PROFESIONAL - Biarpun masih belum sihat sepenuhnya, Intan cuba menghadirkan diri ke majlis pelancaran program Ramadan Astro, malah dia juga mengorbankan cuti sakit yang diberikan doktor demi memastikan penggambaran berjalan seperti biasa.
BAKAT lakonan yang dimiliki wanita berdarah kacukan Melayu-Thailand ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Mempunyai portfolio seni yang selayaknya digelar sebagai aktres popular, bagaimanapun sejak setahun lalu kehadiran Intan Ladyana menerusi kaca televisyen mahupun layar perak kelihatan agak suram.
Mempunyai alasan tersendiri, tanpa berselindung pemilik nama Intan Nurladyana Mohamad Yahaya itu memberitahu, dirinya kini mengamalkan sikap selektif terhadap mana-mana tawaran lakonan yang datang.
Baginya, pendekatan sebegitu penting dalam memastikan penonton yang melihat lakonannya tidak cepat berasa bosan selain dapat kekal relevan sebagai seorang pelaku seni.
“Sejujurnya, saya sudah lama tidak masuk ke set penggambaran. Tahun lepas saya cuma berlakon sebuah telefilem berjudul Anda Telah Diprank.
“Untuk tahun ini pula, saya baru sahaja memulakan penggambaran drama sebanyak 40 episod untuk terbitan Astro berjudul Semusim Rindu. Setakat ini, itu sahaja tawaran yang saya terima,” ujarnya yang ditemui semasa pelancaran program Ramadan Astro di Kompleks Kraf Kuala Lumpur baru-baru ini.
Konsisten dengan keputusannya, ujar wanita kelahiran Kuala Lumpur itu, setiap kali mendapat tawaran lakonan, dia akan membaca terlebih dahulu jalan cerita dalam skrip bagi memastikan watak yang akan dibawa bersesuaian dengan minatnya.
“Boleh dikatakan banyak juga tawaran lakonan yang saya tolak. Setiap kali didatangi tawaran, saya pasti akan baca skrip cerita terlebih dahulu. Jika ia bersesuaian dengan karakter dan minat, barulah saya akan menerima.
“Saya tidak mahu sering membawakan watak yang sama kerana tidak mahu penonton cepat bosan. Hal yang sama ini saya praktikkan untuk tawaran lakonan dalam drama mahupun filem,” katanya yang tidak berasa rugi dengan tindakan yang diambil.
Diusik tentang kebarangkalian strategi tersebut akan memakan diri apabila dilupakan peminat lantaran kehadiran banyak pucuk muda, wanita itu hanya tertawa.
Meletakkan segalanya kepada ketentuan rezeki, Intan turut percaya dia masih mempunyai peminat kerana sering melayani pelbagai pertanyaan daripada pengikut Instagram yang merindui untuk melihat lakonannya.
“Saya akui sekarang memang terdapat ramai pelakon baharu, tetapi setakat ini saya tidak pernah lagi merasai kehilangan atau dilupakan peminat.
“Buktinya walaupun sudah lama tidak berlakon, tetapi apabila saya berkongsi gambar di Instagram, pasti ada sahaja yang bertanya bila saya akan muncul dengan naskhah baharu. Daripada situ saya tahu peminat masih belum melupakan saya,” ujarnya tersenyum.
Rindu
Membawa bicara tentang lakonan yang boleh disifatkan sebagai pengubat rindu peminat, ujar Intan dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bertajuk Semusim Rindu.
Drama 40 episod terbitan MIG Pictures yang akan ditayangkan bermula 29 Mei depan di saluran Astro Prima tersebut menggandingkan lakonan bersama Ben Amir, Haliza Misbun dan Kartina Aziz.
Di sebalik kesibukan menjalani penggambaran, Intan membuat pendedahan bahawa dia baru keluar dari wad hospital kerana mengalami demam panas.
“Penggambaran baru sahaja berjalan sebanyak 10 episod dan tayangannya pula akan bermula pada 29 Mei ini. Disebabkan itu, kami terpaksa bekerja keras bagi memastikan setiap episod dapat ditayangkan dengan lancar di televisyen.
“Mungkin disebabkan terlalu penat dan tidak cukup rehat membuatkan saya mengalami demam panas sehingga ditahan di hospital selama empat hari.
“Jika diikutkan, doktor menyarankan saya berehat selama tujuh hari, tetapi disebabkan tidak mahu menyusahkan pasukan produksi, saya gagahkan juga diri untuk meneruskan sesi penggambaran seperti biasa,” terangnya.
Terus rancak bercerita, sengaja Intan diajukan tentang tawaran-tawaran lain yang diterimanya. Pelakon filem Adnan Semp-It itu memberitahu, dia selesa memberi fokus terhadap satu tawaran lakonan sahaja dalam satu masa.
“Buat masa ini, saya memang tidak mahu menerima tawaran lakonan yang lain. Saya mahu memberi fokus terhadap drama ini terlebih dahulu.
“Biarpun jarang berlakon, saya mempunyai komitmen lain iaitu dalam bidang perniagaan. Saya bekerjasama dengan syarikat Desa Murni Batik dan mempunyai koleksi sendiri bersama mereka. Selain itu, saya juga akan melancarkan produk wangian dengan jenama Ladyana tidak lama lagi,” kongsinya mesra.
Cinta
Menginjak ke usia 35 tahun, Intan juga tidak terkecuali dihimpit persoalan jodoh. Bagaikan memahami, bekas teman wanita pelakon Kamal Adli itu dengan penuh berhati-hati mengambil sikap berteka-teki dan kelihatan tidak lagi selesa tatkala diajukan perihal cinta secara terbuka.
Menghormati pendirian Intan, dia kemudian ditanya soal keterbukaannya saat berdepan persoalan membabitkan hati dan perasaan.
Sambil tersenyum, bintang filem Aku Pilih Kamu itu menjawab:
“Soal cinta biarlah ia menjadi rahsia. Jangan marah ya. Sejujurnya, saya tidak pernah berasa bosan apabila sering diajukan soalan sama kerana ia memang tidak akan pernah habis.
“Jika saya sudah berkahwin nanti, orang akan bertanya tentang anak pula. Setiap fasa yang dilalui dalam hidup pasti akan menjadi bahan pertanyaan masyarakat, jadi saya hadapi sahaja tanpa pernah wujud perasaan bosan,” tuturnya seraya mengakhiri bicara.