Ben Nathan bakal rakam lagu di Jakarta


Majlis pelancaran Konsert Kasih Dan Harapan Ben Nathan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini. Dari kiri, Datuk M.Nasir, Tan Sri Jojo, Ben Nathan, Datuk DJ Dave, Sahara Yakob dan Maisarah.

Selepas hampir empat bulan penyanyi popular era 80-an, Ben Nathan atau nama Islamnya, Ben Adam Abdullah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, keadaan kesihatannya kini menunjukkan perkembangan positif.

Melihatkan kepada situasi tersebut, Presiden Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave mahu mengotakan janji beliau bagi mengadakan sebuah konsert amal untuk mengutip dana buat Ben pada 21 Mei depan.

Majlis makan tengah hari anjuran YA1M dengan kerjasama Jojo Events yang diberi nama Konsert Kasih Dan Harapan Ben Nathan itu bakal berlangsung di Saloma Bistro, Kuala Lumpur.

Menurut DJ Dave, terdapat beberapa penyanyi terkenal tanah air seperti Datuk M. Nasir, Datuk Nash, Sahara Yaacob, Ramlah Ram, dan dirinya sendiri akan menghiburkan hadirin.

“Saya sengaja memilih waktu siang untuk mengadakan konsert ini agar semua peminat Ben dapat hadir dan sama-sama mengubat kerinduan menyaksikan penyanyi kesayangan mereka membuat persembahan.

“Ben akan menyanyikan dua buah lagu popular miliknya iaitu Stanza Sepi Sekeping Hati dan Ilusi Satu Penantian pada konsert berkenaan,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Konsert Kasih Dan Harapan Ben Nathan di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ben yang sudah 27 tahun tidak membuat persembahan cukup teruja menantikan konsert tersebut dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah banyak membantunya untuk kembali pulih.

Walaupun masih perlu menjalani rawatan susulan, penyanyi berusia 54 tahun itu tetap bersemangat berlatih dan membuat persediaan menjelang hari persembahannya tidak lama lagi.

“Sekarang saya berasa lebih sihat dan tidak sabar untuk bertemu peminat di konsert itu nanti. Saya sangat rindukan mereka yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya seni saya.

“Terima kasih juga kepada YA1M kerana banyak membantu saya untuk kembali berdikari dan aktif menyanyi semula,” katanya yang kini ditempatkan di sebuah rumah kebajikan di Petaling Jaya, Selangor.

Rakam lagu

Sementara itu, usaha DJ Dave untuk memulihkan semangat Ben tidak terhenti dengan mengadakan konsert amal tersebut. Beliau bersama pengasas Jojo Events, Tan Sri Syed Mohd. Yusof Syed Nasir atau lebih dikenali sebagai Tan Sri Jojo merancang untuk membawa Ben ke Jakarta, Indonesia bagi merakam lagu terbaharu.

Menurut DJ Dave, itu adalah antara usaha yang cuba dilakukan oleh mereka untuk mengembalikan ingatan Ben seperti sediakala memandangkan dia tidak berhenti bercakap tentang proses rakaman di Jakarta sejak diberi rawatan Februari lalu.

Tambahnya lagi, doktor tidak memberikan satu jangka masa tepat bilakah Ben akan sedar daripada dunianya yang tersekat di tahun 80-an itu, namun ia bukanlah satu perkara yang mustahil.

“Ben tidak terlibat dengan sebarang penyalahgunaan dadah cuma dia masih tenggelam dalam dunianya sendiri, mungkin berpunca daripada kekecewaan yang pernah terjadi kepadanya suatu ketika dahulu.

“Saya berharap apabila impiannya untuk merakam lagu di Jakarta ditunaikan, ia akan menjadi pencetus kepada Ben untuk sedar dan tidak terus hanyut dalam fantasi rekaannya sendiri,” jelas DJ Dave yang tidak menolak kemungkinan akan berduet dengan Ben dalam salah satu lagu baharu yang bakal dirakam.

Post a Comment

Previous Post Next Post