Ezzaty Abdullah Sangka kena kanser ovari, padahal hamil


Ezzaty Abdullah mahu berehat panjang bagi memberi fokus terhadap bayinya yang bakal lahir apabila melangsaikan semua tuntutan penggambaran yang telah dipersetujui sebelum disahkan hamil.

TIADA apa yang dapat menggembirakan hati seorang wanita bergelar isteri saat mendapati diri sedang berbadan dua. Ketika itu segala gundah yang bertamu pastinya berterbangan begitu sahaja.

Itu gambaran perasaan yang dialami pelakon jelita, Ezzaty Abdullah saat mengetahui dirinya kini hamil sembilan minggu.

Mendirikan rumah tangga pada 16 Julai tahun lalu bersama pelakon Azwan Kombos, penantian mereka selama sembilan bulan kini dibumbui cahaya kesyukuran dengan kehadiran benih cinta yang sedang mekar di dalam rahim wanita berusia 27 tahun itu.

Ikuti kisah keterujaan bakal ibu muda itu yang berkongsi pengalaman kehamilan pertamanya.

KOSMO!: Tahniah atas berita kehamilan Ezzaty. Bila anda mengetahui status kehamilan tersebut?

EZZATY: Terima kasih, saya dapat tahu tentang kehamilan ini sejak tiga minggu lalu. Ketika itu doktor mengesahkan kandungan saya baru berusia enam minggu.

Boleh kongsikan detik-detik bahagia anda suami isteri sebaik sahaja mendapat kesahihan tentang berita gembira tersebut.

Pada awalnya, saya mengalami masalah tidak datang bulan selama 45 hari. Sebelum ini, saya juga pernah mengalami masalah sama semasa menunaikan umrah sekitar bulan Januari lalu, jadi perkara itu membuatkan saya tidak mahu menaruh harapan diri sedang hamil.

Lebih dramatik, saya turut menyangka menghidap penyakit kanser ovari kerana kerap berasa sakit pada bahagian dalam perut.

Saya pernah mengajak suami ke hospital untuk membuat pemeriksaan lanjut, tetapi dia mencadangkan saya membuat ujian kehamilan terlebih dahulu. Saya menangis apabila melihat keputusan pada alat penguji kehamilan itu yang menunjukkan tanda positif hamil.

Adakah anda mengalami sebarang alahan sepanjang tempoh kehamilan pertama ini?

Alhamdulillah, keadaan saya masih terkawal dan boleh meneruskan penggambaran seperti biasa. Saya juga susah untuk muntah atau pening-pening, tetapi derita alahan berpindah kepada suami apabila Azwan yang mengalami simptom seperti wanita hamil. Bagaimanapun, antara perubahan yang saya lalui adalah cepat berasa penat dan tidak boleh lambat makan.

Bagaimana pula dengan rasa mengidam seperti kebanyakan wanita hamil lain?

Setakat ini semua makanan yang diidamkan dipermudahkan dan saya dapat makan semua yang diingini. Saya juga tidak mengidam sebarang makanan pelik dan harapnya ia kekal sehingga melahirkan anak nanti.

Andai diberi pilihan, adalah anda berhajat dikurniakan anak perempuan atau lelaki?

Saya dan suami tidak kisah soal jantina anak. Asalkan anak kami lahir cukup sifat dan sihat itu sudah menggembirakan kami. Setakat ini, saya juga sudah mempunyai beberapa cadangan nama untuk anak kami nanti.

Baiklah, bagaimana dengan perancangan kerjaya anda selepas ini?

Ketika disahkan hamil, saya masih mempunyai baki beberapa hari untuk penggambaran drama rantaian berjudul Megat Extend. Saya perlu meneruskan penggambaran kerana sudah terikat dengan kontrak. Sekarang, saya dalam sesi penggambaran sebuah telefilem bersama Izzue Islam dan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti, saya akan terlibat dengan sebuah lagi penggambaran filem untuk lima hari. Mungkin selepas itu baru saya akan bercuti panjang untuk memberi fokus kepada kandungan. Saya juga bercadang untuk menjalani tempoh berpantang selama tiga bulan bagi memastikan benar-benar pulih sebelum kembali berlakon.

Post a Comment

Previous Post Next Post