Antara anda dan Erra, sudahkah ada sebarang perbincangan atau perancangan untuk ke arah yang lebih serius (perkahwinan)?

Insya-Allah, saya mohon doa daripada orang ramai agar hubungan kami ke arah itu, namun buat masa sekarang belum ada lagi. Kalau sudah ada perkembangan, saya sendiri akan berkongsi dengan pihak media dan orang ramai.

Adakah benar dakwaan mengatakan bahawa sebelum ini anda memang mahu mengelak daripada bertemu dengan media, boleh jelaskan?

Bukan begitu. Sebelum ini saya tidak mahu mendedahkan diri dalam industri untuk mengelakkan salah faham. Kalau dijemput ke acara hiburan, saya komited untuk menghadirkan diri sahaja. Saya tidak mahu menyusahkan orang lain, jadi saya berehat daripada bidang ini selama tiga tahun.

Sekarang sudah sampai waktu untuk saya kembali dan ini pun disebabkan ajakan para peminat yang menghubungi saya agar mengadakan majlis reunion sempena Ramadan nanti.

Apa yang membuatkan anda ingin kembali memeriahkan industri? Bagaimana dengan perniagaan anda di kampung?

Perniagaan saya di kampung sudah stabil, jadi saya tidak risau untuk ke Kuala Lumpur buat sementara waktu bagi menguruskan karier nyanyian. Saya rindu sebenarnya untuk kembali menyanyi, jadi insya-Allah selepas raya nanti akan ada material seni daripada saya. Mungkin saya akan hadir dengan single baharu.

Anda menetap di Perak, manakala Erra di ibu kota, bagaimana kalian berhubung?

Kami jarang berjumpa, namun selalu berhubung melalui panggilan telefon dan sebagainya. Saya tidak mahu terlalu bercerita tentang hal ini kerana ia melibatkan hati banyak pihak. Biarlah waktu menentukannya. Kalau ada jodoh, ada nanti.

Post a Comment

Previous Post Next Post